Elakkan hutang dengan bersihkan rumahAda banyak cara untuk ketahui samada anda banyak hutang atau tidak. Cara biasa adalah seperti mana yang dilakukan oleh pihak bank. Mereka minta kebenaran untuk menyemak status kedudukan kewangan anda.

Tetapi itu cara terhormat dan tidak menggambarkan status kedudukan sebenar anda. Samada banyak hutang atau tidak. Kalau orang yang jenis suka kumpul banyak hutang daripada kawan-kawan atau institusi tidak berdaftar, tak ada yang akan tahu anda banyak hutang selain daripada pihak yang memberikan hutang.

Ada satu lagi cara paling mudah untuk tahu samada anda banyak hutang. Caranya hanyalah dengan melihat keadaan rumah yang anda diami. Ya! memang agak pelik untuk tahu status banyak hutang dengan hanya melihat rumah.

Tapi sebenarnya keadaan rumah yang anda diami adalah berkait rapat dengan kedudukan kewangan anda. Keadaan rumah yang anda tinggal ada hubungan rapat dengan tahap kehidupan dan kejayaan anda.

Bagaimana rumah orang yang banyak hutang

Saya sering berjalan-jalan menghirup udara segar di waktu pagi di sekeliling taman. Sambil bersenam, sambil berfikir dan juga merancang kerja yang perlu dilaksanakan.

Setiap hari saya akan melalui sebuah rumah yang dipenuhi oleh berbagai barang. Macam-macam yang terlonggok di depan rumahnya. Bahagian belakang rumahnya juga dilonggok dengan berbagai barang yang tidak dipakai.

Bukan sehari dua saya lihat keadaan rumah itu sedemikian. Sudah lebih dari 4 atau 5 tahun keadaannya tak pernah berubah. Malah semakin lama semakin teruk. Timbunan berbagai barang semakin lama semakin bertambah.

Saya tak pasti pula bagaimana keadaan rumahnya di dalam, tetapi saya lihat anak-anaknya yang masih kecil sentiasa ada diluar rumah setiap hari lelaki dan perempuan bermain dari awal pagi sampai ke tengahari. Saya syak mereka tidak selesa berada di dalam rumah.

Sekali sekala saya sempat berbual dengan tuan punya rumah tersebut. Dia punya ramai anak. Kerjanya tidak menentu. Dia pernah cuba buat perniagaan jadi kontraktor, tapi tak tahan daulat. Terlalu banyak persaingan, katanya.

Kebanyakan dari masanya saya lihat ada di rumah. Kadangkala saya lihat dia baru pulnag di awal pagi ketika saya baru nak bersenam. Kelihatan seperti dia kerja malam dan baru pulang. Ringkasnya, dia ada masalah kewangan dan juga kerjaya.

Bukannya nak memburukkan orang, tetapi saya hanya mahu berikan contoh bagaimana keadaan rumah kita boleh menggambarkan keadaan dalam jiwa diri kita. Tabiat dan cara berfikir tidak dapat disorok sepanjang masa. Bagaimana kita berfikir begitulah cara kita bertindak, hanya sekali sekala sahaja kita boleh berlakon.

Kenapa rumah berselerak menunjukkan anda banyak hutang

Rumah yang berselerak paling utama disebabkan oleh himpunan barangan yang terlalu banyak. Seperti contoh yang saya berikan di atas tadi.

Saya boleh lihat ada tayar kereta lama yang sudah lebih 3 tahun di situ. Saya lihat ada banyak kayu lama yang tak terpakai. Ada basikal buruk yang dah rosak terbiar, barangan plastik, kain, pasu, kertas, buku, pakaian….subhanallah! bermacam-macam!.

Ada dua cara semua barangan itu berjaya kita himpunkan. Pertama adalah dengan membelinya dan bila tidak digunakan kita biarkan tersadai sampai rosak dan tidak berguna lagi.

Keduanya adalah dengan mengambilnya secara percuma samada dari timbunan sampah atau hasil daripada pemberian orang lain. Hanya dua sebab itu sahaja yang membuatkan semua barangan yang ada pada kita bertambah.

Jika kita membeli kesemua barangan itu, bila sudah rosak kenapa masih disimpan. Biasanya disebabkan kita rasa tak berbaloi untuk dibuang kerana baru sangat keluarkan duit dan barang itu rosak. Maknanya kita beli barangan tak bermutu dan rasa bersalah, lalu kita simpan di atas longgokkan tersebut kononnya akan cuba diperbetulkan nanti.

Sikap seperti itu sahaja sudah membuatkan kita berhutang kerja kepada diri sendiri yang tidak pernah ditunaikan. Itu baru satu barang, bayangkan jika ada beratus-ratus barang, berapa banyak kita berhutang janji pada diri sendiri yang tak tertunai?.

Sama juga jika kita mengambil barang secara percuma samada dari tong sampah atau pemberian orang. Setelah diambil, dibawa pulang lalu dibiarkan dalam timbunan barang tak pakai, kita sekali lagi berhutang pada diri sendiri.

Ambil sesuatu yang tak pernah kita gunakan dan dibiarkan buruk, lusuh dan rosak depan atau belakang rumah adalah satu perbuatan khianat yang tak boleh diamalkan. Kenapa nak ambil kalau tak pakai?. Biarkan saja atau berikan saja pada orang yang tahu dan mahu menggunakannya!.

Oleh itu, mungkin anda tak banyak hutang duit, anda pasti ada banyak hutang janji pada diri sendiri yang tak tertunai seperti yang saya terangkan di atas. Bayangkan betapa teruknya jiwa merana memakan diri secara senyap tanpa kita sedari.

Semakin banyak kita timbunkan barang tak terpakai, semakin banyak jiwa tertekan dan terbakar seperti sekam. Jiwa rasa tak tenteram dan kita tak tahu di mana puncanya.

Ada ramai yang kerjanya mengutip barang terbuang saya lihat di taman saya. Ada seorang nyonya tua yang setiap pagi kerja kutip barang buangan. Saya pernah mengekorinya sampai kerumah untuk melihat keadaan rumahnya.

Rumahnya bukan menggambarkan dia orang susah. malah keadaan rumahnya tersusun rapi dan semua bahan yang dikutipnya diatur kemas mengikut jenis barangan.

Semua itu tidak kekal lama kerana dia kemudiannya menjualkan kesemua barang tersebut pada scrap dealer. Saya yakin nyonya itu tak ada hutang, malah tentu lebih kaya daripada orang biasa.

Kembali pada orang yang saya sebutkan di atas, jika dia kutip dari luar kenapa tak pergi jual untuk tambah wang?, ertinya dia tak ada pemikiran yang betul untuk menambah pendapatan.

Dan jika dia sendiri yang mengeluarkan duit untuk membeli kesemua barangan yang disimpannya itu, bermakna dia seorang yang boros dan membeli berbagai barangan yang tak tahan lama. Saya harap dia tak berhutang untuk membeli kesemua barangan tersebut.

Bukan saja banyak hutang, banyak pula kenangan lama

Timbunan barang yang berselerak di mana-mana samada di rumah atau pejabat, juga melambangkan banyaknya timbunan kenangan lama dalam kepala.

Kalau memori indah masih tidak apa, tetapi kalau kenangan busuk, dendam kesumat, penyesalan, tak puas hati dan seumpamanya, ia hanya menjadikan jiwa keras.

Kegagalan kita melepaskan apa saja barang yang tidak digunakan secara tidak sedar melambangkan kegagalan minda kita untuk melemparkan semua kisah lama. Orang yang terlalu banyak hidup dengan kisah lampau, tidak akan mampu memenuhi jiwanya dengan realiti semasa.

Jiwa yang tepu dengan kisah lampau juga tidak mampu diisi dengan perkara baru. Bayangkan cawan yang penuh dengan air. Cubaan untuk diisi dengan air baru hanya membuatkan limpahan serta pembaziran. Jiwa yang tepu, jika dicuba untuk melakukan perubahan adalah sia-sia. Tak akan berjaya.

Kenangan lampau juga ada kaitan dengan cara pemikiran yang lama. Jika tidak mampu mengubah cara berfikir, jangan diharap untuk membuat perubahan hasil. Lalu kita hairan kenapa kehidupan tidak berubah!.

Oleh itu, jangan risau, jangan sayang. Kemaskan rumah, kemaskan pejabat. Buang atau beri pada orang yang memerlukannya, semua yang tidak digunakan samada elok atau lama. Insyaallah, jiwa akan mula bersedia untuk diisi dengan cara pemikiran dan pendekatan yang baru.

Rumah yang bersih, biasanya tak banyak hutang

Cuba lihat keadaan sekeliling rumah anda. Ada banyak barang atau ada banyak tempat lapang kerana tak banyak menghimpun barang?

Cuba lihat pejabat syarikat-syarikat berjaya, semua bersih dan tersusun rapi. Cuba lihat bengkel atau kedai perniagaan yang berjaya, semuanya kemas dan tersusun rapi.

Cuba pula lihat kedai atau bengkel orang yang anda kenal ada masalah hutang dan perniagaannya tak berjaya, bagaimana berterabur keadaan perniagaannya, begitulah juga berserabutnya jiwa yang ada di dalam dadanya. jika dia masih kemas rapi, percayalah, kesukarannya hanyalah sementara.

Lari dari sikap banyak hutang dengan ubah sikap terhadap kebersihan

Kita mungkin tak dapat ubah cara berfikir dengan mudah. Malah kita sebenarnya tak pernah sedar bagaimana cara berfikir kita yang salah.

Samada kita tahu salah atau tidak, cuba perhatikan sikap kita terhadap kebersihan. Rumah kita, pejabat kita, pakaian kita, muka kita, diri kita, kereta kita, dan apa saja barang fizikal yang kita ada. Pastikan kita mencintai kebersihan.

Pastikan kita juga mencintai suasana yang kemas dan tersusun rapi. Jika kita selama ini tak kisah walaupun bersembang dalam stor yang penuh dengan sampah dan berterabur, ubah sikap sebegitu.

Samada kemaskan dulu keadaan tersebut, sebelum bersembang, atau berpindahlah ke tempat yang lebih kemas dan bersih. Ini untuk biasakan diri dengan minda yang mencintai kebersihan.

Dari pengalaman, saya tak pernah lagi jumpa orang yang mencintai kebersihan tidak berjaya dalam kehidupannya. Dia mungkin banyak hutang, tapi pendapatannya mencukupi untuk dia selesaikan hutang tersebut.

Jika ada yang terasa dan marah dengan apa yang saya tulis di atas, saya mohon maaf. Saya hanya berpesan pada diri sendiri agar jangan himpun banyak hutang. Samada hutang janji, maupun hutang kebendaan. Bukankah kebersihan itu sebahagian daripada iman…?

Total
20
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

8 comments

  1. Saya setuju dengan pendapat tuan..

    Keadaan rumah mencerminkan pengurusan diri seseorang sama ada pengurusan kewangan,hidup,masalah dan lain2..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge