_DSC6113Semuanya bermula dengan niat. Termasuklah untuk ubah diri menjadi lebih bagus, harus bermula dengan niat.

Semua perkara yang berubah mesti melalui dua perkara sahaja:

  1. Daripada kurang baik menjadi lebih baik, atau
  2. Daripada baik menjadi kurang baik

Jika semuanya kekal begitu saja, kita faham bahawa tidak berlaku perubahan. Perkara yang kekal atau tidak berubah juga mesti dalam dua keadaan sahaja:

  1. Kekal baik
  2. Kekal tidak baik

Sebagai makhluk, kita termasuk dalam kategori tidak kekal. Kita berubah-ubah berdasarkan apa yang ditetapkan oleh Tuhan. Tuhan menetapkan makhluk terhadap salah satu sifat yang harus baginya.

Untuk membuat perubahan, kita mesti berusaha mengubah sifat. Dalam ayat seribu dinar, saya pernah ceritakan ayat tersebut mengajak kita berfikir untuk mengenali sifat segala kejadian.

Ia merupakan kunci kepada mengubah diri kita kerana semua makhluk telah ditetapkan sifat masing-masing.

Untuk berjaya mesti ada sifat yang telah ditentukan terhadapnya. Untuk gagal juga mesti ada sifat yang membawa kepada kegagalan.

Tuhan kekal tidah berubah

Elok kita selitkan sedikit ilmu tauhid dalam artikel ini. Sedikit ilmu untuk mengenali Tuhan dalam bab kekal tidak berubah.

Jika anda kenal Tuhan, anda tentu wajib percaya bahawa Tuhan itu tidak sesekali berubah. Sebabnya adalah berbalik kepada penjelasan awal tadi di atas.

Jika Tuhan berubah, maka ia tidak terlepas daripada dua keadaan yang saya sebutkan di atas tadi. Kedua-duanya adalah mustahil terhadap Tuhan.

Ertinya Tuhan itu kekal sempurna tidak berubah. Mustahil Tuhan berubah dari baik kepada tidak baik atau dari tidak baik kepada baik. Kedua-duanya adalah mustahil.

Tuhan itu kekal sempurna sebagaimana ketika tidak ada sesuatupun selainNya dan tetap kekal sempuna apabila adanya segala makhluk.

Masa, ruang, arah, jirim, cahaya, air, dan kesemuanya adalah berupa contoh makhluk, termasuklah kita manusia. Dari tiada kepada ada. Dari kecil kepada besar, dan berbagai lagi perubahan.

Bagaimana ubah diri jadi lebih bagus

Berbalik kepada tajuk asal. Bila ada saja terdetik dalam hati mahu berubah, maknanya ada pengakuan dan kefahaman dengan keadaan semasa.

Mereka yang tak ada niat untuk ubah diri seolah-olah rasa diri dah sempurna. Atau mungkin juga anda yang tak mahu ubah diri disebabkan tidak sedar keadaan diri. Baik pun tak tahu tak baik pun tak tahu.

Untuk membuatkan anda sedar diri, tak dapat tidak perlu tambah ilmu pengetahuan. Dengan ilmu anda akan sedar diri. Sebab itu wajib bagi insan menuntut ilmu sejak dari buaian sehinggalah ke liang lahad.

Ubah diri dengan cari ilmu

Oleh itu perkara paling utama untuk ubah diri adalah dengan mencari ilmu. Dengan ilmu sahaja kita mampu mengenal diri. Mampu mengenal kedudukan dan keadaan diri. Baikkah atau tidak baikkah?

Dalam dunia moden ini, kita boleh andaikan semuanya ada asas ilmu untuk hidup. Anda yang baca blog ini tentu ada ilmu setakat yang anda telah tahu.

Dengan apa yang anda tahu itulah, anda sampai ke sini. Sampai ke tahap keadaan anda sekarang.

Keranikah anda?, penyeliakah anda?, penguruskah anda?, buruh kasarkah anda?, usahawan berpendapatan RM1,000 kah? usahawan berpendapatan RM10 ribu kah?, atau usahawan berpendapatan RM50 ribu kah?.

Tak kira di mana anda sekarang, ilmu yang dah ada pada diri anda banyak membantu membawa anda ke situ.

Persoalannya adakah dengan ilmu yang sama, setakat yang anda tahu boleh membawa anda ke tahap yang lebih baik? Sudah tentu tidak.

Oleh itu cari dan tambah lagi ilmu dari tak tahu kepada tahu. Di situlah rahsia yang boleh membantu anda menjadi lebih baik daripada sekarang.

Jangan berhenti belajar sampai Malaikat Maut datang mencabut nyawa, moga-moga anda mati dalam keadaan diri yang paling baik dari sekarang.

Ubah diri dengan baca buku

Dalam zaman moden ini juga ada berjuta-juta buku yang ditulis oleh mereka yang tahu sesuatu yang kita tak tahu. Ada yang percuma dan ada yang berbayar.

Jika anda nak ubah diri, pastikan tabiat membaca buku ditanam sampai sebati dalam diri. Jika anda masih belum mula, letakkan sasaran sekurang-kurangnya untuk membaca setengah jam sehari.

Tanam azam dan paksa diri untuk istiqamah membaca buku ilmiah setengah jam sehari. Bukan baca surat khabar, bukan baca FB, bukan baca novel, bacalah buku ilmiah.

Paksa diri baca buku pengurusan, buku biografi, buku pemasaran, buku pemikiran, buku kesihatan, buku perniagaan dan lain-lain lagi. Pilih buku berdasarkan apa yang anda mahu capai dalam hidup.

Jika anda tak tetapkan jenis buku yang mahu dibaca, anda akan banyak membuang masa kerana ada terlalu banyak jenis buku dalam zaman ini.

Ubah diri dengan jaringan

Ada ramai orang yang tahu apa yang anda tak tahu. Dan ada ramai juga orang yang tak tahu apa yang anda tahu. Gunakan peluang itu untuk bertukar-tukar ilmu.

Pilihlah lingkungan kawan yang punya sama matlamat. Pilih lingkungan mereka yang ada sikap mahu ubah diri. Elakkan mereka yang berfikiran negatif.

Ajarlah mereka apa yang mereka tak tahu dan belajarlah dari mereka apa yang anda tak tahu.

Amalan membaca perlu dikukuhkan dengan amalan berkawan atau membina jaringan. Mereka boleh menjadi tukang tegur jika anda ada silap faham.

Mereka juga boleh menjadi penyuntik semangat untuk anda tambah lagi pembacaan dan membuat kajian.

Ubah diri dengan relaks

Ramai yang anggap waktu relaks adalah ketika bercuti. Kalau nak relaks kena ambil cuti duduk rumah atau pergi melancong.

Anda boleh relaks di mana-mana. Samada ketika sedang buat kerja maupun ketika bercuti duduk di rumah.

Apa yang anda perlu lakukan adalah buat satu perkara dalam satu masa. jangan cuba nak buat semua benda seali gus.

Ramai yang saya lihat hidup tidak relaks. Saya lihat ramai memandu dengan laju sambil tangan memegang telefon. Minyak ditekan dan hon dibunyikan bila ada halangan.

Dia buat berbagai perkara dalam satu masa. Dia kejar appointment, dia follow up kerja dan dia elakkan kenderaan ketika memandu.

Cuba lihat di kedai-kedai makan. Ramai yang sambil suap nasi sambil membaca telefon pintar. Nasib baik tak sumbat nasi masuk dalam hidung.

Dalam masa yang sama mereka juga berbual melayan kawan di depan. Berbincang, makan dan melayari FB, semuanya dibuat dalam masa yang sama.

Jika anda buat satu perkara sahaja dalam satu-satu masa. Anda akan relaks dan punya masa untuk menghayati suasana. Anda akan lebih menguasai kerja yang anda sedang lakukan.

Dan yang lebih penting anda ada dalam keadaan relaks.

Ubah diri dengan berdoa

Ini pula jangan sesekali dilupakan. Anda tak akan sangka betapa hebatnya kuasa berdoa. Jika anda tahu kehebatan berdoa, sudah pasti masa anda akan banyak dihabiskan dengan berdoa.

Ini tidak!,

Kadang kala anda tergesa-gesa bangun dari duduk sebaik saja memberikan salam. Sambil solat fikiran anda tidak ada di situ. Anda asyik fikirkan apa nak buat selepas itu. Anda mula kejar masa nak habiskan solat.

Bila bergerak atau bawa kereta pula fikiran anda bukan berada di dalam kereta. Anda melayang jauh kepada kerja yang belum dihabiskan, melayang jauh kepada tempat yang anda mahu pergi.

Akhirnya anda tak pernah ada dalam keadaan semasa.

Tarik nafas sekerap mungkin dan berdoalah. Ini dapat perlahankan masa anda. Ini dapat berikan anda ketenangan.

Ini dapat kembalikan diri anda dalam keadaan semasa.

Wah! panjang pula artikel ini.

Saya dah janji nak tulis pendek-pendek sebab ada orang merungut kata saya tulis panjang-panjang. Mereka terpaksa baca dengan tergesa-gesa untuk habiskan artikel.

Saya percaya orang itu tidak berada di dalam keadaan semasa. Fikirannya sentiasa melayang ke masa hadapan yang belum pasti akan dapat ditempuhinya.

Elok ubah diri sekarang juga. Hidup dalam keadaan semasa dan nikmatinya dengan sebaik mungkin. Kerana masa yang akan datang belum pasti anda masih hidup.

Jadi relakslah, panjang sikitpun tak apa… moga anda dan saya akan termasuk dalam kategoti mereka yang sentiasa mahu ubah diri.

Dari baik kepada yang lebih baik. Insyaallah!

Total
32
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

9 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge