hidup ringkasSebelum sambut raya kita kena puasa sebulan. Ada 3 fasa dalam berpuasa dan setiap fasa ada 10 hari. Fasa paling penting adalah fasa terakhir 10 ramadan. Dalam fasa terakhir ini kita ditawarkan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Kalau nak dapatkan kebaikan malam tersebut maknannya kena tingkatkan amal ibadat lebih sedikit daripada fasa sebelumnya dan konsisten selama 10 malam terakhir. Maknanya perlu hentikan kerja tak perlu yang dah jadi adat kebiasaan orang kita sambut kedatangan syawal.

Secara umumnya ramadan merupakan bulan mengaut keuntungan akhirat. Ramadan bukan bulan bersuka ria perabih duit dan buat seribu satu macam pembaziran. Kita perlu utamakan akhirat dan buat apa yang agama anjurkan melalui tunjuk ajar Rasulullah. Jika kita betul-betul ikut ajaran Rasulullah kita perlu ubah adat kebiasaan kita.

Idaman saya yang juga menjadi azam untuk dibuat adalah seperti berikut:

  1. Tak perlu bersusah payah buat kuih raya. Dari mana datangnya idea buat kuih raya yang lansung tak bagus untuk kesihatan tu saya tak pasti. Siapa ajar sambut syawal dengan penuhkan meja dengan kuih raya juga satu kerja yang tidak diperlukan. Kalau tetamu datang, tujuannya untuk merapatkan hubungan dan bermaaf-maafan. Jadi hidang ala kadar macam hari-hari biasa dengan makanan yang menyihatkan dah cukup.
  2. Tak perlu belanja besar beli baju raya. Kita disuruh pakai pakaian elok ketika pergi solat hari raya. Kita tidak pula disuruh pakai pakaian baru ditempah dengan trend terbaru untuk beraya. Kalau nak buat juga baju raya, berikan tumpuan pada pakaian untuk bersolah saja. Yang lain tak perlu. Baju baru boleh dibeli pada hari lain sepanjang tahun. Pilih saja waktu ada duit dan bersesuaian. Lebih penting sekali hanya beli bila baju baru dah tak ada lansung, cuma tinggal baju lusuh saja.
  3. Tak perlu berhias rumah dengan kelengkapan baru dan berbelanja besar. Ini juga satu kerja tak perlu dan satu pembaziran. Saya syak ia satu konspirasi puak kapitalis untuk mengaut untung besar dengan cipta keperluan berdasarkan waktu hari kebesaran.
  4. Bercuti sebaik saja masuknya 10 hari terakhir bulan ramadan. Banyak syarikat di luar negara yang islamik amalkan budaya ini. Bukan untuk buat persiapan raya sebaliknya untuk tumpukan pencarian malam seribu bulan. Arab Saudi amalkan budaya ini. Elok jika seluruh negara umat Islam mengamalkan budaya yang sama.
  5. Duit yang dapat dijimatkan untuk beli baju raya, buat kuih raya dan hias rumah disalurkan pada amalan sedekah sepanjang ramadan. Ini yang agama suruh dan ganjarannya cukup besar berbanding bulan-bulan lain.

Ringkasnya kita perlu ubah budaya sambutan raya. Memang kita disuruh mengimarahkan sambutan syawal. Tapi ada banyak lagi cara lain yang lebih afdal daripada buat kuih, beli baju baru dan hias rumah dengan benda baru.

Jika semua amalkan budaya ini. Jalan TAR akan sunyi dan para peniaga akan berebut kaut keuntungan akhirat daripada kaut keuntungan duit dibazar ramadan. Agama tak suruh buat duit sampai tak pergi masjid dan meningkatkan ibadah dan melupakan maksud sebenar ramadan.

Budaya baru ini juga dapat mengawal kemasukan orang ramai ke hospital sebaik saja masuk bulan syawal. Kes pesakit masuk hospital meningkat setiap kali menjelang raya sebab makanan kebanyakannya tak sihat. Kita juga seperti lepas geram belasah makan macam tak ingat dunia. Makan pula lebih berganda daripada biasa dan segala pantang tidak dijaga masa raya.

Yang paling penting sekali kita dapat jimat beribu ringgit berbelanja perkara yang tidak perlu atas nama adat. Adat pelik yang dimomokkan oleh para pengaut keuntungan perniagaan. Budaya berbelanja hanya pada perkara perlu saja akan terbentuk dan perniagaan yang tidak sihat akan mati. Budaya ekonomi sihat berdasarkan keperluan akan muncul menggantikan budaya ekonomi sesat.

Apa yang saya idamkan di atas sebenarnya adalah amalan hidup ringkas yang mementingkan perkara perlu saja dan meninggalkan amalan tidak perlu !

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge