Baru-baru ni, sebelum ke pejabat saya singgah sebentar di hentian tol USJ. Jam baru pukul 9 pagi, masih sesuai untuk singgah solat Duha sebentar kat hentian USJ tu.

Selain dari singgah solat Duha di waktu pagi kat masjid, saya suka singgah di mana-mana perhentian PLUS yang ada kat sepanjang Lebuhraya. Entah kenapa suasananya sentiasa mendamaikan di mana-mana perhentian lebuhraya PLUS.

Kedamaian yang kadang kala tidak ada pada sesetengah masjid atau surau kat negara kita.

Kebersihan sentiasa mendamaikan

Bila di amati, saya rumuskan sebab utama suasana damai sentiasa ada di Perhentian lebuhraya PLUS adalah kerana kebersihan yang rapi. Inilah yang saya kata kat atas tadi, tidak ada pada sesetengah masjid atau surau kat negara kita.

Ada masjid dan surau yang berbau busuk tandasnya. Pecah di sana dan sini, paip bocor, pasir penuh atas lantai tepat ambil wuduk, sejadah berbau masam, karpet di penuhi tahi cicak, sawang lelabah di segenap ruang, selepas buang air tak boleh flush dan macam-macam lagi keadaan yang menyedihkan.

Cuba pergi lihat mana-mana perhentian PLUS, lihat tandasnya, lihat suraunya, lihat taman di persekitarannya. Kesemuanya amat bersih dan tersusun rapi. Pokok yang menghijau meredupkan mata. Rumput yang sentiasa pendek sama paras menambahkan lagi rasa nyaman.

Bila masuk ke dalam surau di perhentian lebuhraya, buka kipas angin saja dah rasa macam buka pengdingin hawa, sejuk dan nyaman. Pandang pada penyidai pula, kelihatan sejadah kemas tersusun. Ambil sehelai sejadah, cium sedikit, berbau segar baru di basuh.

Semua perkara yang saya terangkan kat atas tu mencetuskan rasa damai kat hati. Sebab itu saya suka singgah di mana-mana perhentian lebuhraya PLUS untuk solat sunat Duha. Bersolat dan berdoa dalam keadaan tenang itu lebih mustajab rasanya.

Solat sunat Duha

Sambung balik cerita asal…

Sebaik saja letakkan kereta, saya keluar menuju ke surau di perhentian tol USJ yang saya singgah tadi. Ketika berjalan kelihatan seorang lelaki berbangsa Cina sedang mengorek-ngorek pintu sebuah kereta Honda Accord lama. Peluh meleleh di dahinya walaupun suasana dingin, hari masih pagi dan tiada sinar cahaya matahari.

Saya abaikan saja dan teruskan dengan urusan saya sendiri. Masuk ke surau, ambil wuduk, capai sehelai sejadah, hampar dan angkat takbir.

Allahuakbar !.

Mula baca ikrar dan kontrak perjanjian utama antara saya dengan Tuhan secara perlahan, Segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh alam…, hayati maknanya dan tenggelam…

Assalamualaikom warahmatullah sambil paling ke kanan, Assalamualaikom warahmatullah sambil paling ke kiri. Saya mula berdoa.

Selesai semua urusan itu saya sandar sebentar pada dinding surau yang bersih dan nyaman itu. Sengaja tak buka lampu. Saya biarkan saja suasana redup surau, yang tingkapnya menghadap pokok-pokok kayu rimbun menghijau itu mendakap jiwa.

Saya luangkan masa sebentar untuk cas bateri telefon yang dah nak mati. Sambil mengecas bateri, saya ambil sebuah buku dari beg kulit yang sentiasa saya bawa ke hulu dan ke hilir. Buka buku dan sambung membaca, sementara nak tunggu bateri sedikit kuat.

Bantu Ah Keat buka pintu

Sekitar setengah jam melayan buku kat dalam surau, saya mula rasa dah boleh beredar ke pejabat. Lebuhraya tentu dah mula reda tak sesak lagi. Kemas semua barang, masukkan semula ke dalam beg lalu saya keluar dari surau menuju ke kereta.

Lelaki tua berbangsa Cina tadi kelihatan masih terkial-kial mengorek pintu keretanya. Timbul pula rasa kasihan dan ingin tahu apa masalahnya. Saya menghampiri lelaki Cina itu dan bertanya. Rupa-rupanya dia tertinggal kunci keretanya di dalam dan sistem autolock keretanya itu membuatkan pintu keretanya terkunci rapat tidak boleh dibuka.

“Saya mau ambil ubat, mau kasi itu orang, dia tak sihat… ” terang lelaki itu. Dia cuba bantu seorang pekerja pencuci PLUS kat perhentian itu tadi dengan menggunakan ubat herbanya. Entah macam mana kunci tertinggal dan dia tersangkut kat situ.

Sudah lebih dua jam dia terkial-kial cuba buka pintu dengan menggunakan dawai keras, tapi masih gagal.

Kesian pula saya lihat dan timbul rasa nak bantu dengan apa yang saya tahu. Saya minta dawai keras yang dia ada untuk membantunya. Dia kerat sepanjang dua jengkal untuk kegunaan saya, takut nanti terkena mata kalau panjang sangat, kata lelaki Cina itu prihatin.

Saya pergi ke pintu depan kereta itu di sebelah sana dan mula buat apa yang selalu saya buat jika pintu kereta terkunci. Angkat gagang pembuka dan mula cucuk dawai keras itu sehingga terkena lock button. Bila dah kena, lepaskan gagang dan mula godek dan cucuk naik ke atas.

Tup ! terbuka pintu tersebut dengan pantas. Semua masalah lelaki Cina itu selesai dan dia rasa amat kagum.

Wuaa ! dua jam lebih gua try buka woo, tq, tq, tq, nasib baik lu tolong ! 

Temuramah Ah Keat

Saya pergi basuh tangan yang berminyak. Entah dawai keras dari mana yang dia ambil tadi saya tak pasti. Dawai itu berminyak hitam melekat pada tangan saya.

Lelaki Cina itu turut sama membasuh tangannya di sebelah. Saya ambil peluang itu untuk mengenalinya.

Namanya Ah Keat dan kerjanya tangkap ikan di laut. Dalam seminggu dia akan pergi tangkap ikan dua atau 3 hari dan hasil tangkapannya digunakan untuk keluarganya sendiri dan selebihnya dijual.

Sebelum itu dia pernah kerja sebagai pemandu lori, kemudiannya jadi pemandu bas. Kerja yang sukar dengan keadaan umurnya dan dengan bayaran yang tidak berbaloi. Di tambah lagi dengan kos saraan hidup yang semakin tinggi, dia akhirnya berhenti jadi pemandu.

Dengan sedikit duit simpanan yang dia ada, dibelinya bot kecil untuk tangkat ikan di laut. Itulah kerjanya sekarang.

Untuk tambah pendapatan, dia usahakan kapsul herba secara tradisional. Dia yang buat sendiri dari resepi keturunannya yang dah lama di amalkan. Herba itu amat baik untuk lawaskan kencing dan buang angin. Juga baik untuk masalah karang, kata Ah Keat.

Dia bertega suntuk berikan saya satu beg untuk saya bawa balik dan cuba.

‘Satu hari hanya satu kapsul’, pesannya bersungguh-sungguh pada saya.

“Lu cuba tengok, kalau banyak kencing, ini herba akan kasi kontrol supaya balance, kalau kurang kencing, ini herba akan kasi lebih supaya balance.. “, terangnya lagi.

Ringkasnya, herbanya adalah untuk selaraskan sistem kencing yang ada dalam badan. Sangat bagus menurut Ah Kean dan dia amat bangga dengan produknya itu.

Cabaran dunia usahawan Ah Kean

Ah Kean tunjukkan pada saya bungkusan ubatnya. Lengkap dan cantik. Siap ada label, ada isi kandung pada botol plastik yang kecil.

Saya belek tapi tak dapat lihat adanya pendaftaran dari kementerian kesihatan. Lalu saya tanya kenapa tak daftar ?

Sudah lebih dua tahun dia berusaha untuk mendaftarkan kapsul herbanya tapi masih tidak berjaya. Mereka minta duit pelicin kalau nak cepat, kata Ah Keat pada saya. Tapi dia tak ada duit. ” Mana gua mau cari duit manyak ? “, luahan rasa kecewa Ah Keat.

Jadi dia hanya jual secara kecil-kecilan secara terus pada kenalan sahaja. Itu dah cukup untuk menampung kehidupannya.

Setelah habis berseimbangd engan Ah Keat, saya mohon untuk beredar. Ah Keat berikan nombor telefonnya. Dia berterima kasih pada saya dan pesan kalau saya ada jalan daftar produk herbanya, dia sanggup buat kerjasama dengan saya untuk bisnes.

Saya senyum saja sambil angguk kepala. Dalam hati saya berbisik, bangsa apapun seseorang itu, susah senang berniaga sama saja. Perlu sabar, perlu ada jaringan, perlu ada usaha dan perlu ada otak…. dunia kusahawanan tidak ada pilih kasih.

Kejayaan dan kekayaan sentiasa memilih siapa yang sesuai untuk dijadikan tuan. Jika anda sesuai dan baik untuk menjadi tuan pada kejayaan dan kekayaan, dia akan kekal, Jika tidak dia akan cari tuan lain pula.

Total
20
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

  1. Artikal yang sangat baik, tuan subhi tiada plan untuk keluarkan buku ke?
    Artikel sebegini dapat menyentuh hati dan menjadi asbab pd seseorg untuk memperbaiki diri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge