Berjaya kahwin sebab berfikiran positif !

By | 27/08/2012

smiley-1159561_1280Sedikit perkongsian pasal berfikiran positif. Ia adalah satu pengalaman dalam bab nak kahwin yang telah saya lalui.

Saya tujukan artikel ini khas untuk mereka yang belum lagi mendirikan rumah tangga.

Kalau umur masih muda mungkin mendirikan rumah tangga bukan satu desakan, sebaliknya kalau dah berumur, ia menjadi satu liabiliti yang menjinjing bahu kemana saja kita pergi.

Saya rancang untuk berkahwin pada umur 25 tahun.  Itu umur yang dikira sesuai bagi seorang lelaki pada pendapat peribadi saya.

Malangnya perancangan tersebut tak menjadi. Akhirnya, saya kahwin lewat 8 tahun daripada yang dirancangkan.

Kahwin lambat sebab tak berfikiran positif

Dulu saya tak sedar dan tak ambil peduli kenapa jadi begitu.

Bila pandang kembali ke belakang saya mula terfikir kenapa pada umur 33 saya boleh kahwin dan bukan pada umur 25 sedangkan kesemua halangan yang dihadapi adalah sama saja malah pada umur 33 tahun halangannya lebih mencabar.

Jawapannya adalah sikap atau cara saya berfikir.

Saya tersedar sekarang bahawa sikap positif membuatkan saya maju setapak menjayakan apa yang saya mahu. Sikap negatif pula membuatkan saya berhenti atau berundur dari meneruskan hasrat hati saya.

Rumusannya begini:

  • Anda ada keinginan untuk menjayakan sesuatu.
  • Bersikap positif sepanjang jalan membuatkan anda maju selangkah demi selangkah menjayakannya.
  • Bersikap negatif pulak membuatkan segalanya terhenti, tiada kemajuan dan impian tinggal impian.

Berfikiran positif sepanjang perjalanan

Proses mengorat

Tak ada lelaki yang tak pernah berkenan pada seseorang wanita. Tentu ada sesekali terdetik dalam hati ingin mengenali seseorang wanita yang samada paras rupa, sopan santun, atau budi pekertinya menambat hati.

Kalau kita jenis yang bersikap negatif, timbul idea “takkanlah dia akan berkenan dengan orang macam aku?”, lalu kita padamkan hasrat murni itu.

Kalau kita bersikap positif pula, “lebih baik aku cuba daripada menyesal tak mencuba, untung-untung dia terbuka dan menerima aku” lalu kita melangkah ke depan dan tup! rupanya ada peluang.

Proses melamar

Respon awek itu bersungguh-sungguh agar kita bertemu ibubapanya membuatkan kita berdiri keras kaku serba gelabah.

Kita lalu bayangkan bapanya bermisai lentik, garang merenung tajam pada kita dan berkata “NO WAY!!!”.

Itu jika sikap kita negatif, lalu kita mula menjauhkan diri berundur ke belakang sehinggalah ada orang lain yang kebas awek itu.

Kalau kita berfikiran positif, apa yang ada dalam fikiran kita adalah sambutan mesra ayahnya dan mengharapkan agar kita segera menghantar rombongan satu kampung untuk melamar secara formal.

Ini membuatkan kita terus hidupkan enjin kereta memecut terus menuju ke rumah awek dan bertemu ibubapanya. Dan langkah leganya mereka memang menantikan kehadiran kita. “bawalah rombongan masuk meminang segera!”.

Itu ayat terakhir perbualan mesra dengan orang tua awek tersebut.

Proses bertunang

Semua orang kata sekarang ini ibubapa suka letak belanja dan wang hantaran terlalu tinggi sedangkan kita bukannya berada. Wang simpanan pulak tak seberapa, tak payahlah pergi lagi tunggu dan tunggu.

Fikiran negatif sebegitu membantutkan perjalanan usaha untuk berkahwin kita.

Jika kita mahu bersikap positif, kita akan berkata walau dia letak belanja RM1 jutapun akan aku usahakan sampai dapat. Tak ada siapa yang boleh menghalang aku meneruskan hasrat murni ini.

Lalu kita melangkah setapak lagi ke depan dan alangkah terkejutnya bila wang hantara hanyalah RM10 ribu!, apalah sangat jika nak dibandingkan dengan RM1 juta.

Kan mudah begitu?

Proses Akad Nikah

Setiap kali terfikirkan kita sedang menghadap lutut bertemu lutut dengan Tok Kadi sambil beliau menggengam kuat tangan kita lalu menggoyangkannya, peluh mula menitis pada dahi. Rasa nak pengsan dan terus tak ingat nak kata apa.

Semua soalan Tok Kadi kita tak dapat jawab, rukun nikah kita kata ada 13 dan berbagai perkara bodoh lagi kita lakukan. Ini fikiran negatif yang membuatkan kita mencari alasan untuk menagguhkan perkahwinan

Jika kita positif, kita berazam untuk menjawab segala soalan.

Kalau tak tahu, jawab saja tak tahu dan janji akan beli buku untuk belajar atau cari dalam internet atau tanya kawan seorang ustaz, tentu Tok Kadi terangguk-angguk kagum.

Kalau terpaksa ulang ijab kabul sampai seribu kalipun tak apa asalkan semuanya selesai hari itu juga. Maka kita terus ke hadapan dan alangkah leganya bila kita hanya terpaksa ulang ijab kabul sebanyak 11 kali sahaja, bukankah itu lebih baik daripada seribu kali.

Hehehe, kita mesti berfikiran positif !

Segera berfikiran positif

Sahlah sudah hubungan suami isteri jika segalanya berjalan dengan kita sentiasa bersikap positif.

Sebab itu saya katakan setiap kali kita befikiran positif kita akan terus melangkah ke depan dan ke depan sehingga tercapai matlamat.

Begitu juga dalam segala hal yang lain. Sikap itulah yang membawa kepada keadaan diri kita sekarang samada berjaya atu tidak.

Selepas sah menjadi pasangan suami isteri pulak jangan lupa letakkan matlamat akan mengekalkan perhubungan itu sehingga ke anak cucu atau sehinggalah salah seorang pergi dahulu.

Pegang matlamat tersebut kuat-kuat dan bersikap positiflah selama kita melayari bahtera rumah tangga walaupun ribut tropika melanda.

Andaikata matlamat itu kita lupa, maka tiada lagi pedoman untuk menentukan mana positif dan mana negatif.

2 thoughts on “Berjaya kahwin sebab berfikiran positif !

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge