Nak jadi usahawanSemalam saya bertemu dengan dua anak muda. Mereka datang dari Pulau Pinang atas urusan kerja. Kedua-duanya merupakan pekerja kepada sebuah syarikat seorang kawan saya di kampung, Pulau Pinang.

Ada beberapa dokumen yang saya perlu kirimkan pada kawan saya di Pulau Pinang itu. Kebetulan pekerjanya ada urusan tender di Kuala Lumpur, jadi saya hanya perlu berjumpa dengan pekerjanya untuk kirimkan dokumen tersebut.

Saya pergi mengambil mereka di Ampang Point dan belanja mereka makan di kedai kegemaran saya di Keramat U3. Ketika makan kami berbual panjang tentang keusahawanan.

Kedua-dua mereka masih muda dan kuat bekerja. Mereka punya hasrat untuk jadi usahawan satu hari nanti. Oleh itu soalan mereka berkisar tentang bagaimana saya boleh jadi usahawan.

Saya bertanya kepada mereka betulkah anda nak jadi usahawan?

Ya!, jawapan mereka amat yakin. Salah seorang yang lebih muda itu baru berumur 23 tahun. Dia tinggalkan kerjanya sebagai seorang kelasi kapal untuk bekerja dengan syarikat kawan saya itu. Dia mahu belajar selok belok perniagaan, katanya.

Yang seorang lagi pula, yakin yang dia memang nak jadi usahawan, tapi dah hampir 10 tahun masih bekerja dengan syarikat kawan saya itu. Dia mengeluh kerana sampai sekarang masih tak berani nak berniaga sendiri.

Bagaimana nak jadi usahawan

Lalu soalan menarik yang mereka tanya adalah bagaimana saya boleh berniaga?

Jawapan saya mudah saja. Saya berhenti kerja, letak jawatan dan mula berusaha untuk berniaga.

“Buat apa yang kita rasa betul-betul nak buat, dah kata nak berniaga, berhenti kerjalah dan cari makan dengan berniaga”, itu jawapan ringkas saya pada mereka.

“Mungkin abang dah bersedia ketika itu, dah ada duit da nada peluang buat duit”, tanya salah seorang dari mereka minta kepastian.

Imbasan kisah saya jadi usahawan

Lalu saya ceritakan sejarah saya betul-betul mula berniaga…

Saya berhenti kerja ketika itu tahun 2003, ketika itu umur saya dah 35 tahun. Dan memang saya dah nekad dalam hati saya untuk berhenti kerja dan betul-betul berniaga ketika umur 35 tahun.

Bila sampai masanya, saya terus berikan surat letak jawatan dan berhenti kerja. Perniagaan mula saya adalah mengusahakan perniagaan perkhidmatan kawalan serangga.

Masa itu saya baru dapat anak kedua, anak pertama masih kecil. Saya tak punya wang simpanan, saya tak ada rumah sendiri, dan saya tak ada pengalaman dalam industri pest control. Apa yang saya ada hanyalah azam betul-betul nak berniaga, nak jadi usahawan.

Saya tinggalkan gaji yang agak banyak untuk berniaga dengan tidak ada jaminan samada saya boleh bawa pulang gaji untuk beri makan keluarga saya dan juga ibu di kampong. Itulah permulaannya dan satu pengalaman paling ngeri tapi seronok pernah saya lalui.

Selama 3 tahun saya berjimat cermat, sewa rumah dari USJ pindah ke Kampung Melayu Subang. Dari sewa lebih seribu sebulan saya pindah ke rumah sewa dengan kadar RM250 sebulan.

Saya jual kereta Honda, dan cari kereta Kelisa second-hand dengan bayaran ansuran RM350 sebulan. Selama 3 tahun saya tak pernah beli baju raya pada diri sendiri dan pada isteri. Pakaian anak-anak saya cari yang paling murah dan beli di saat akhir hari raya.

Memang bukan senang nak jadi usahawan

Kalau demam atau sakit, saya terbaring dalam rumah tak ke klinik sebab tak ada duit. Bawa anak-anak ke KFC atau McD, jauh panggang dari api. Dan hampir setiap malam saya akan rasa peluh sejuk di dahi setiap kali melihat anak isteri sedang tidur nyenyak. Kasihan mereka… ayat itu membuatkan saya tak sabar tunggu hari siang untuk berusaha cari makan untuk mereka.

Siapa kata senang?

Tanya saya pada mereka berdua. Tak ada kesempurnaan dalam setiap permulaan. Tapi kita semua ada satu anugerah yang boleh digunakan dengan baik, “sabar” dan yakinlah bahawa setiap kesusahan akan diganti dengan kesenangan.

Yang penting saya dah jadi usahawan

Sekarang saya dah agak ok. Dah ada beberapa syarikat yang mampu menyara kehidupan saya ala kadar. Saya dah ada rumah sendiri, dah ada simpanan sendiri, dan saya ada pendapatan pasif yang tak memerlukan saya pergi kerja kalau saya rasa malas nak kerja.

Saya kekal hidup sederhana dan berazam tak akan bermewah dan menunjuk pada orang lain. Tak guna menunjuk sebenarnya dengan kemewahan.

Kalau anda rasa nak menunjuk pada orang yang lebih kaya, yakinlah mereka sentiasa memandang rendah pada anda. Dan kalau anda nak menunjuk pada orang yang lebih susah, anda hanya mencetuskan rasa dengki dalam hati mereka. Jadi pada siapa anda nak menunjuk sebenarnya?

Tak berani nak jadi usahawan

Selesai saya bercerita, saya tanya pada mereka sekali lagi betulkah anda nak jadi usahawan?

Mereka senyum pahit dan keluar dari mulut mereka, alahai! tak beranilah !.

Itu adalah jawapan hampir kebanyakan orang yang ada hasrat nak jadi usahawan tapi tak berani nak berhenti kerja.

“Kenapa takut?” saya bertanya.

“Yalah!, kalau tak dapat cari duit macam mana?”, jawab mereka risau sambil berkerut dahi.

Betulkah anda nak jadi usahawan?

Anda yang membaca artikel ini mungkin bertanyakan soalan yang sama seperti mereka. Bagaimana kalau tak boleh cari duit?.

Itu sebenarnya soalan yang betul. Tapi masalahnya anda tak kembangkan lagi soalan tersebut. Anda berhenti di situ saja dan terus makan gaji.

Sebab itu anda sampai sekarang masih makan gaji.

Jika anda serius mahu jadi usahawan, elok serius kembangkan lagi soalan itu. Cuba Tanya lagi apa akan jadi kalau anda tak dapat cari duit?.

Ada banyak jawapannya dan saya pasti anda boleh senaraikan semua jawapan yang patut dan akhirnya semua kemungkinan yang ada tidak akan membawa anda mati kebuluran.

Semua kemungkinan yang ada sudah pasti anda boleh sediakan jalan penyelesaiannya yang dapat menyelamatkan anda daripada mati kebuluran.

Masalah kenapa tak berani nak jadi usahawan

Satu-satu masalah yang anda tak akan dapat selesaikan adalah takut nanti apa orang kata, anda takut malu orang tengok susah, takut malu orang ejek, dan seribu satu malu lagi yang berkisar pada apa kata orang…

Selagi perasaan itu menghantui diri anda, sampai tua anda tak akan jadi usahawan.

Anda akan bawa masuk perasaan itu ke dalam kubur seperti mana berjuta-juta lagi orang lain di kawasan perkuburan yang anda lalu di mana-mana.

Malang bagi mereka yang dah ada dalam kubur itu kerana mereka sudah tak boleh bangun dan buat apa keinginan mereka yang dipendamkan sampai mati.

Tapi anda masih beruntung kerana masih hidup dan sedang membaca tulisan ini. Adakah anda masih mahu sia-siakan masa dan peluang yang masih ada ini?

Sekali lagi saya tanya pada anda semua yang teringin nak jadi usahawan tapi masih takut berhenti kerja dan berniaga…

“Betulkah anda nak jadi usahawan?”

Selepas ini rajin-rajinlah pergi ziarah kubur, jangan lupa pergi angkat keranda iring mayat ke kubur. Jangan lepaskan peluang rapatkan mata orang yang baru hembuskan nafas akhirnya.

Tanya diri anda apakah anda akan bawa masuk kubur dengan membawa seribu satu macam penyesalan. Memang pasti ada juga penyesalan, tapi janganlah banyak sangat.

Mungkin anda tak nak jadi usahawan, anda nak jadi ilmuan, atau dermawan atau apa-apa saja, jangan hanya sekadar nak jadi satu masa nanti. Mulakan sekarang atau anda akan bawa semua impian itu masuk dalam kubur.

Memang betul ada banyak manfaatnya setiap kali kita lihat kubur. itu destinasi akhir kita di atas muka bumi ini. Sekali masuk tak akan keluar lagi. Dan ramai yang masuk dengan seribu satu macam sesalan. Moga Allah lepaskan kita dari siksa kubur dan masukkan kita ke dalamnya dengan penyesalan yang minimum… insyaallah!

Total
48
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

11 comments

  1. Sy seorg yg tiada keyakinan utk berniaga. Baca entri tuan, Sedikit sebanyak menaikkan semangat sy untuk berniaga. Terima kasih tuan, Alhamdulillah.

  2. SubhanaLLah…satu pengalaman yang baik ..buat sesiapa yang nak jadi usahawan..
    Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan ( Ash-Syar-h 94:5 )
    Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Ash-Syar-h 94:6)..
    bersusah2 dahulu..bersenang2 kemudian..

  3. insyallah
    takut juga nak jadi usahawan ni umpama bermain ombak
    ombak kecil boleh dibuat main,ombak besar tenggelam sikit,kalau tsunami mau hanyut

  4. Saya rasa saya rela susah mula2 untuk jadi usahawan, iyela berniaga mana ada terus senang kan? Mula2 mesti susah so kalau kite set mind kite mungkin tak kisah sgt n bg saya mase muda ni lah tak de komitmen time ni la kene rasa jatuh bangun dulu.Mengikut pedapat dan situasi saya. Buat masa ni saya mmg tengah sebolehnya kumpul modal.Blog tuan banyak memberi inspirasi pada saya yang cepat lemah semangat hehe terima kasih!

  5. Sejujurnya memang kita banyak jumpa orang yang ramai jadi usahawan. Saya pun dulu takut nak berhenti kerja. Banyak sebablah komitment la takut itu ini la modal x cukup lah semua ada.

    Saya ada terbaca dalam blog ni tentang solat dhuha, sy try buat… alhamdulillah rezeki Allah beri berlipat ganda. Selepas sy berhenti kerja dan meniaga full time baru saya tau erti sebenar apa itu meniaga.

    Meniaga @ kerja ni semua punca rezeki, pemberi rezeki ni ada satu iaitu Allah. Jadi jagalah hubungan anda dengan Pemberi Rezeki macam kita jaga Boss kita. Insyaallah meniaga lebih maju. Kerja bertambah bagus.

  6. Mungkin keyakinan bahawa rezeki itu datang dari Allah belum lagi capai 100%. Oleh itu, masih ramai yang hanya bercita-cita untuk jadi usahawan.

  7. Tersentuh mmbace artikel kali ini hampir serupe dgn pjlnn hidup sy namun syabas dan tahniah tuan telah berjaya menempuh nye dgn jaya…syabas inspektor sahab!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge