bisnes kedai kopiHari ini saya teringatkan nostalgia bisnes kedai kopi nasi lemak gulai ikan kering.

Selepas selesai senaman pagi seperti biasa, saya sarapan dengan isteri kat dapur rumah. Isteri sediakan sebungkus nasi lemak kecil atas meja, khas untuk saya. Sebelah nasi lemak ada telur goreng diletakkan dalam piring.

Disediakan juga secawan kopi O pekat panas.

Kopi O jenama Hang Tuah dalam bentuk uncang, sentiasa jadi pilihan saya untuk gantikan bancuhan kopi O yang biasanya emak kat kampung sediakan setiap pagi. Emak pakai serbuk kopi yang dibeli di pasar pagi ahad. Kuantiti serbuk, gula dan air yang seimbang dibancuh emak ada lebih kurang pada kopi O Hang Tuah dalam bentuk uncang itu.

Nasi lemak, telur goreng mata kerbau dan Kopi O panas. Boleh dikatakan itu menu yang agak rutin bagi saya sejak dulu sampai sekarang.

Ketika membuka bungkusan nasi lemak yang kecil itu, saya teringatkan gulai ikan kering yang isteri masak semalam.

“Gulai ikan kering semalam tu dah panaskan?”, tanya saya pada isteri.

“Belum!, nak dipanaskan ke?”, tanya isteri sambil terus keluarkan periuk gulai ikan kering dari peti ais. Dia tak tunggu jawapan saya untuk terus panaskan gulai ikan kering tu.

“Nak campur kuah ikan kering tu sikit ke dalam nasi lemak ni.. “, jawab saya walaupun tak ditanya.

Saya tunggu sebentar sementara gulai ikan kering tu dipanaskan. Biar lambat asalkan sedap. Kata saya dalam hati. Lama dah tak makan nasi lemak gulai ikan kering.

Bisnes kedai kopi nasi lemak gulai ikan kering

Bila dah siap panas, isteri nak cedok gulai tu untuk dimasukkan ke dalam pinggan. Tapi saya kata tak payah.

“Ceduk sedikit saja kuahnya dan masukkan ke dalam nasi lemak ini”, terang saya tak mahu susahkan isteri.

Bila dah dimasukkan campuran gulai ikan kering tu, nasi lemak kelihatan kekuningan. Saya ceduk sesudu dan suapkan masuk ke dalam mulut lalu kunyah perlahan-lahan.

Isteri duduk sebelah tengok saja. Saya makan dan menikmati kelazatan nasi lemak campuran sambal ikan tumis bersama dengan gulai ikan kering.

“Masa kat kampung dahulu, nasi lemak gulai ikan kering ni jadi salah satu makanan pilihan abang..”, terang saya pada isteri bila tengok dia macam nampak pelik, saya campurkan nasi lemak itu dengan gulai ikan kering.

Kat kampung dulu, hanya satu kedai yang saya suka makan nasi lemak gulai ikan kering sebegitu.

Kedai kopi Pak Neh. Nama Kedai kopi Pak Neh tu, sedar-sedar itulah nama panggilan kedai kopi di kepala simpang 3 kat Pekan Penanti dahulu.

[Nota: Sebutan Pak Neh perlu disebut Neh tanpa membunyikan huruf ‘H’ di belakang tu.]

Pak Neh buat bisnes kedai kopi kat situ dah lama. Sejak saya kecik lagi dia dah buka bisnes kedai kopi tu. Dibantu oleh Pak Mat yang mahir dalam ilmu betulkan tulang patah.

Kedua-duanya kawan bapak. Sama-sama jadi ahli surau yang terletak tak jauh dari kedai kopi Pak Neh tu.

Nasi lemak gulai ikan kering

Memang ada juga orang lain yang buat jual nasi lemak gulai ikan kering kat kampung dulu.

Tapi tak boleh lawan yang dijual oleh Pak Neh kat kedai kopinya. Mungkin sebab dah dibiasakan oleh bapak sejak kecil makan nasi lemak gulai ikan kering tu, maka dah serasi dengan lidah saya.

Nasi lemak gulai ikan kering Pak Neh dibungkus kecil dengan menggunakan plastik pada bahagian dalamnya dan dilapis dengan kertas surat khabar pada luarnya. Dia tak gunakan daun pisang seperti mana biasa orang kampung pakai bila bungkus nasi lemak.

Boleh dikatakan cara membungkus Pak Neh agak berbeza ketika itu. Ringkas dan pantas agaknya.

Pak Neh akan letakkan seketul ikan talang masin bersama dua atau 3 ketul ubi kentang kecil, betul-betul di atas bucu bukit nasi lemak kecil itu. Warnanya kuning dan bukan merah macam nasi lemak ikan bilis biasa sebab kuahnya adalah kari.

Rasanya memang unik dan tak dapat nak saya gambarkan dengan perkataan. Malah sampai sekarang saya masih dapat ingat lagi macam mana rasanya.

Mula bisnes burger depan kedai kopi

Bisnes kedai kopi Pak Neh tu sebenarnya simpan banyak kenangan dalam hidup saya.

Kalau masa sekolah saya hanya suka makan nasi lemak gulai ikan kering kedai Pak Neh, bila tamat sekolah pula saya mula berniaga burger kat depan kedai Pak Neh itu.

Selepas selesai SPM, saya perlu cari duit.

Ayah dah lama meninggal sejak saya tingkatan 2 lagi. Jadi kalau nak duit kena pandai-pandai cari sendiri. Hasil dari pengalaman bantu kawan buat bisnes burger ketika masih tingkatan 5, saya nampak itulah bisnes yang paling sesuai untuk saya teruskan.

Sebelum itu saya lihat dah ada orang mula buka stall burger kat pekan penanti. Lepas saya tamat SPM, saya tengok orang pertama itu dah tak buat lagi kat pekan tu. Saya lihat tempat yang paling mudah dan sesuai adalah di depan kedai kopi Pak Neh.

Saya tak pikir panjang untuk terus minta izin pada Pak Neh buka stall burger kat depan kedainya sebelah petang. Lagipun Pak Neh tak berniaga sebelah petang.

Orang semua kata dah ramai yang minta pada Pak Neh sebelum itu, tapi dia tak kasi. Saya abaikan saja apa orang kata. Tak cuba tak tahu. Itulah yang saya fikirkan, lalu pergi jumpa Pak Neh.

Memang betul seperti mana yang orang beritahu, Pak Neh memang tak berikan orang berniaga depan kedai kopinya pada sebelah petang dan malam. Ganggu dan takut nanti kotor, kata Pak Neh.

Tapi memandangkan saya anak kawan baik dia, dan saya juga anak yatim, maka dia benarkan hanya untuk saya. Dah rezki saya rupanya. Maka bermulalah aktiviti berniaga burger setiap hari selepas saya tamat SPM.

Bisnes burger mewah zaman dulu

Masa itu sekitar tahun 1985. Bisnes burger baru sedang bermula.

Burger Ramly dah terkenal ketika itu dan stall burger sedang mula merebak masuk ke seluruh pelusuk negara termasuk ke kampung saya.

Biasanya orang muda yang akan buka bisnes burger ketika itu sebab ianya masih lagi makanan baru buat orang kampung.

Bisnes burger saya memang laris. Saya boleh himpun duit dan agak mewah. Malah boleh gajikan seorang pembantu yang merupakan kawan sekelas.

Bila dah ada pembantu, urusan buka stall akan diuruskan oleh pembantu saya tu. Dan saya mula relaks sedikit. Buat bisnes bagi berjalan sendiri dan kemudiannya saya lebih banyak relaks sebenarnya dah jadi macam tabiat saya sejak awal dahulu.

Saya akan pastikan roti burger yang dibakar adalah rangup. Itu perkara wajib yang akan saya lakukan. Bahannya semua mesti segar dan paling penting, wajib jaga kebersihan.

Entah dari mana asalnya, bila buat bisnes burger masa itu, saya akan pastikan pakaian sentiasa kemas dan bersih. Macam pakaian nak pergi berjalan.

T Shirt yang bersih, dan dimasukkan ke dalam seluar serta pakai kasut yang bertali. Masa itu hanya kasut sekolah saja jenama Warrior yang ada dalam berbagai warna. Semua itu mempamerkan kekemasan dan nampak bersih ketika berniaga.

Begitulah pengalaman bisnes burger saya selepas SPM.

Berhenti bisnes burger sambung belajar

Selepas keputusan SPM diumumkan, burger saya bertambah maju. Sebab saya banyak bagi free terutamanya pada pelanggan setia. Saya buat kenduri sebab keputusan SPM saya agak baik.

Tak lama selepas itu, saya terpaksa tinggalkan bisnes burger itu untuk pergi sambung belajar. Malam akhir bisnes burger itu, saya buat burger dan berikan percuma sahaja kepada siapa yang datang membeli. Esoknya saya akan berhenti.

Dan saya dah cari pengganti kepada bisnes burger tu.

Dia merupakan kawan kampung yang agak lincah dengan macam-macam aktiviti nakal, seperti main kuda dan seumpamanya. Saya tawarkan padanya moga-moga dia mampu berubah dan maju jaya.

Masa nak jual bisnes burger itu, dia tak ada duit. Saya tanya berapa yang dia ada dalam poket. Dia hanya ada RM50 sahaja. Jadi itulah harganya yang saya jual. Dia ambil semua apa yang ada segala peralatan, dapur, stok roti dan daging termasuk stall dengan hanya RM50 sahaja.

Saya kemudiannya hilang dari kampung, pergi sambung belajar, pergi ke luar negara sehinggalah balik semula ke kampung dalam tahun 1993.

Kawan yang ambil alih burger berjaya

Dia, masa itu dah jadi agen Burger Ramly untuk kawasan utara.

Dia juga dah ada berpuluh-puluh stall burger di merata tempat di kawasan utara itu. Memang berkat sungguh bisnes burger yang saya serahkan padanya itu.

Kalau tanya kawan saya itu, tentu dia masih ingat macam mana dia boleh berubah bermula dengan ambl alih bisnes burger yang saya mulakan dahulu.

Raya baru-baru ini, anak-anak saya balik ceritakan bagaimana ada seorang yang duduk kat belakang kampung bagi duit raya yang banyak pada mereka. Mereka rasa pelik.

Mereka cerita kat saya. Ketika hulurkan sampul raya, orang itu tanya anak siapa?

Anak-anak saya jawab, anak Shubhi.

Orang itu minta balik sampul raya yang diberikan. Digantikan dengan duit raya yang banyak pada setiap orang anak saya. Ambil duit raya ni dan kirim salam pada ayah, kata orang tu.

Rupanya mereka pergi beraya kat rumah kawan yang saya sebutkan kat atas tu. Saya tersenyum sendirian dan teringatkan masa mula dia ambil alih bisnes burger saya dahulu.

Berniaga lagi kat kedai kopi Pak Neh

Selepas balik dari luar negara, sekali lagi saya berniaga kat Kedai Kopi Pak Neh.

Dia dah tak larat dan tak buka pagi perniagaannya.

Abang saya yang berenti kerja kapal minta pada Pa Neh untuk sewakan kedai kopi bersejarah itu. Dan sekali lagi saya terlibat dalam perniagaan kat kedai kopi Pak Neh.

Tapi kali ini bisnes kedai kopi pulak yang saya buat dengan abang.

Kami tumpukan bisnes hanya waktu pagi sehingga tengahari sahaja dengan masakan berlauk dari masakan mak saya yang memang pandai masak.

Kalau ada kesempatan, akan saya sambung pula bagaimana teruknya buat bisnes kedai kopi yang tak pernah berhenti kena buat kerja dari pagi sampai ke malam.

Semuanya artikel ini tersiar hanya dari cetusan ingatan ketika makan nasi lemak berkuahkan gulai ikan kering pagi tadi.

Total
46
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

8 comments

  1. Salam,
    Saya kagum dengan kesanggupan Tuan untuk menjual bisnes burger dengan harga RM50 sahaja. Itu memang bukan menjual. Memang bagi sahaja.

    Mungkin atas keihklasan tuan dan niat nak membantu itu, seorang rakan Tuan telah berjaya.

    Dan tuan sendiri telah berjaya.

    Saya jadikan kisah Tuan sebagai ingatan, pengajaran yang saya ambil “Jika ingin membantu diri sendiri, ikhlaslah membantu orang lain”.
    Azwan recently posted…4 langkah kilang OEM membantu pengusaha menghasilkan produk jenama sendiri.My Profile

    1. Betul tu ! bukan ada niat nak menjual sangat masa tu. Memang nak bagi saja tapi perlu ada sedikit kos dari penerima supaya ada komitmen. Biasanya ikhlas datang sendiri dari dan susah nak buat-buat..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge