Buat keputusan jadi usahawan, jangan hanya teringin !

By | 03/02/2016

subway-traffic-1500x1000

Adakah anda benar-benar buat keputusan jadi usahawan ?

Ada sekali saya berborak dengan seorang kawan di pondok santai, surau, selepas selesai tunaikan solat berjemaah.

Tajuk perbincangannya adalah tentang dunia perniagaan. Macam biasa saya akan kongsikan pengalaman jadi usahawan.

Itu tajuk kegemaran ramai, terutamanya saya sendiri.

Dan sememangnya ramai orang yang makan gaji amat suka mendengar perkongsian pengalaman dari mereka yang jadi usahawan.

Teringin jadi usahawan

Sebab utamanya adalah mereka juga teringin sangat nak jadi usahawan. Mungkin gaya hidup seorang usahawan yang tidak terikat dengan majikan membuatkan ramai yang makan gaji rasa cemburu.

Lebih menyeronokkan lagi apabila orang yang sedang kongsikan pengalaman dunia perniagaannya itu dapat menyara kehidupan, sama macam dengan mereka yang makan gaji, dengan pendapatan yang agak lumayan.

Saya rasa, jika pendapatan orang yang jadi usahawan adalah dalam lingkungan RM10 ribu sebulan, nak dibandingkan dengan pendapatan orang makan gaji, juga dalam lingkungan RM10 sebulan, sudah tentu nilai dan kepuasan orang berniaga jauh lebih baik berbanding yang makan gaji.

Atas faktor tersebutlah, mungkin cerita perjalanan perniagaan saya sentiasa menarik mkinat kawan-kawan yang sedang makan gaji.

Biasanya, semua cerita saya akan disambut oleh pendengar dengan pengakuan bahawa dia juga mahu jadi usahawan.

Begitulah juga yang diakui oleh rakan saya tersebut di atas.

Antara teringin dan mahu jadi usahawan

Kawan saya itu menceritakan lebih lanjut betapa sudah lama dia merancang nak jadi usahawan, tapi masih tak jadi-jadi.

Keinginannya itu sentiasa dimatikan oleh rasa takut dengan kemungkinan buruk yang bakal menimpa dirinya jika terjun berniaga dan gagal.

Itulah halangan yang membuatkan dia masih tetap dengan kerjaya makan gajinya, entah sampai bila.

“Kenapa ya ? “, tanya kawan itu pada saya.

” Sebab tuan tidak pernah buat keputusan jadi usahawan!”, jawab saya ringkas.

Sekadar teringin jadi usahawan

Bagi pembaca yang sedang makan gaji, yang juga ada hasrat sejak lama dulu, sejak bertahun-tahun yang lalu, nak jadi usahawan, anda juga sebenarnya sedang menghadapi masalah yang sama.

Anda hanya sekadar teringin nak jadi usahawan, namun tidak pernah buat keputusan nekad untuk jadi usahawan.

Antara teringin dengan mahu atau nekad buat keputusan dengan sedar, untuk jadi usahawan adalah dua perkara yang amat jauh berbeza.

Saya akan cuba terangkannya di sini.

Kesedaran hidup pada mereka yang buat keputusan

Minda sentiasa perlukan keputusan untuk bergerak ke hadapan. Tanpa sebarang keputusan, minda akan terhenti atau jem.

Semua kejadian yang berlaku adalah hasil daripada keputusan yang dibuat oleh seseorang. Cuma persoalannya adalah siapakah yang membuat keputusan tersebut.

Samada anda sedar atau tidak, kebanyakan dari masa, anda sentiasa membiarkan orang lain membuat keputusan untuk diri anda.

Mungkin tidak yakin akan potensi diri sendiri untuk buat keputusan atau mungkin hidup tanpa sedar.

Cara minda tentukan keputusan

Untuk cuba fahami bagaimana minda buat keputusan, kita boleh lihat bagaimana telefon pintar berfungsi.

Semua orang tentu dah biasa guna telefon pintar.

Apa yang berlaku apabila anda biarkan telefon pintar tidak digunakan selama beberapa saat ?

Telefon anda itu akan pergi kepada mode penjimatan tenaga. Skrin akan terpadam dan telefon berada dalam keadaan stand-by.

Itu kita namakan sebagai mode ‘default’ penjimatan tenaga. Jika anda sebagai pengguna telefon itu tidak memberikan sebarang arahan, dia akan pergi ke mode default, tutup dan diam dalam mode stand-by.

Macam itu juga dengan minda anda.

Mode default bagi minda adalah untuk memilih keputusan yang paling mudah dan menyelesakan tanpa memerlukan banyak penggunaan tenaga.

Apabila anda tidak tetapkan sebarang keputusan, minda akan ambil jalan mudah dengan ikut apa yang orang lain buat atau dengan ikut kebiasaan yang anda buat.

Kedua-dua pilihan itu memerlukan penggunaan tenaga yang paling minimum.

Kepala tak pening dan minda tak perlu sedar untuk ikut apa saja orang lain buat. Tenaga yang minimum juga diperlukan untuk melakukan kebiasaan anda, sebab dah terlalu arif dan cekap hasil dari pengulangan yang berterusan.

Tetapi malangnya, orang yang asyik ikut mode default sebenarnya hidup tanpa kesedaran. Macam robot yang bernyawa tanpa menggunakan kelebihan akal yang ada padanya.

Tiba masanya anda jadi pembuat keputusan itu

Sekarang cuba fikirkan semula tentang diri anda sendiri.

Apakah anda yang buat keputusan untuk kekal di situ, jadi robot yang hanya ikut keputusan orang ramai, keluarga, sanak saudara dan seumpamanya, atau anda sendiri yang buat keputusan.

Jika anda buat keputusan nak jadi usahawan, tiada sesiapa yang dapat halang anda lagi.

Berita baiknya adalah anda akan mula hidup dengan sedar apabila ada keputusan nekad tertanam dalam minda.

Mahu tak mahu, minda akan mengikut arahan untuk menjayakan matlamat tersebut.

Buat keputusan jadi usahawan

Cuba pergi tanya kawan-kawan yang buat keputusan untuk beralih arah dari makan gaji kepada jadi usahawan dan berniaga, apa yang berlaku pada kehidupan mereka ?

Jawapan yang anda akan dapat adalah mereka mula sedar segala tindakan yang dilakukan.

Minda mula peka dan segala apa saja perbuatan adalah dalam keadaan sedar.

Minda mula membuat analisa akan setiap hasil daripada tindakan. Kelemahan akan dikaji dan diperbaiki sedikit demi sedikit sehinggalah sasaran tercapai.

Itu merupakan satu bukti bahawa diri mereka hidup dalam keadaan sedar.

Minda yang diberikan matlamat akan bertukar menjadi kreatif dengan sendirinya. Minda akan mencabar segala kepercayaan lama dan mula mencari potensi sebenar yang ada pada diri anda.

“Bermulanya segala amalan adalah dengan niat ! “

Pernah dengar ayat di atas tu kan ?

Bila anda ada sasaran atau matlamat yang nak dicapai, maka anda akan mula hidup dengan keadaan sedar dan bukan lagi sekadar ikut-ikutan.

Pengalaman jadi usahawan

Saya dah lalui perkara yang saya sebutkan di atas tadi.

Sebelum buat keputusan jadi usahawan, saya hanya hidup secara ikut-ikutan. Semua keputusan dibuat oleh semua orang selain saya sendiri.

Pergi cari kerja makan gaji untuk sara hidup, itulah harapan keluarga, harapan masyarakat dan itu juga perkara biasa yang semua orang buat. Saya pun ikut.

Bila makan gaji, ikut segala arahan boss, mudah naik pangkat dan boss sayang. Itulah yang semua orang makan gaji buat dan saya pun ikut.

Minda saya berfungsi untuk tunaikan segala arahan yang orang lain buat. Itu perkara biasa bagi orang yang makan gaji.

Kalau nak ikutkan keinginan, tentu saya mahu masuk kerja lambat, atau ponteng, tapi saya tetap ikut arahan atau keputusan majikan, sebab itulah yang semua orang buat.

Sehinggalah akhirnya saya nekad untuk buat keputusan sendiri dan tidak lagi ikut keputusan atau harapan orang lain.

Saya nekad jadi usahawan

Saya nekad buat keputusan jadi usahawan.

Sejak itu saya mula sedar segala apa yang saya buat. Hidup dalam sedar sebenarnya amat meletihkan minda tapi puas hati.

Mahu taknya, saban waktu saya sentiasa berfikir apa yang nak buat lagi, apa yang telah saya buat dan adakah ianya mendatangkan hasil atau tidak.

Minda sentiasa fikir, apa yang perlu dibaiki lagi dan begitulah seterusnya sampailah sekarang tidak berhenti-henti membuka lembaran baru meneroka potensi yang ada pada diri saya.

Tidak ada sesiapa tahu apa sebenarnya yang sedang menunggunya dihadapan, begitulah juga saya. Oleh itu adalah lebih bermakna jika saya buat sasaran yang mahu dicapai berusaha ke arah itu dan melihat secara sedar takdir membuka lembarannya satu demi satu untuk diri saya.

Anda juga sepatutnya perlu buat begitu.

Buat keputusan sekarang dan jangan biarkan orang lain buat keputusan untuk diri anda.

Jika jadi usahawan adalah pilihan anda, nekad dan buat keputusan sekarang serta mula buat perancangan.

Mulakan dengan meletakkan tarikh bilakah anda akan jadi usahawan sepenuh masa. Dari situ isikan segala ruang kosong bermula dari sekarang sehinggalah ke tarikh tersebut di mana anda sudah jadi usahawan… yang berjaya insyaallah.

Nota: Coretan ini dibuat dari bilik hotel di Keningau, Sabah

7 thoughts on “Buat keputusan jadi usahawan, jangan hanya teringin !

  1. Kern

    Subhanallah.

    Saya amat bertuah dapat mengikuti blog tuan.

    Semua tuan nyatakan diatas adalah benar dan sama dengan apa yg saya hadapi sekarang.

    Tuan secara x langsung memberikan sumber semangat untuk saya.

    Semoga tuan diberikan rezeki yg melimpah. Amin.

    Reply
  2. Jane

    Seriously, memang betul2 mau jadi usahawan, tp bukan stakat xde ilmu, modal pun xde.. xtau mcm mana nk start.. =.=”.. da tau nk buat business apa, tp betul2 xtau mcm mana nk mula.. ade sape2 yg pernah ada pengalaman join program keusahawanan dan mendapatkan bantuan perniagaan x?

    Reply
  3. mohd al hakim

    salam..
    ramai customer cakap,”ko best la kerja sendiri..nak kerja pun ikut suka hati..nak buat ape² pun suka hati..best la kerja sendiri..”
    best memang best..nampak dari luaran,memang nampak best..tapi try la kerja sendiri dulu baru tau best ke tak..tapi kepuasan bekerja sendiri ni dapat dirasai bila kerja yang kita buat mendapat hasil yang berbaloi..semoga kepada semua usahawan saya doakan anda berjaya dan kaya..InsyaAllah

    Reply
    1. Shubhi Post author

      Sentiasa sabar dan berusaha untuk mendapatkan hasil yang lebih baik

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge