Buat sasaran 100 perkara yang anda mahu capai sebelum mati

By | 10/07/2017

Pernahkah anda terlintas untuk buat senarai sasaran 100 perkara yang anda mahu capai sebelum mati?

Mungkin ramai dah biasa dengar idea 100 destinasi yang anda perlu pergi sebelum mati. Itu satu idea yang amat menarik untuk disenaraikan buat mereka yang kaki mengembara.

Ada juga siri TV kat Astro dulu yang saya selalu layan, menceritakan tempat-tempat yang dicadangkan kita pergi sekurangnya sekali seumur hidup.

Biasanya orang yang bersungguh-sungguh tanam dalam fikiran senarai destinasi yang mereka mahu pergi satu hari nanti, akan berjaya sampai juga ke destinasi tersebut. Kalau dia senaraikan 100 destinasi, paling lekeh, 20 daripada destinasi yang disenaraikannya, insyaallah akan berjaya juga dia sampai.

Apa yang boleh kita belajar dari situ?

Kita boleh ambil cara yang sama untuk buat satu senarai sasaran yang perlu dicapai sebelum mati, supaya kemungkinan dapat adalah lebih tinggi.

Jadi apa kata kita buat senarai sasaran 100 perkara yang mahu dicapai sebelum mati hari ini. Mungkin ada yang dah buat senarai mereka, tapi tak berapa lengkap dan tak sampai 100 sasaran pun. Apa kata tambah sampai jadi 100 perkara.

Kenapa perlu ada senarai 100 perkara

Majoriti daripada kita sekarang hanya ikut ke mana kaki melangkah. Ke mana kaki nak melangkah banyak ditentukan oleh orang disekeliling kita.

Sebab itu tak tergerak nak keluarkan senarai sebab kalau tak ada sasaranpun, kaki tetap melangkah mengikuti arahan semua orang lain. Begitulah kita teruskan kehidupan sehingga ke tua dan akhirnya terbaring nazak tunggu habis nyawa.

Sekali sekala, kita sedar seolah-olah ada sesuatu yang kurang. Rasa macam tak berapa puas sebab terasa ada perkara yang kita nak tapi tidak dapat dilakukan. Puncanya banyak melibatkan jangkaan orang lain terhadap diri kita. Kita rela korbankan keinginan sendiri asalkan kehendak orang dipenuhi.

Mungkin ada yang berpendapat ikut dan buat apa yang orang jangkakan terhadap kita dan padamkan keinginan diri adalah sesuatu yang bagus. Jika anda rasa begitu, ok !, tak payah nak susah-susah buat sasaran 100 perkara ini.

Tapi jika anda nak cuba ubah haluan hidup dan melonjakkan potensi diri sampai ke tahap yang paling tinggi mampu dicapai sebelum mati, saya sarankan anda buat sasaran 100 perkara ini. Dapat atau tidak adalah perkara lain.

Sekurang-kurangnya, usaha membuat senarai 100 perkara yang anda mahu capai sebelum mati, mampu menyedarkan diri anda untuk mencari nilai dan pegangan hidup anda sendiri. Dan paling penting ia boleh dijadikan kompas segala aktiviti anda selepas ini.

Tak mudah nak buat sasaran 100 perkara

Sekali pandang, 100 perkara mungkin terasa sedikit. Anda rasa macam boleh keluarkan jauh lebih banyak dari itu. Memang semua orang rasa ada banyak yang dia mahu tapi belum berjaya dicapai. 100 adalah julah yang terlalu sikit.

Tapi nanti dulu. Belum buat, belum tahu.

Saya dulu rasakan macam itu juga. Terlalu mudah nak senaraikan 100 perkara yang mahu dicapai dalam hidup sebelum mati. Sehinggalah saya buka excel dan mula buat senarai tersebut.

Ternyata amat sukar nak lengkapkan sampai cukup 100 sasaran. Setiap kali saya keluar satu sasaran, saya akan tanya diri sendiri samada perkara itu penting dalam hidup saya. Kenapa saya nak dapat perkara tersebut, apa yang bagusnya buat diri saya dunia dan akhirat.

Akhirnya saya terpaksa cari jalan yang lebih mudah untuk lengkapkan 100 sasaran itu dengan cara yang lebih betul dan memuaskan hati. Saya akan cuba kongsikan kat sini sebagai panduan untuk anda keluarkan sasaran 100 perkara penting anda pula.

Pecahkan kepada beberapa perkara asas

Untuk memudahkan senarai dibuat, pecahkan dulu kepada beberapa perkara asas yang paling penting dalam hidup anda.

Anda boleh fikirkan tentang tema kesimbangan hidup untuk buat senarai asas itu. Apa yang anda takrifkan sebagai hidup yang seimbang? apa elemen-elemen yang perlu ada untuk jadikan kehidupan anda seimbang?

Nak duit banyak ! semua orang mahukan perkara tersebut. Jika anda letakkan itu sebagai satu-satunya perkara yang anda mahu capai sebelum mati, saya berani jamin anda mampu mendapatkannya dengan mudah.

Manusia jika fokus terhadap sesuatu perkara dengan tahap fanatik, dengan mudah akan berjaya melakukannya. Tetapi hakikatnya manusia secara fitranya adalah makhluk yang bersosial. Jadi, perlu ada elemen kawan dan masyarakat dalam kehidupan kita.

Manusia juga adalah makhluk yang ada dua unsur. Jasmani dan rohani. Oleh tu perlu pertimbangkan kedua-dua unsur tersebut dalam memikirkan keseimbangan hidup kita.

Ringkasnya kita perlukan keseimbangan yang lengkap dalam menjalani kehidupan. Mana nak dapat takrifan keseimbangan yang betul dalam hidup. Kat mana rujukan nak ambil?

Sebagai muslim, jawapan kepada kesemua itu ada lengkap dalam Al-Quran. Kita semua akui Quran adalah panduan hidup yang paling lengkap untuk dijadikan rujukan dalam menjalani kehidupan. Jadi, carilah apa yang di sebut di dalamnya supaya kita boleh bina sasaran kehidupan kita.

Kalau nak ikut cara saya, berikut adalah perkara asas yang saya jadikan panduan dalam merangka sasaran 100 perkara penting yang mahu dicapai sebelum mati;

  1. Perkembangan diri – Kesihatan, akal fikiran, intelektual..
  2. Agama dan kepercayaan – Amalan spiritual, kefahaman agama, tadabbur Quran..
  3. Ekonomi – Perniagaan, kerjaya..
  4. Masyarakat dan kawan – sumbangan, status diri dalam masyarakat..
  5. Keluarga – Bapa, anak, adik, abang, suami..
  6. Kepuasan diri (atau hiburan dan santai) – Rumah, kebun, tulis buku..

Senarai kat atas tu hanyalah contoh.

Anda perlu buat senarai asas terlebih dahulu dan kemudian barulah pecahkan sasaran yang mahu dicapai dalam setiap asas yang disenaraikan. Pastikan gabungan kesemua sasaran itu sampai kepada 100 perkara.

Luangkan masa untuk buat sasaran 100 perkara

Penyediaan sasaran 100 perkara ini amat penting. Ia bakal menjadi satu titik tolak segala aktiviti kehidupan anda selepas ini sehingga mati. Ia akan jadi Master Plan dalam hidup anda.

Oleh itu ambil serius untuk sediakannnya. Luangkan satu hari penuh tanpa gangguan untuk lengkapkan perkara asas dan mula isikan satu demi satu sasaran yang mahu dicapai. Hentikan semua aktiviti lain untuk buat dan fikirkan perkara tersebut.

Kemudian semak dan kembangkan semula sasaran itu seminggu sekali. Bila dah jelas dan puas, jarakkan semakan sebulan sekali. Buat selama setahun semakan dan pembaikan tersebut sehingga ianya melekat dalam benak kepala anda.

Contoh:

Saya berikan satu contoh sahaja, perkara yang perlu anda fikirkan dalam menyediakan satu sasaran. Kita ambil sasaran untuk menjadi penceramah motivasi.

Sasaran itu masuk dalam agenda pembinaan atau perkembangan diri.

Nyatakan sebab utama yang memberikan inspirasi anda untuk berupaya jadi penceramah motivasi. Apa yang anda dapat dari situ dan bagaimana anda bayangkan diri anda bila dah jadi begitu.

Kemudian senaraikan perkara-perkara penting yang anda perlu buat untuk menyediakan diri anda supaya bergerak ke arah itu.

Contohnya anda tahu kelemahan diri dalam bercakap di khalayak ramai. Jadi anda perlu mula fikirkan cara untuk kuasai kemahiran tersebut. Anda perlu daftarkan diri masuk kursus pidato. Anda juga perlu ada banyak pengetahuan dan maklumat. Jadi perlu masukkan baca buku setiap hari dalam agenda aktiviti anda.

Senaraikan juga bila anda mahu sasaran tersebut dicapai. Dalam masa 3 tahun? 5 tahun atau bila?

Cari maklumat teknik buat sasaran

Saya tak berikan panduan lengkap macam mana nak lengkapkan senarai sasaran 100 perkara yang anda mahu sebelum mati itu, kat artikel ini. Takut ianya akan jadi panjang berjela pula. Untuk buat pembinaan sasaran secara berkesan, pergilah baca buku motivasi yang banyak ada di pasaran.

Apa elemen yang perlu ada dalam membuat sasaran boleh didapati dari buku-buku tersebut. Gunakan kesemua panduan tersebut untuk lengkapkan perancangan sasaran anda nanti.

Selamat berfikir.

Author: Shubhi

Penulis merupakan seorang usahawan. Memiliki beberapa syarikat sendiri dan perkongsian dan diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Selesa dengan gaya hidup yang sederhana dan ringkas. Selain menulis dan membaca penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui program HR Biz Coaching. Jika anda ingin berbual dan ajak penulis minum kopi O, sila whatassp ke 013-3360807

10 thoughts on “Buat sasaran 100 perkara yang anda mahu capai sebelum mati

  1. Laura Cantik

    saya selalu senaraikan 3 perkara yang saya tetapkan sehingga ia berjaya. selalunya saya letak 3 yang utama macam tu lah. tapi setelah berapa tahun ni masih ada satu impian paling besar tu masih saya tak dapat nak capai.

    saja berkongsi. wallahualam.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge