Cara ahli sufi elakkan dosa kecil

By | 24/06/2012
Elakkan dosa kecil cara ahli sufi

Berikut saya kongsikan ilmu penting yang saya belajar berkenaan mengelakkan dosa dengan kaedah ahli sufi baru-baru ini. Moga kita mendapat manfaat darinya.

Jumaat baru-baru ini saya sampai awal di Masjid. Memang banyak kelebihan sampai awal lebih-lebih lagi dalam cuaca yang amat panas di negara kita kini.

Kebanyakan masjid di negara kita sudah dilengkapi dengan pendingin hawa. Bagi mereka yang bernasib baik untuk mendapat ruang duduk di dalam dewan solat utama, akan dapat merasakan kelebihan pendingin hawa yang dipasang.

Tidak terasa lamanya menunggu dalam suasana yang nyaman sebegitu.

Bagi masjid yang tidak ada pendingin hawa pula kebiasannya berada di saf depan dalam dewan masjid yang besar tetap dapat merasakan nyaman dan selesa.

Bahagian depan biasanya dilengkapi dengan karpet yang tebal dan empuk. Kaki tak akan rasa lenguh sangat kalau lama duduk bersila di situ.

Selain daripada mendapat pahala dan kelebihan yang dijanjikan di akhirat nanti, nampaknya di dunia ini kita sudah dapat merasakan kelebihannya berada di saf hadapan.

Masjid di TTDI Jaya yang saya pergi itu biasa menjemput ustaz-ustaz yang hebat bagi mengadakan tazkirah jumaat sebelum masuknya waktu zohor dan kali ini mereka menjemput Dr Yaakob Yusof. Beliau memulakan tazkirahnya dengan membaca dua ayat berikut di bawah:

Ayat pertama:

Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini ialah dari sisi Allah”, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu. (Al-Baqarah 2:79)

Ayat kedua:

Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu sudah mendapat janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi janjiNya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya?” (Al-Baqarah 2:80)

Beliau menghuraikan ayat yang pertama di atas dengan merujuk kepada apa yang berlaku sekarang. Sebagai contohnya kita menggubal undang-undang dalam menjatuhkan hukuman berzina umpamanya dengan hukuman yang berlainan daripada apa yang diperintahkan Tuhan.

Lalu dengan berani menamakan undang-undang tersebut sebagai Undang-Undang Syariah. Kita mengatakan itulah Undang-Undang Islam yang mana ianya ada persamaan dengan kata-kata Yahudi di atas, “ini adalah dari sisi Allah” !.

Bagi ayat yang kedua pula, kita biasa mendengar sekarang dari kalangan orang-orang Islam sendiri yang menyebut, tak apa buat dosa lagipun dosa kecil saja, lambat laun masuk syurga juga dan kalau kena api nerakapun hanyalah sebentar.

Ini memang biasa kita dengar dan di ulang-ulang dari kalangan umat Islam sendiri. Sedangkan ianya amat merbahaya dalam konteks ayat di atas.

Memang betul sebagai seorang Muslim, kita telah melayakkan diri kita untuk menerima balasan syurga atas iman yang ada di dalam jiwa kita. Tetapi dalam kontek ayat yang kita tuturkan di atas kita memperlekehkan perkara dosa, walaupun dosa kecil yang telah menjadi budaya, dengan berkata tak apa, kalau terkena siksa nerakapun, sekejap saja.

Ia pada hakikatnya merosakkan akidah. Atas sebab itu membuatkan diri kita dihumban ke api neraka selama-lamanya. Lihat sambungan daripada dua ayat di atas ini:

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan ia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. (Al-Baqarah 2:81)

Nampaknya melakukan dosa kecil bukanlah perkara main-main dan tidak sepatutnya menjadi amalan jika kita tidak mahu menjadi sepertimana orang Yahudi sepertimana yang dihuraikan dalam ayat di atas.

Untuk memahami konsep dosa ini, samada ia dikatakan kecil atau besar amat bergantung terhadap siapa kita berhadapan. Memang bagi kita sesama manusia, ia akan diambil ringan tetapi ianya bukan kecil jika berhadapan dengan Allah.

Mari kita ambil contoh peristiwa Datuk Seri Nizar baru-baru ini yang menegur pembelian plat kereta WWW1. Bagi orang biasa seperti kita teguran sebegitu hanyalah satu perkara kecil. Tapi tidak begitu bagi seorang besar seperti Sultan Johor.

Lihatlah apa yang berlaku terhadap perkara yang dianggap remeh dan kecil itu, bukankah ia tiba-tiba menjadi besar?. Siapalah Sultan Johor dihadapan Tuhan Semesta Alam dan bayangkan dosa kecil yang kita lakukan berulang-ulang dihadapan Allah.

Sebab itulah dalam kaedah ahli sufi mereka menganggap kesemua dosa itu besar belaka dan perlu dielakkan. Sebagai langkah selamat nampaknya kaedah ahli sufi ini lebih baik dan perlu kita jadikan pedoman dan amalan.

Marilah kita elakkan segala apa sahaja yang dinamakan sebagai dosa dan lihatlah dosa itu dari sudut kita sebagai hamba terhadap Tuhannya.

Andaikata kita dengan sedaya upaya mengelakkan dosa kecil dan apabila terjerumus dengan segera bertaubat dan memohon keampunan dariNya, sudah tentu kemungkinan untuk kita melakukan dosa besar amat jauh sekali.

Bagaimana caranya kita boleh mengelakkan dosa kecil. Berikut beberapa langkah yang perlu kita lakukan dengan segera untuk menyelamatkan diri kita:

  1. Senaraikan apakah dosa-dosa besar yang telah disampaikan oleh Rasulullah dan telah banyak dibahaskan oleh para alim ulama. Dosa yang paling besar sekali yang boleh dilakukan oleh anak Adam adalah mensyirikkan Allah.
  2. Setelah mengetahui kesemua dosa-dosa besar yang disenaraikan oleh ulama, secara lansung kita mendapat tahu bahawa selain daripada itu merupakan dosa-dosa kecil.
  3. Senaraikan segala aktiviti kehidupan kita seperti pekerjaan, minat masa lapang, rutin harian dan lain-lain dengan lengkap. Lihat semula kesemua senarai tersebut dan pastikan kita tahu hukum setiap apa yang kita lakukan samada wajib, haram, sunat, makruh atau harus. Jika ada sesuatu amalan yang dilakukan tanpa mengetahui hukumnya hentikan segera selagi tidak jelas dengan kedudukannya.
  4. Senaraikan segala dosa-dosa kecil yang biasa atau pernah kita lakukan dan segeralah bertaubat dengan azam tidak akan melakukannya lagi dan menyesali kesalahan kita.
  5. Kita perlu sentiasa menambah ilmu untuk membezakan antara halal dengan haram. Melaui itu kita secara lansung dapat mengenali apa yang dikatakan dosa-dosa kecil untuk dielakkan. Sedarkah kita bahawa dengan sengaja menyakitkan hati rakan kita tanpa apa-apa alsan munasabah juga merupakan satu dosa. Jika kita menyedari perkara itu sudah tentu kita akan cuba mengelakkannya.
  6. Jangan berhenti mencari ilmu halal dan haram sehinggalah kita dicabut nyawa. Jadikanlah ianya amalan rutin kita melalui pembacaan, mengikuti kuliah di masjid atau surau dan sentiasa berbincang dengan kawan-kawan.

Moga dapat kita amalkan kaedah ahli sufi di atas untuk mengelakkan dosa…

3 thoughts on “Cara ahli sufi elakkan dosa kecil

  1. Anonymous

    saya baru je mmbaca artikel ini.tqvm
    insya Allah
    byk manfaat
    Biasanya artikel sebegini sy akan print dan edarkan utk di kongsi kpd insan2 lain. Mohon izin

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge