Setiap hari berinteraksi dengan orang lain, kita sentiasa berpeluang untuk belajar perkara baru. Biasanya lebih mudah mempelajari perkara baru melalui orang lain.

Ada orang yang tahu apa yang kita tak tahu. Itulah kelebihan yang ada pada setiap manusia yang perlu kita pelajari. Manusia unik kerana dianugerahkan akal. Akal bertindak secara misteri dan memahami berbagai perkara secara berbeza bergantung kepada perjalanan hidupnya.

Perjalanan hidup kita walaupun dilahirkan daripada perut ibu yang sama sentiasa berbeza. Walau anak kembar sekalipun, akan ada perbezaan yang ketara antara satu dengan yang lain.

Anak-anak dari satu keluarga yang sama ibu bapa juga masing-masing ada kelainan. Ini semua berpunca daripada perkembangan akal yang melalui pengalaman yang berbeza.

Anak murid daripada satu kelas yang sama diajar oleh guru yang sama, masih tetap ada perbezaan. Kalau ada 35 orang, kita boleh ukur perbezaan mereka daripada kedudukan peperiksaan. Akan ada yang dapat nombor 1 dan akan ada yang dapat no 35. Sedangkan pelajarannya sama, gurunya sama.

Semuanya berpunca daripada cara akal memproses maklumat yang berpandukan pada pengalaman yang dilalui setiap detik. Akal yang berbeza membawa kepada cara berfikir dan bertindak yang berbeza.

Kita belajar perkara baru bila orang sanggah pendapat kita

Bila kita bertemu dengan orang lain yang mempunyai pemikiran yang sama, tidak ada perkara baru yang akan kita timba. Apa yang nak dibincangkan lagi jika semua perkara dipersetujui.

Sebab itu ada pepatah orang putih mengatakan apabila dua rakan kongsi sentiasa saling bersetuju antara satu dengan yang lain, salah seorangnya tidak diperlukan.

Perkara baru akan dapat dipelajari hanya apabila orang yang kita bertemu mempunyai pendapat yang berbeza dengan apa yang kita fikirkan.

Perbezaan pendapat biasanya banyak membuatkan hidup kita sengsara. Masing-masing cuba pertahankan pendapatnya dan merasakan orang lain perlu sependapat dengan kita.

Kenapa sengsara disebabkan perbezaan pendapat?

Sebabnya adalah apabila pendapat kita disanggah, maka kita bertindak bertekak untuk mempertahankan diri. Apa saja sanggahan orang terhadap kita akan kita pertahankan seolah-olah kita sedang dibicarakan.

Siapa tak rasa tertekan apabila dibicarakan? saya tertekan, dan saya yakin anda juga tentu rasa tertekan.

Bukan saja tertekan, darah mula mendidih walaupun ditahan sesungguh hati dan cuba ditutup sebaik mungkin. Apatah lagi jika orang lain tetap cuba meyakinkan kita bahawa kita tak betul.

Jika perbincangan berakhir dengan masing-masing tak mahu mengalah, kita balik dengan membawa rakaman perbualan tadi dalam kepala. Terbawa-bawa sampai malam ketika nak tidur.

Tak puas hati, esok kita kongsikan pula dengan orang lain. Masih dengan tujuan yang sama untuk pertahankan pendapat kita yang telah disanggah semalam.

Begitulah seterusnya dan semuanya hanya membuatkan kita langsung tak belajar apa-apapun perkara baru. Peluang untuk berfikir dengan cara baru, peluang untuk belajar perkara baru disia-siakan begitu saja. Dan kita kekal macam itu juga dan masih berada di takok yang sama.

Jangan pertahankan diri, anda akan belajar perkara baru

Cuba tanam sikap jangan pertahankan diri setiap kali orang pamerkan pendapat yang berbeza dengan pendapat kita.

Setiap kali orang tegur kita, itu tandanya dia berbeza pendapat. Biarkan teguran tersebut dan dengar dengan hati yang terbuka. Kalau ada buku nota, buka dan catitkan segala perinciannya.

Korek secara mendalam hujah yang dilampirkan oleh orang lain dalam membahaskan tegurannya pada kita dan terus diam mendengar dengan kusyuk sambil mencatitkan isi-sis penting.

Jika anda mampu buat begitu, anda tidak akan rasa tertekan. Malah orang yang menegur kita juga akan jatuh sayang dan hormat pada kita.

Sikap begitu akan membuatkan hidup kita lebih aman dan yang paling penting kita ada maklumat baru yang yang tak ada dalam simpanan akal kita sebelum ini.

Usahawan yang tak mahu belajar perkara baru

Sepanjang bertemu dengan usahawan lain dalam program bimbingan usahawan secara peribadi, saya sering bertemu dengan usahawan yang sentiasa cuba pertahankan diri.

Sedangkan mereka tahu saya bukan mahu membicarakan mereka dan mahu menjatuhkan hukuman. Saya hanya mahu memberikan suntikan idea baru yang berbeza daripada apa yang mereka biasa lakukan.

Tapi malangnya setiap kali idea baru diluahkan, mereka akan terus mempertahankan diri berhujah kenapa mereka terpaksa berbuat apa yang mereka biasa buat.

Sedangkan mereka sendiri tahu apa yang mereka dah biasa buat itu tak mendatangkan hasil untuk membawa mereka naik ke tahap yang lebih baik. Tapi masih tetap nak buat cara mereka dan pertahankan dengan berbagai hujah yang biasanya melucukan.

Ini merupakan satu cabaran yang besar dalam usaha melaksanakan kerja saya untuk mengubah cara berfikir para usahawan.

Usahawan yang mahu belajar perkara baru

Berbeza dengan usahawan yang mahu belajar perkara baru, setiap pendapat yang saya utarakan dalam memberikan idea cara bekerja baru mereka akan catitkan dan anggap itu hikmat belajar perkara baru.

Walaupun apa yang dicadangkan dirasakan sukar untuk mereka laksanakan, mereka masih menerimanya dan cuba mencari jalan untuk cuba melakukannya.

Jika mereka bertanya sekalipun bukan untuk mempertahankan cara kerja lama mereka, sebaliknya untuk cuba mencari jalan mengamalkan cara baru tersebut.

Dan apa yang paling menarik tentang kesemua usahawan jenis itu adalah kesemua mereka sebenarnya berjaya jauh melebihi usahawan yang sering pertahankan pendapat mereka yang saya sebutkan di atas tadi.

Cuba teka apa faktor mereka berjaya lebih jauh meninggalkan rakan mereka yang lain?

Tak lain dan tak bukan mereka ada keistimewaan untuk tidak pertahankan pendapat mereka setiap kali ada pendapat baru yang menarik yang berbeza.

Mereka juga ada sikap untuk berbahas hanya pada perkara yang membantu meningkatkan perniagaan mereka saja Sebab itu mereka sering belajar perkara baru, belajar cara kerja baru, belajar cara bertindak baru dan seterusnya meningkatkan kedudukan perniagaan mereka.

Anda bagaimana? kira berapa kali anda ditegur oleh rakan atau boss atau pasangan atau sesiapa saja lalu anda berhujah mempertahankan diri kenapa anda rasa anda betul.

Apa salahnya selepas ini dengar dan cuba memahami apa yang orang lain mahu sampaikan. Walaun orang itu berjaya membuktikan cara anda selama ini adalah salah, anda tidak akan dijatuhkan hukuman.

Malah anda sebenarnya telah belajar perkara baru. Berterima kasihlah pada orang itu. Sama-samalah kita mengamalkannya. Insyaallah.

Total
9
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge