Cari jalan yang paling ringkas untuk berjaya

By | 30/11/2012

Jika diberikan dua titik A dan B. Anda perlu membuat jalan yang paling ringkas untuk menghubungkan kedua-dua titik tersebut. Jalan macam manakah agaknya yang paling ringkas?
Anda tidak perlu menjadi seorang genius untuk menemui jawapannya. Jalan yang paling ringkas adalah satu garis lurus yang menghubungkan kedua-dua titik itu.

“Jalan yang ringkas = Jalan yang lurus”

Terdapat dua cara manusia membina lebuh raya di atas muka bumi ini.

  1. Membina jalan yang lurus untuk menghubungkan dua tempat yang berjauhan
  2. Membina jalan yang bengkang bengkok yang biasanya lebih panjang tetapi masih tetap menghubungkan kedua tempat tersebut.

Secara teorinya cara yang pertama akan menghasilkan satu jalan yang lurus selamat dan lebih pantas untuk direntasi dari satu lokasi ke satu lokasi.

Tetapi bentuk muka bumi yang bergunung ganang, direntangi sungai dan paya serta lain-lainnya membuatkan ia sesuatu yang amat sukar untuk dilaksanakan.

Akibat daripada halangan yang berbagai, tidak ada ilmu serta keazaman bagi merungkaikan segala kekangan tersebut, maka kita mengambil jalan mudah dengan merentangkan satu jalan yang hanya menuruti bentuk keadaan mukabumi yang rata.

Lalu terhasillah jalanraya yang bengkang bengkok berbelit-belit naik dan turun. Satu jalan yang panjang namun penuh mengasyikkan dengan penorama yang indah di sepanjang perjalanan merentasi lebih raya tersebut.

Semua itu menambahkan lagi masa perjalanan untuk sampai ke destinasi yang dituju. Berbanding dengan jalan yang lurus tiada apa sangat panorama yang mengasyikkan. Namun bagi mereka yang fokus untuk sampai ke destinasinya, tidak memerlukan semua itu

Bukan mudah untuk menghasilkan jalan yang lurus
Perumpamaan di atas boleh dijadikan renungan bagi mereka yang mahu menjalani kehidupan yang ringkas. Bukan mudah untuk mencapainya walaupun secara teori ia merupakan satu cara hidup yang ideal dan paling mudah.

Asas menjalani kehidupan yang ringkas memerlukan anda menetapkan satu matlamat. Tanpa matlamat, tidak akan wujud usaha mencari jalan untuk menghubungkan ‘kedudukan diri kita sekarang’ menuju matlamat yang mahu di capai.

Jalan yang paling mudah untuk mencapai matlamat anda adalah dengan meringkaskan perjalanan. Maknanya buat apa yang perlu dan penting saja dan meninggalkan selain daripada itu.

Nampaknya mudah tetapi anda akan sentiasa terpaksa menghadapi berbagai masalah serta rintangan yang menghalang perjalanan anda dalam membina satu jalan yang ringkas.

Tanpa ilmu serta keazaman yang tinggi, akhirnya kita sekadar mengikut apa yang terhidang di depan mata dan menurut segala peraturan yang ditetapkan oleh masyarakat sekeliling walaupun ianya ternyata tidak betul dan langsung tidak membantu anda mencapai matlamat.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge