Kali ini saya kongsikan cerita buka bisnes kedai kopi.

Nak sambung sikit cerita bisnes kedai kopi nasi lemak gulai ikan kering yang saya tulis beberapa hari yang lalu kat blog ini.

Dalam episod yang lalu, saya ada ceritakan bagaimana kedai kopi Pak Neh (sebutan Neh tanpa menyebut huruf ‘h’ kat hujung tu – Jadi Pak Ne saja sebutannya) kemudiannya menjadi kedai kopi yang dibuka dan jalankan oleh abang saya sendiri dan dibantu oleh saya sebagai pembantunya.

Bermula cerita buka bisnes kedai kopi

Selepas saya balik dari luar negara, tumpuan saya lebih ke arah mendalami pengajian agama yang ada banyak diberikan secara percuma sahaja di sekitar Kubang Semang. Maklumlah bila duduk kat luar negara, terasa ada banyak perkara yang saya rasa ketinggalan dalam bab ilmu dan amalan kehidupan seharian kita.

Masa kat luar negara juga saya ada banyak belajar agama dari kawan-kawan berbangsa Arab di sana. Jadi bila balik saya nak teruskan pengajian dalam masa yang sama dapat bandingkan apa yang saya belajar di sana, dengan aliran yang ada kat sekeliling kampung.

Ketika itu, saya jadi seperti seorang yang kemaruk ilmu agama. Perkara pertama yang saya buat bila balik adalah pergi belajar mengaji Al-Quran semula kepada Tok Imam Masjid Kubang Semang, Pak Ndak Mud. Masa kanak-kanak dulupun saya belajar dari dia. Bila dah dewasa, saya pergi sekali lagi tertemu lutut ke lutut dengannya. Tapi kali ni saya hanya seorang dengan dia saja. Lebih esklusif.

Nota: Pak Ndak Mud sudah kembali ke hadrat Ilahi – semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh hendaknya

Bisnes kedai kopi itu saya jadikan sebagai kerja sambilan sahaja dan abang saya yang jadi boss besar ketika itu.

Bagaimana bisnes kedai kopi bermula

Sebelum kami buka kedai kopi, ambil alih bisnes kedai kopi Pak Neh tu, abang saya hanya berniaga tepi jalan tak jauh dari pasar basah asal di Pekan Penanti. Pasar ikan Pekan Penanti sekarang dah berpindah ke tempat lain berhadapan dengan Jirat Cina, jalan menuju ke Guar Perahu.

Orang yang turut sama membantu abang saya berniaga nasi tepi jalan ketika itu ialah jiran, yang kami panggil sebagai Abang (orang kampung panggil dia Bani Tok Man).

Setiap pagi selepas subuh, abang saya dengan Bani Tok Man akan usung periuk lauk dan periuk nasi satu persatu dengan basikal dari rumah menuju ke tepi jalan. Jaraknya lebih kurang 15 minit saja. Tapi dengan muatan yang berat dan ulang alik 2 atau 3 kali, jarak itu bukanlah sesuatu yang menyeronokkan.

Pacak meja tepi jalan jual nasi

Sampai di tepi jalan tu abang dengan Bani Tok Man buka meja kecil dan mula susun periuk lauk diatasnya dan letakkan bekas nasi atas kerusi. Sebak saja sampai pelanggan yang dalam perjalanan ke tempat kerja, kebanyakannya yang naik motosikal, akan mula singgah dan beli nasi bungkus.

Orang kampung yang baru lepas balik dari solat subuh di masjid dan surau juga akan mula beratur beli nasi bungkus hasil masakan emak yang memang dah terkenal di kalangan orang kampung pandai masak. Biasanya lauk tak banyak. Hanya ada lauk daging, ikan dan ayam. Sejenis sayur dan jenis masakannya akan berubah-ubah tidak tetap.

Hanya hari tertentu, kalau tak silap saya, hari jumaat, lauk dan nasi tomato istimewa akan disediakan. Hari lain, hanya nasi putih sahaja dengan beberapa pilihan lauk yang ringkas. Jualan memang laris dan tak perlu nak tunggu sampai lewat pagi.

Saya masih tak mahu libatkan diri dengan mereka berdua, iaitu abang saya dan Bani Tok Man. Dua orang sudah mencukupi untuk berniaga nasi tepi jalan sebab mereka tak jual air. Hanya jual nasi bungkus sahaja, jadi dah boleh cover dengan hanya ada dua orang buat kesemua urusan bisnes tepi jalan itu.

Bukan mudah jual tepi jalan

Saya masih ingat betapa sukarnya proses persediaan dari mula beli segala bahan untuk masakan, bangun awal, masak segala nasi dan lauk, kemudian isikan ke dalam bekas satu persatu.

Lepas itu angkut pergi dan balik dengan basikal, kemudiannya motosikal ke tepi jalan dan mula pacak jual sampai habis kesemuanya.

Semua pengorbanan dan susah jerih itu ditanggung oleh emak saya terutamanya sebab saya rasa dialah yang buat kerja paling teruk memasak dan terpaksa bangun seawal pukul 3 pagi setiap hari. Bila kenangkan semua itu, saya rasa sayu sangat setiap kali merenung muka emak saya sekarang.

Emak dah tua, dah tak larat dan tak masak apa-apa lagi. Badannya kelihatan bongkok senget di belakang dan sering mengadu lenguh dan kadang kala sakit urat.

Kesan bongkok tulang senget itu adalah hasil dari kerja kuat dari muda sampai ketua dan tak pernah ingat nak jaga ketrampilan diri macam orang sekarang yang pergi spa, mengurut dan sebagainya. Mak tidak ada masa untuk semua itu demi sesuap nasi untuk anak-anak.

Abang pula berhenti kerja kapal, itupun atas desakan keluarga semua yang kesian kat dia kerja sampai tak ada cuti samada raya atau tidak. Jarang-jarang balik ke rumah asyik duduk atas kapal dan dah mula jauh dari perhubungan masyarakat dengan kehendak pekerjaan sebegitu.

Bila dia berhenti, perlu cari jalan untuk sara hidup. Maka keluarlah idea jual nasi tepi jalan, hasil dari perbincangan sesama keluarga dan dorongan dari Bani ToK Man, yang juga banyak memainkan peranan untuk merealisasikan projek itu.

Mula buka kedai kopi

Bani Tok Man ni kawan kami sekampung sejak kecil. Dia seorang yang unik bagi saya yang rajin berusaha dari tak ada apa-apa sampai berjaya jadi seseorang. Kisah dia juga menarik, nanti kalau ada masa saya akan kongsikan.

Setelah sama-sama berniaga dengan abang saya, Bani Tok Man buat keputusan nak berhijrah ke KL. Dia nak cari rezki dan majukan dirinya kat sana. Tak silap saya dia dapat kerja sebagai kerani kat KL masa itu. Dari kerja kerani itulah, dia ambil kelas malam sambung pengajiannya, kemudian semakin maju dan maju membina kerjayanya kat bandar.

Langkah seterusnya kemudian adalah pergi sekali lagi pada Pak Neh minta nak buka kedai kopi dan mula teruskan perniagaan nasi bungkus kat tepi jalan tadi dengan ketiadaan Bani Tok Man. Masa itulah saya perlu masuk membantu.

Bila buka kedai kopi, perlu sasarkan pelanggan yang nak beli bungkus dan perlu juga buat persediaan pelanggan yang nak makan duduk kat kedai kopi tu. Perlu ada tukang bancuh air dan perlu ada kuli basuh pinggan mangkuk, perlu ada orang ambil order dan macam-macam kerja lagi.

Rutin bisnes kedai kopi

Kedai kopi yang kami buat itu mulanya bermula selepas subuh dan dibuka sampai ke petang. Selepas beberapa lama jalankan konsep pagi sampai petang begitu, kami dapati, lebih strategik untuk hanya buka awal pagi dan tutup selepas tengahari sahaja. Dalam waktu asar kami dah tutup kedai.

Dari segi kos dan tenaga, tempoh masa itu lebih optimum dan ada masa untuk uruskan segala tugasan persediaan untuk keesokkan harinya.

Kami masih teruskan modus operandi yang sama. Mak masak kat rumah, angkut satu persatu lauk dan nasi ke kedai dan mula jual. Kedai kopi Pak Neh itu tak sesuai untuk dijadikan sebagai pusat masakan sebab tak ada dapur.

Kedainya ringkas dan terbuka lapang. Hanya ada dua bahagian yang boleh ditutup. Satu bahagian kaunter utama tempat letak pinggan mangkut dan segala barangan lain. Dan satu lagi bahagian yang hanya ditutup dengan pagar dawai, yang menyimpan semua bahan dan peralatan untuk masak dan bancuh air.

Saya dan abang bahagikan kerja secara sama rata. Bab angkut lauk dan nasi pergi balik dengan motosikal adalah kerja saya sebab saya lebih cekap tunggang motosikal daripada abang yang lebih cekap naik basikal masa tu. Dia lambat sikit ubah cara pengangkutan untuk digunakan dan saya pulak memang jenis yang suka buat benda baru.

Jadi biasanya dia akan pergi buka kedai satu persatu, jerang air dan buat persediaan tunggu lauk untuk saya hantar. Macam itulah setiap hari setiap pagi saya dan abang mula kerja tanpa jemu. Biasanya awal pagi memang sibuk sebab orang datang beli dan makan kat kedai kopi tu tak berhenti.

Bila reda sikit saya akan tinggalkan abang yang masa itu kami dah ada seorang lagi pembantu untuk menguruskan kedai kopi tersebut. Pembantu itu juga jiran kami yang lebih muda belia dari saya ketika itu, yang kami panggil Lan.

Lan sekarang dah jadi kontraktor berjaya, alhamdulillah.

Bisnes kedai kopi yang teruk

Bisnes kedai kopi memang teruk. Bukan bisnes tu teruk, tapi rutin kerjanya tak pernah habis dari pagi sampai malam.

Biasanya saya akan tinggalkan abang dan Lan kat kedai itu untuk pergi ke Pondok yang tak jauh dari kampung. Saya pergi menadah apa saja ilmu yang diajarkan oleh para tok guru muda kat Pondok penanti kat situ.

Selesai mengaji, saya akan pergi solat zohor kat Masjid dan selesai semua itu, barulah saya balik semula ke kedai kopi. Abang akan balik untuk selesaikan urusan solatnya pulak. Saya sambung jaga kedai dengan Lan sehinggalah pukul 3 lebih dan mula tutup kedai.

Abang akan datang pulak sambung urusan tutup kedai dan saya pula ambil motosikal untuk mula pergi beli segala kelengkapan untuk masak untuk jualan keesokkan harinya. Sampai asar, saya bergegas pula ke masjid untuk solat berjemaah dan sambung belajar mengaji pulak dari Pak Ndak Mud.

Habis belajar mengaji saya bergegas pulak pergi main bolasepak sampai magrib. Pergi solat magrib dan insya dan kemudian bantu emak pulak untuk buat persediaan memasak kat rumah. Bersiang apa-apa yang patut dan akhirnya terdampar lena atas tilam kekabu keletihan sehinggalah dikejutkan semula pergi solat subuh oleh mak yang dah lama bangun memasak.

Dan berkitar lagi satu proses pusingan yang sama macam hari-hari yang sebelumnya tak habis-habis.

Semua itu terpaksa dilakukan demi untuk sesuap nasi bagi menyara kehidupan dan buat apa yang kami tahu. Letih memang letih, tapi kepuasan tetap ada bila setiap detik dipergunakan sebaik mungkin tanpa ada masa untuk nga-nga.

Kenangan buka kedai kopi

Banyak kenangan yang saya simpan sepanjang perjalanan buka bisnes kedai kopi itu bersama abang. Kenangan berkelahi dengan abang tak payah nak kiralah, memang selalu sebab bila letih, mula nak cari salah orang lain untuk lepaskan geram.

Yang tak best, hanya apabila saya berfikir pasal emak. Sampai bila emak nak kerja teruk macam itu. Sepatutnya dia dah tua, masa itu tak perlu lagi kerja teruk. Relaks saja dan buat apa yang lebih mudah dan tidak susah-susah. Itulah yang membuatkan saya selalu berkelahi dengan abang. Suruh abang belajar masak sampai cekap dari mak dan jangan kacau emak lagi.

Saya memang tak minat nak jadi tukang masak walaupun saya boleh memasak. Itu bisnes abang, jadi abanglah yang kena berfikiran jauh dan mula menyusun langkahnya untuk pergi lebih jauh lagi. Itu hujah saya yang sering membuatkan kami berkelahi.

Baru sedar pandai bancuh kopi

Tugas utama saya adalah bancuh air. Ada beberapa pelanggan yang kalau datang hanya mahukan bancuhan air kopi dari saya sahaja. Kebanyakannya orang tua-tua. Saya memang kaki kopi O. Mungkin citarasa bancuhan kopi O saya kena dengan citarasa orang tua-tua, maka bancuhan saya lebih digemari.

Ada seorang cina Tua bernama Ah Yan yang jadi pelanggan tetap kami. Paling kurang dia mesti datang makan atau minum sekali kat kedai kopi tu. Dia mahu saya saja yang bancuh kopi O pekat untuknya.

Bila dah siap bancuh, saya hantar dan letakkan atas mejanya dan dia akan paksa saya duduk pula layan dia nak bersembang.

Ada sekali itu dia ada tanya satu soalan.

“Lu kalau ada 50 sen, mau buat apa?”, tanya Ah yan pada saya.

“50 sen nak boleh buat apa, simpan sajalah atau beli coklat”, jawab saya spontan.

“Jangan itu macam!, lu mesti fikir macam mana mau kasi itu 50 sen jadi satu ringgit!, baru boleh jadi otak niaga!”, jawab cina tua itu pada saya.

Ah Yan masa mudanya ialah seorang usahawan yang jual segala rempah ratus kat pekan Penanti tu satu masa dulu. Dia memang seorang usahawan dan masa tuanya dah ada banyak hartanah. Anak-anak dah besar, jadi dia tak buat apa-apa lagi masa itu.

Itu satu pendedahan awal yang saya dapat dari orang cina, Ah yan merupakan kawan arwah bapak.

Ada banyak lagi yang saya belajar masa buat bisnes kedai kopi tu, tapi terpaksa hentikan kat sini dulu sebab artikel ni dah jadi terlalu panjang.

Sekadar kenangan, setidaknya untuk anak-anak saya nanti untuk dibaca semula bila saya dah dikebumikan.

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

6 comments

  1. memang best baca cerita kedai kopi tn..tak sabar nak tahu kisah kawan tuan yg berjaya tu hrp tuan ceritakan…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge