Coretan Usahawan Hidup Ringkas

By | 13/08/2013
Bersyukur dengan apa yang ada

Dilahirkan dalam sebuah keluarga yang susah membuatkan saya tidak ada gambaran bagaimana rasanya menjadi ahli dari sebuah keluarga yang kaya raya.

Sedar-sedar sahaja tinggal di sebuah rumah papan beratapkan rumbia yang sering bocor setiap kali hujan lebat.

Masa itu belum ada lagi air paip, semua urusan basuh membasuh menggunakan telaga di depan rumah.

Untuk air basuhan emak akan angkut beberapa timba air naik ke atas untuk diletakkan di dalam besen di dapur. Dapur pula ala kadar dengan jerejak kayu yang jarang sebagai tempat curahan air jatuh ke ‘acaq’ di bawah rumah.

Di kawasan acaq di bawah pula bapak pasang kawat dawai mengepung empat tiang sebagai dinding menghalang beberapa ekor itik air yang dibela dari terlepas keluar. Itulah sumber telur itik darimana kami makan.

Kadang kala telur itik akan dijual pada Apeq yang sering masuk kampung bagi membeli telur, ayam atau itik dari orang kampung. Dapatlah juga sedikit duit untuk membeli beras atau barang dapur.

Untuk menambah pendapatan, arwah bapak sekali sekala bela ayam daging satu lau. Bila besar ayam akan dijual atau disembelih pada hari keramaian atau hari raya.

Ayam kampung memang ada beberapa ekor dilepaskan berkeliaran yang bercampur aduk antara ayam kami dengan ayam orang lain yang datang menumpang tidur atas pokok rambutan di belakang rumah.

Walau macam mana banyakpun datangnya ayam bercampur dengan ayam jiran, kami dapat kenal mana satu kepunyaan bapak dan mana satu orang yang empunya.

Di dalam rumah serba kosong dan sunyi dari perhiasan atau almari serta kabinet. Malah ketika itu saya tak pernah tahu apa itu kabinet apatah lagi ‘wardrobe’. Saya hanya kenal almari lauk dan ‘para’ tempat simpan pinggan mangkuk dan periuk belanga.

Pakaian pula hanya disusun kemas di dalam ruang rak kayu yang biasanya dibuat sendiri atau di ambil daripada rak orang lain yang mahu dibuang. Untuk mencantikkan rupa rak baju itu, mak akan pasang tirai kain menutupnya.

Karpet? jangan tanya ada ke tak ada, tikar paling hebat yang kami sekeluarga ada hanyalah tikar mengkuang. Ada tikar yang baru dan ada juga yang lama.

Kami sekeluarga hanya guna tikar lama yang lusuh. Yang baru digulung kemas dan disimpan untuk dibuka hanya jika ada tetamu datang.

TV? satu lagi barangan mewah, hebat dan tidak termimpi untuk dimiliki. Waktu itu hanya ada TV hitam putih dan mereka yang miliki TV merupakan warga kampung kelas 1.

Biasanya untuk menonton TV saya akan bertandang di rumah jiran yang merupakan seorang guru sekolah rendah yang saya panggil Cikgu Raman. Itupun hanya sekali seminggu dibenarkan emak untuk ke rumahnya. Biasanya setiap hari jumaat malam sabtu saya ke rumah Cikgu Rahman kerana waktu itu ada cerita Melayu.

Susah? saya tak kenal apa itu susah apa itu senang pada waktu itu. Semuanya best dan hidup sempurna cukup makan dan minum.

Hari-hari dilalui dengan ceria walaupun tak ada sebuahpun basikal yang dimiliki keluarga kami. Tak ada satupun kenderaan di bawah rumah sehinggalah saya berumur 12 tahun bapak ada kemampuan beli sebuah basikal second-hand.

Basikal itu sering jadi punca perbalahan antara saya dengan abang kerana berebut untuk naik setiap kali tidak digunakan bapak.

Begitulah lebih kurang suasana kehidupan saya ketika kecil. Tidak punya impian dan keinginan dan tidak pernah membandingkan apa yang kami sekeluarga tiada berbanding orang lain.

Pelajaran pula tidak pernah terurus. Sekolah rendah macam biasa sahaja dan nasib baik bapak bersusah payah menghantar semua anak-anaknya ke Sekolah Inggeris Stowell School di Bukit Mertajam, tahulah jugak saya bagaimana bunyinya bahasa Inggeris.

Hanya di sekolah menengah saya mula buka mata apabila melihat pelajar-pelajar yang baik prestasinya dipandang tinggi dan mendapat banyak bantuan.

Saya mula peka pada keputusan peperiksaan mereka yang lebih berumur. Cerita kehebatan dan kepandaian pelajar yang bagus sering mendapat perhatian lalu akhirnya saya berazam mahu jadi macam mereka. Saya mula sasarkan untuk menjadi bagus dalam pelajaran.

Kekurangan yang ada tidak pernah menjadi halangan. Apa yang saya fikirkan apa saya nak jadi. Saya sering igaukan keputusan SPM yang paling baik yang boleh saya perolehi. Dan igauan itulah yang membuka jalan bagaimana saya boleh dapatkannya.

Hampir setiap hari saya congak dan catit semua keputusan setiap matapelajaran yang bakal saya score. Soalan yang sering terpancul dalam kepala adalah ‘bolehkan saya dapat Gred 1 dalam SPM?’ dan jika boleh, ‘berapa agregate?

Nak dipendekkan cerita saya dapat keputusan yang baik dan berakhir dengan pergi ke luar negara…dunia terbuka lebih luas selepas itu.

Balik dari luar negara, saya hanya fikirkan nak makan gaji. Alasannya adalah kerana semua orang masa itu hanya cerita tentang makan gaji. Kerja bagus, gaji banyak, kahwin dan tunggu mati…itu saja.

Hasrat nak berniaga memang ada terlintas. Tapi waktu itu, berniaga bukan satu pilihan utama, malah satu kerjaya yang sukar untuk mendapatkan isteri. Lagipun tak ada sesiapa dari kalangan keluarga yang berniaga.

Tidak terfikir ketika itu untuk jadi orang kaya dan tidak juga terfikir masa itu bahawa nak jadi kaya, jalan paling berpotensi adalah dengan berniaga.

Semua mula berubah bila bertemu dengan usahawan yang merupakan vendor Proton. Kawan yang memperkenalkannya pada saya sering bercerita bagaimana usahawan itu hanya sering berada di rumah banglownya menonton TV sedangkan perusahaan kilangnya berkembang maju.

Akhirnya saya nekad untuk jadi usahawan…usahawan yang berjaya. Cuma ada satu masalah lagi…

Saya sejak dari dulu suka hidup sederhana dan takut bermewah-mewah. Mungkin hasil didikan sejak kecil dan membesar dalam suasana yang serba kekurangan membuatkan saya rasa selesa.

Untuk selesaikannya saya bezakan antara perniagaan dengan diri saya sendiri. Berniaga betul-betul biar syarikat kaya dan saya sendiri hidup sekadar apa yang saya perlukan.

Maka selesai semua masalah dan saya mula buat kerja seiring dengan apa yang saya mahu. Jadilah saya Usahawan Hidup Ringkas.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

29 thoughts on “Coretan Usahawan Hidup Ringkas

  1. Daud

    Pengalaman ne similar dgn masa aku kecik2 dulu..hehehe..

    aku pon dah boring keja mkn gaji ne..bosan dgn rutin yg sama..ingat nak berniaga..tp tak berani amik risiko.. kalo gagal..anak bini nak makan ape..huhu

    Reply
  2. kakiblog

    hidup di dunia biar ringkas supaya di akhirat nanti dapat masuk syurga cepat..apa2pun saya percaya orang yang diuji dengan kesusahan akan mendapat kesudahan hidup yang senang lenang..

    Reply
  3. azman

    Kalau dah pernah merasa susah,insyallah kita akan sentiasa beringat asal usul kita.

    Reply
  4. Aju Mohit

    takpe saya nak komen lgi sekali hahahah sebab rasnya semalam dh komen tp tak appear kat sini

    kebiasaannya kesusahan itu akan membuatkan kita lebih berusaha utk mencapai impian yang diimpikan

    Reply
    1. Mohd Shubhi Abdul

      Ada masalah sikit dengan sistem komen yang dipasang dan terpaksa ditukar semula pakai sistem yang ada ini. Terima kasih sebab tak serik datang lagi. Komen yang susah nak buat biasanya berbaloi…

      Reply
    1. Mohd Shubhi Abdul

      Mohon maaf. Ada masalah dengan sistem komen yang cuba saya pasang dan terpaksa dibuang untuk terus gunakan sistem lama…sekali lagi Mohon maaf dan jangan serik komen lagi…TK

      Reply
  5. Papa Mifz

    den pun asal keluarga sederhana , teringin nak berjaya suatu hari nanti , masih belajar menjadi seorang usahawan , belum berjaya namun berdoa dan berusaha ke arah itu…

    Reply
  6. onlajer

    nak juga jadi usahawan yang berjaya hehe

    saya ucapkan selamat hari raya aidilfitri semoga amal ibadah kita diterimanya

    Reply
  7. Anonymous

    Salam perkenalan . Saya cukup suka dengan blog ni. First2 baca dah rasa mcm nk buka hari2. Ayat ringkas tp padat dengan isi. Saya sbnrnya kurang gemar berniaga sbb dari kecik dipaksa tolong berniaga dari kecik masa umur 11 tahun sampai lah kini. Saya pernah kerja makan gaji dan berniaga dengan kelaurga. Mmg berbeza sungguh. Tp saya rasa berniaga mmg susah.

    Reply
    1. Mohd Shubhi Abdul

      Terima kasih suka pada blog ini. Moga isinya bermanfaa! Ya ! berniaga tak senang…tapi bagi mereka yang tak kisah, ganjarannya amat besar Insyallah

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge