“Nak ke mana ni Encik?”, tanya pegawai polis yang tahan kereta saya.

Saya pergi ke rumah di Bagan Lalang ambil ubat yang tersimpan dalam peti ais di rumah tu. Ubat turunkan tahap kolestrol yang saya ambil di Klinik Kesihatan Pekan Sg Pelek bulan sudah.

Sebelum tu ada buat pemeriksaan kesihatan kat klinik tu. Doktor cadangkan saya ambil darah dan periksa kesihatan usus sekali. Ada kemudahan untuk periksa kanser usus yang kerajaan sediakan. Tak ramai tahu dan tak ramai ambil kesempatan tu. Kata doktor yang buat pemeriksaan kesihatan waktu tu.

Dah alang-alang buat medical check-up, elok buat sekali. Tambah doktor itu lagi.

Kebelakangan ni, kanser usus dah jadi salah satu pembunuh utama rakyat Malaysia. Pembunuh nombor 2 selepas masalah sakit jantung dan yang berkaitan dengannya. Kawan-kawan saya yang meninggal kena kanser usus juga dah ramai, semuanya lelaki. Kalau campur semua yang saya kenal sejak 5 tahun kebelakangan ni dah lebih dari 10 orang.

Menurut doktor, kalau potensi ada kanser usus ni dikesan awal, masalah dapat diatasi dengan lebih mudah. Doktor akan ambil sample najis dan kesan samada ada darah kat najis tu di peringkat awal. Kalau nak tunggu dan buang air besar ada campur darah baru nak pergi periksa, dah terlewat dan sukar dirawat.

Alang-alang buat pemeriksaan, saya buat semua yang ada disediakan. Bayar RM1 saja!. Mana nak cari peluang macam tu.

Alhamdulillah, semuanya ok. Tak ada masalah darah tinggi, tak ada kencing manis, tak ada saluran darah keluar dan masuk jantung yang tersumbat. Semuanya ok. Saya rasa lega sangat-sangat. Memandangkan rekod keturunan sebelah ayah dalam masalah jantung memang ada, keputusan baik tu adalah satu anugerah dalam tahap umur saya sekarang.

Doktor kata kesihatan saya sangat baik. Aktiviti puasa, aktiviti bersenam setiap pagi, banyak makan buah dan sayur, yang saya amalkan sejak umur awal 30-an ternyata berikan hasilnya. Cuma satu masalah saja.

Kolestrol jahat saya agak tinggi sedikit dari paras normal.

Keputusan yang sama seperti ketika saya periksa darah 2 tahun sebelum itu. Bila saya beritahu doktor, dia syorkan agar saya ambil ubat turunkan paras kolestrol untuk 6 bulan. Jika turun, baru berhenti ambil ubat itu.

Saya setuju saja apa cadangan doktor. Kalau dibiarkan tahap kolestrol jahat berterusan tinggi macam itu, ia pencetus saluran darah tersumbat. Kalau teruk tersumbat, alamat kena strok. Kalau kena strok ketika seorang diri, jadi mayatlah saya nanti.

Masa saya habis banyak seorang diri. Ketika buat kerja di pejabat. Ketika duduk di hotel travel buat kerja. Ketika bermalam seorang diri di rumah kat Sepang tu. Ketika balik tengok rumah di kampung yang tertinggal kosong. Semua itu seorang diri. Banyak juga berlaku rasa berdebar sakit ulu hati ketika tidur seorang diri.

Bila dah kerap sangat berlaku yang biasanya bagi rasa panik takut berlaku serangan jantung, saya pastikan buat pemeriksaan lengkap kesihatan secara berkala.

Untuk hilangkan rasa panik bila berlaku debaran macam tu, saya akan berbisik perlahan pada diri. Jika ini saat akhir kehidupan untuk saya, saya redha dan bersedia untuk hadapinya. Bisikan itu akan tenangkan semula rasa panik.

Masalah kolestrol jahat yang agak tinggi berpunca dari pemakanan. Kata doktor bila saya tanya kenapa.

Ertinya, berpuasa, bersenam, makan buah dan sayur banyak. Masih tak cukup. Saya mesti jaga apa yang saya makan. Itu agak kurang sikit saya berikan perhatian. Makanan bergoreng memang kegemaran. Goreng pisang memang sama banyak dengan jumlah nasi yang saya makan sejak dari muda lagi. Itu semua perlu dikawal.

Tadi, bila doktor terangkan pasal kanser untuk syorkan saya buat pemeriksaan najis, saya terus setuju. Jika diberi pilihan mati sebab kanser atau serangan jantung, saya pilih serangan jantung. Kata saya pada doktor.

Doktor terbeliak mata dengar saya kata begitu.

Kanser ambil masa untuk mati. Sebelum mati tu, sudah banyak siksaan yang akan terpaksa dilalui. Ini akan menyusahkan saya dan orang lain yang kena jaga. Tapi kalau kena strok, terus jatuh dan mati. Mudah, pantas, dan tak susahkan orang.

Bila saya terangkan macam tu, doktor wanita dari Johor itu senyum. Dia angguk setuju. Betul juga, katanya. Ada baiknya juga serangan jantung terus mati tu. Akui doktor.

Akhirnya, saya pergi ambil ubat kawal kolestrol. Balik dan asingkan simpan dalam peti ais. Sebahagian darinya saya masukkan dalam beg tangan.

Yang dalam beg tangan tu saya sediakan cukup sampai 31/3/2020. Bila kerajaan lanjutkan tempoh kawalan pergerakan, kena pergi ambil kesemua baki yang ada dalam peti ais di rumah Bagan Lalang tu. Sebab itulah saya terpaksa pergi juga ke sana.

Bila kena tahan di sekatan jalan raya kat depan balai polis Sg Pelek tu, saya terangkan nak balik ke Puchong. Dia terkejut bagaimana saya boleh datang dari Puchong ke Sg Pelek. Langgar banyak sempadan ketika PKP.

“Siapa yang bagi kebenaran pada Cik untuk datang ke sini”, suara pegawai polis tu terus bertukar jadi garang. Kedudukannya berdiri sambil pegang senjata yang sedang digalas tu menambahkan lagi rupa garangnya.

Itu pengalaman yang saya teruja nak lalui. Nak tengok semua pergerakan dan perjalanan yang saya tempoh ni akan bawa ke mana. Apa saja boleh berlaku. Dalam radio berita semakin ramai yang ditahan atas kesalahan langgar arahan PKP sering diwar-warkan.

Pangalaman macam tu dapat tambahkan satu lagi latihan kawal ketakutan dan kerisauan diri. Saya baca satu buku pasal panduan lalui kehidupan dengan tenang sebelum ini. Penulis syorkan untuk sentiasa anggap anda sedang berada dalam keadaan pembelajaran.

Apa saja yang berlaku. Kalau tak ada benda baru, pergi cari. Itu adalah aktiviti menyerap pengalaman hidup. Selagi hidup, seraplah sebanyak pengalaman yang mungkin. Mati nanti dah tak ada semua itu.

Anda sepatutnya rasa bosan jika asyik tempuhi jalan biasa yang dapat dijangka sahaja hasilnya. Tak kaya pengalaman jika berterusan begitu. Tak menarik jika tak banyak kejutan berlaku. Biasakan diri tempuh kejutan dan serap pengalaman baru. Jangan buat perkara bahaya yang boleh bawa maut sudahlah.

Jadi kena pandai kira risiko supaya tidak lalui pengalaman yang membahaya kan diri.

“Tak ada sesiapa bagi kebenaran”, jawab saya sambil senyum merenung matanya. Walaupun mulutnya tertutup oleh mask, boleh teka bagaimana keadaan dalam pemikiran pegawai polis itu hanya dengan melihat mata dan semua otot sekeliling matanya.

“Saya ditahan di setiap pintu keluar daerah, dan mereka lepaskan saya bila beritahu nak pergi Sepang ambil ubat” Sambung saya lagi pada pegawai itu. Otot sekeliling matanya nampak lebih tegang. Mungkin dia tak puas hati macam mana saya boleh langgar keluar jauh macam tu.

“Sekarang saya nak balik ke rumah semula di Puchong”, ayat akhir saya. Masih merenung melihat perubahan otot matanya.

Akhirnya otot matanya mula nampak relaks semula. Saya dapat baca dia dah malas nak takutkan saya lagi.

“Ok, balik rumah, jangan keluar lagi”, ucapnya sambil matanya kelihatan mengecil, urat tepi mata menurun sikit kebawah. Tandanya mulut yang tersorok di bawah mask itu sedang tersenyum.

“Saya pun tak ingin nak keluar ..”, jawab saya tersenyum sambil gerakkan kereta teruskan perjalanan.

Covid-19, bagaimana anda laluinya?

Apa yang dah berlaku pada hidup anda sejak tercetusnya wabak Covid-19?

Dari apa yang boleh kita lihat dari awal kejadian di Wuhan, ada berbagai reaksi. Yang paling galak ambil tahu dan kuat lontarkan pendapat mereka adalah golongan yang ada semangat kepartian.

Maksudnya, golongan yang peka kepada politik dan dalam masa yang sama punya parti politik yang dia sokong. Mereka dapat hidu peluang untuk pergunakan situasi cemas wabak Covid-19 untuk kepentingan populariti parti pilihan mereka.

Satu lagi golongan adalah mereka yang sangat minat pada apa saja teori konspirasi. Wabak Covid-19 jadi bahan baru untuk karang cerita konspirasi terbaru mereka. Diagabungkan dengan baik bersama kesemua cerita konspirasi lama sebelum ini.

Covid-19 menjadi satu hujah dan bukti baru kebenaran terhadap teori konspirasi mereka selama ini. Termasuklah golongan yang kaitkan sesuatu kejadian dengan rahmah dan bala. China diturunkan bala akibat sikap mereka pada umat Islam.

Malas saya nak ulas sikap segelintir agamawan yang tempelak sikap dayus, kata mereka, terhadap penganut yang takut pada Koronavirus. Sedangkan yang paling layak ditakuti adalah Tuhan. Ada juga yang berfkiran sedemikian.

Anda boleh lihat sendiri semua yang saya katakan kat atas dalam tempoh awal berlakunya Covid-19 beberapa minggu yang lalu.

Saya rasa, apa yang anda lalui sebagaimana yang saya lalui. Ramai lagi yang sama macam kita. Semua peristiwa ini bergerak pantas dari satu peringkat ke satu peringkat sampai tak sempat nak fikir dan buat persediaan rapi.

Bila ia ditentukan berlaku, ianya pasti akan berlaku. Macam bayangan kajadian kiamat yang disebut dalam Al-Quran. Ia berlaku tiba-tiba. Ketika anda lena, ketika khayal, ketika tenang, ketika gembira atau ketika duka. Pada yang kaki maksiat, pada yang kuat agama, semua akan rasa.

Tapi nasib baik ini belum lagi kiamat. Bukan lagi kehancuran total dunia dan segala isinya. Kehidupan anda masih dapat diteruskan macam biasa. Anda sepatutnya dah sedar bahawa yang menggerakkan anda adalah tabiat atau amalan anda selama ini.

Tabiat menggerakkan anda selama ini sehinggalah Perdana Menteri umumkan malam itu yang kerajaan akan kenakan perintah kawalan pergerakan (PKP). Saya sedang ada di rumah kat Bagan Lalang malam itu.

Baru balik habiskan kerja di Kelantan.

Bila dah dengar pengumuman itu barulah otak ligat berfikir apa yang perlu dilakukan. Baru teringat akan berlaku perubahan pada perniagaan. Teringat pasal semua staff. Teringat pada jumlah duit dalam simpanan. Teringat pada kedudukan jualan syarikat dan sebagainya.

Susun semula perjalanan hidup

Sekarang dah tamat tempoh pertama PKP. Kerajaan lanjutkan lagi 2 minggu sampai 14/4/2020. Setelah puas duduk rumah siang malam baca buku dan cuba berfikir membuat andaian dan jangkaan selepas selesai semua isu Covid-19 nanti.

Dalam tempoh 2 minggu pertama, saya sedar yang perkara paling penting untuk dilihat dalam hidup adalah makan dan minum serta tempat berlindung.

Makan dan minum merupakan keperluan harian yang mesti ada. Keluar rumah, cari makan dan minum, balik berikan pada semua isi keluarga dan digunakan sampai habis. Bila habis keluar cari lagi dan bawa balik. Begitulah putarannya berlaku berulang-ulang.

Tempat berlindung, iaitu rumah pula hanya perlu disediakan sekali sahaja. Bila dah ada, kekalkan dia dalam keadaan baik dan selesa untuk semua isi rumah. Samada sewa atau rumah sendiri, tak kisah. Yang penting, ada. Lengkap dengan semua keperluan asas untuk teruskan kehidupan.

Apa yang paling penting dalam kehidupan adalah berusaha untuk memiliki kedua-dua perkara asas di atas sekadar mencukupi. Makan dan minum banyak serta lazat tak penting. Rumah yang sangat besar dan mewah juga tidak penting.

Kekayaan adalah keadaan di mana, apa yang anda ada dirasakan sudah mencukupi. Rumah besar tersergam mewah tak bermakna yang duduk di dalamnya kaya. Rumah kecil sederhana tak bermakna yang duduk di dalamnya miskin.

Covid-19 membongkar keadaan itu bila munculnya mereka yang kelihatan sangat gah sebelum ini, melompat panas dengan kenyataan pedih. Minta bantuan kerajaan lebih kepada mereka. Majoriti orang ramai yang biasa-biasa, tenang saja. Bersyukur dengan apa yang ada.

Nampaknya jumlah mereka yang kaya pada hakikatnya jauh lebih ramai dari pada yang mewah tapi miskin.

Perkara penting yang saya dapat, dalam bab perkara asas ni adalah, fokus pada meyediakan makan dan minum yang mencukupi dan berikan perhatian pada tempat tinggal yang selesa dan berpada. Tetapkan aras mencukupi untuk kedua-dua urusan itu bersesuai dengan diri anda dan tanggungan di bawah.

Elakkan diri dari berlebihan sebab nak tunjuk kat orang lain. Kaya atau miskin bergantung pada takrifan anda sendiri dalam menentukan mencukupi atau tidak. Bukan terletak pada penilaian orang lain yang tak tahu kedudukan diri anda dalam dan luar.

Susun semula aktiviti kehidupan anda

Sepanjang tempoh PKP ni juga saya ada masa untuk lihat segala aktiviti yang dilakukan selama ini. Baru sedar ada banyak urusan berkaitan media sosial yang tak perlu diteruskan.

Bila semak semula asas untuk sediakan makan dan minum dan tempat berlindung yang mencukupi, ternyata banyak aktiviti media sosial yang lansung tidak membawa ke arah itu.

Elok senaraikan semula segala aktiviti media sosial. Kekalkan mana yang boleh membantu menjana sumber pendapatan ke arah persediaan keperluan hidup sahaja. Mana yang tak bawa ke situ, delete dan nyahkan dari paparan skrin telefon pintar anda.

Banyak akaun di media sosial yang saya dah delete. Banyak page di FB yang juga di-delete. Susun semula mana yang dikekalkan dan rangka strategi ‘branding marketing’ dan seterusnya ‘strategi menjual’.

Kalau anda nak panduan penggunaan media sosial yang ringkas dan berkesan, boleh cuba beli dan baca buku yang saya sempat beli sebelm PKP ni. Social Media Success For Every Brand. Tulisan Claire Diaz-Ortiz.

Satu lagi yang saya masih ragu-ragu nak tentukan adalah samada nak fokus pada besarkan bisnes dan syarikat saya sendri saja atau nak teruskan juga buat khidmat bantu bisnes orang lain. Kalau nak fokus pada bisnes sendiri saja bermakna blog hidupringkas.com ini pun saya terpaksa tinggalkan.

Masih ada lagi 2 minggu untuk buat keputusan.

Perkara asas susun dan bertindak sekarang

Untuk membantu anda susun semula kehidupan selepas ini, elok jadikan 2 perkara asas di bawah sebagai kompas hala tuju pergerakan dan aktiviti anda.

  • Tentukan aras mencukupi yang sesuai untuk anda dan tanggungan – Makan dan minum dan tempat berlindung yang selesa. Rancang semua perincian serta semua perkara yang berkaitan dengan kedua-dua benda asas tersebut. Pertimbangkan kesihatan mental dan fizikal dan lihat samada lokasi tempat tinggal anda sekarang sesuai atau tidak. Kalau tak, rancang perubahan selepas ini.
  • Rancang aktiviti ekonomi – Fokus pada aktiviti ekonomi yang boleh membantu anda tunaikan perkara nombor satu di atas. Kalau anda berniaga, ini peluang untuk susun atur semula, kesemua perancangan perniagaan dan operasi bisnes anda selepas ini. Kalau makan gaji, susun strategi untuk kecemerlangan kerjaya selepas ini. Fokus pada kekuatan dan jangan buang masa mantapkan kelemahan. Mana yang lemah, outsource saja.

Anda masih ada masa lagi 2 minggu untuk buat refleksi secara mendalam terhadap kehidupan anda selama ini. Gunakan peluang yang ada sekarang. Jangan leka sampai habis tempoh PKP ni pula.

Bagi yang ada kemahiran menulis dan ada niat nak panjangkan pemikiran anda pada pembaca blog ini, saya jemput untuk berikan sumbangan artikel di blog ni. Boleh email ke mohdshubhi@gmail.com kalau berminat.

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

3 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge