Dah nak masuk tahun 2018.

Sedar tak sedar dah masuk ke penghujung tahun 2017.

Punyalah cepat masa berlalu bila umur dah semakin meningkat ini. Masuk saja tahun 2018 ini saya masuk dalam kategori 5 series dah.

Kalau tak duduk depan cermin suluh muka, memang tak terasa sebab hati terasa masih muda. Tapi cermin bukan pandai menipu. Cermin sentiasa akan pamerkan hakikat sebenar rupa paras anda yang berdiri di depannya.

Mula tahun 2018 dengan baik dan betul

Cermin adalah antara benda paling awal yang saya lihat setiap kali nak mulakan hari yang baru. Tengok muka dan paksa diri senyum semanis mungkin. Tak ada perkara yang paling seronok bila dapat melihat diri sendiri tersenyum di awal pagi.

Kata orang falsafah, memulakan sesuatu dengan betul dan baik, akan membantu separuh dari urusan anda selesai.

Petua itu memang benar sangat dan patut diamalkan oleh semua pembaca blog ini. Sambil tersenyum, bisik pada diri sendiri yang anda bakal berjumpa dengan berbagai cabaran sepanjang hari sehingga ke malam nanti. Cekal dan tabahkan hati dan katakan bahawa anda sudah bersedia untuk menghadapinya.

Dalam menghadapi satu tahun lagi pulak (Insyaallah jika panjang umur), bila menjelangnya tahun 2018, perlu juga pastikan bahawa tahun 2018 ini dimulakan dengan cara yang baik dan betul.

Elok saya cuba ingatkan kembali semua urusan yang sudah ditempuh sepanjang tahun 2017 yang mampu membuatkan saya tersenyum sebaik saja masuk ke tahun baru 2018.

Masih berjaya teruskan penulisan

Sepanjang tahun 2017, alamdulillah blog ini masih sempat diisi dengan artikel-artikel yang baru. Walaupun  penulisan saya sudah tidak sekerap dahulu, tapi masih diizinkan Allah untuk saya terus menulis.

Hasrat hati mahu menulis lebih banyak artikel dengan lebih kerap lagi. Tapi apakan daya ada banyak lagi kerja lain yang lebih penting. Saya dah cuba minta belas ehsan kawan-kawan untuk turut sama paksa diri mereka berikan sumbangan artikel agar blog ini terus hidup, tapi apakan daya, tidak mendapat sambutan dari mereka.

Tiada paksaan dalam menulis. Jadi tak ada apa-apa yang boleh saya lakukan untuk jadikan penulisan di blog ini lebih banyak dan bermanfaat pada para pembacanya. Sudah tentu yang gagal adalah saya sendiri. Gagal meyakinkan kawan-kawan untuk membantu saya memberikan sumbangan artikel.

Itu merupakan ukuran kekuatan seorang dari segi kepimpinan. Seandainya anda gagal meyakinkan orang lain untuk buat sesuatu secara sukarela, ertinya tahap kepimpinan anda masih terlalu lemah. Saya ambil cabaran itu untuk dibaiki menjelangnya tahun baru 2018 nanti, insyaallah.

Sasaran membantu 1000 usahawan

Ketika awal membuat blog hidupringkas.com ini, saya ada tanam azam untuk membantu seribu usahawan dalam perniagaan mereka. Itulah yang pernah saya jawab apabila ditanya oleh seorang Ustaz yang merupakan kawan sekampung.

Azam itu saya buat berdasarkan keyakinan saya bahawa orang yang paling baik, adalah dia yang paling banyak mendatangkan manfaat pada orang lain. Jadi saya letakkan sasaran tersebut untuk dicapai sebelum saya mati.

Ketika itu, jumlah 1000 nampak seperti terlalu ramai. Jadi saya tak sangka pulak, tak sampai 4 tahun, saya berjaya mencapai jumlah yang melebihi sasaran. Kalau nak dicampurkan lagi dengan sumbangan idea dan nasihat dari menulisan di blog ini, sudah tentu angkanya mencecah puluhan ribu atau lebih besar lagi.

Memang betul kata orang yang berminda positif, sentiasa gandakan jumlah sasaran anda 2, 3 atau lebih kali ganda supaya nanti tak menyesal. Mungkin saya sepatutnya jadikan sasaran 5 ribu ketika itu.

Walau apapun, Alhamdulillah !

Berceramah kongsikan pengalaman

Dari zaman remaja, saya punya hasrat untuk berupaya duduk di depan orang ramai dan berceramah kongsikan apa saja pengalaman yang mampu menyuntik motivasi dan mendorong kejayaan orang yang mendengar perkongsian saya.

Hasrat memang ada ketika itu. Tapi saya sendiri tak pasti macam mana nak buat sebab ketika itu, cukup hanya bayangkan duduk depan orang atas pentas berceramah, boleh membuatkan saya rasa macam nak meninggal dunia.

Saya dapat tahu bahwa bercakap di khalayak ramai adalah antara perkara yang paling menakutkan di kalangan manusia kebanyakan. Dalam satu buku Orang Putih yang saya baca dia kongsikan persepsi orang putih terhadap public speaking.

Dalam setiap kematian, ketika mayat diletakkan dalam keranda sebelum di kebumikan, orang putih ada budaya baik yang memerlukan kawan-kawan dan kenalan terdekat si mati memberikan ucapan yang baik terhadap si mati. Tapi dalam satu kajian, majoriti orang putih merasakan terlalu sukar untuk melakukan ucapan tersebut.

Malah majoriti orang ramai merasakan mereka lebih rela berada di dalam keranda tersebut berbanding bangun ke depan dan berikan ucapan. Ertinya lebih baik mati daripada bangun berucap di khalayak ramai.

Tapi disebabkan saya ada azam dan yakin satu hari nanti saya pasti dapat melakukannya juga walaupun rasa macam cerita orang putih kat atas tu, maka Tuhan buka jalan sedikit demi sedikit tanpa disedari dan akhirnya saya dah pun berceramah di seluruh negara. Walaupun tidak sehebat Dr Azizan Osman dan khalayak tidak seramai yang dia ada, syukur Alhamdulillah!

Memberi keselesaan pada keluarga

Saya bukan anak orang kaya. Membesar dikampung berumahkan kayu yang beratap rumbia. Zaman seoalh rendah sehingga masuk tingkatan 3, TV pun kami tak ada. Motosikal, malah kereta tak payah nak cakaplah.

Susah memanglah tak susah sebab tingal di kampung tak akan ada yang mati kebuluran tak makan. Makan dirumah kawan ketika zaman kanak-kanak dlu adalah perkara biasa. Tapi tak ada keselesaan seperti mana yang ada pada anak-anak saya sekarang.

Walaupun bermula secara sukar waktu awal berniaga dahulu, saya tetap yakin Tuhan tak akan sia-siakan mana-mana hambaNya yang berusaha. Saya berazam untuk penuhi keperluan asas keluarga saya sedaya mungkin.

Bukannya kemewahan tapi keselesaan.

Mungkin isteri saya dapat rasakan sendiri hasil dari pengorbanannya bersabar dengan kerenah saya. Dia banyak bersabar dengan rumah kami yang tak ada sofa, tak ada karpet, tiada pendingin hawa dan serba kekurangan lain lagi.

Bertahun-tahun kami lalui semua cabaran untuk terus hidup membesarkan anak-anak. Bertahun-tahun juga dia bersabar dengan sikap saya yang tidak romantik dan panas baran. Masa yang tidak banyak bersama dengannya.

Sekarang semuanya sudah berbeza. Kami ada rumah sendiri. Ada TV, ada Astro, ada sofa, ada katil, ada kenderaan, cukup makan dan minum dan keselesaan sudah ada. Ada masa untuk berjalan, ada ruang untuk berbelanja walaupun masih sederhana.

Tanggung jawab saya setakt ini untuk berikan keselesaan pada mereka semua sudah saya tunaikan. Saya berdoa agar ianya dapat dikekalkan sehinggalah saya pejamkan mata. Insyallah!.

Jika ada kekuranganpun mungkin dari segi masa.

Tapi sebagai seorang lelaki, saya perlu sediakan masa untuk banyak perkara lain lagi. Saudara mara, ibu di kampung, kawan-kawan, cari makan, masyarakat, diri sendiri dan perniagaan-perniagaan saya termasuklah blog ini.

Moga anak-anak saya mampu jadi pemerhati yang baik untuk mengambil mana-mana tauladan dari saya yang baik untuk mereka. Moga tahun 2018 ini akan menjadi tahun yang lebih baik untuk kami sekeluarga, Insyaallah.

Untuk saudara terdekat lain pula, bagi yang saya tahu, susah hidup mereka, saya berikan gaji bulanan setiap bulan sepanjang tahun 2017 untuk melegakan kehidupan mereka. Saya akan pilih mana-mana syarikat saya yang sesuai untuk salurkan gaji bulanan kepada mereka.

Moga tahun 2018, hasil pendapatan dari syarikat-syarikat yang saya ada akan lebih baik dan dapatlah amalan berikan gaji pada saudara terdekat berterusan dan bertambah luas pencapaiannya, insyaallah.

Tabiat membaca berterusan

Antara tabiat yang banyak membantu saya melayari kehidupan dan menghidupkan otak yang benak, sudah tentu saya akan katakan tabiat membaca adalah penyumbang utama.

Alhamdulillah membaca masih terus jadi makanan minda utama saya sepanjang tahun 2017. Banyak buku-buku yang menarik yang membuka minda berjaya saya beli dan habiskan.

Mungkin faktor umur membuatkan topik pilihan saya mula berubah sekarang. Selain dari biography, pengurusan dan perniagaan, saya mula condong untuk membaca buku-buku sejarah ketamadunan dan sejarah pemikiran.

Banyak persoalan yang masih belum terjawab, terlalu banyak perkara yang saya masih jahil, banyak lagi perkara yang saya masih ingin tahu. Hanya masa yang tidak mencukupi. Moga tahun 2018 nanti keupayaan membaca dan memahami apa yang dibaca, akan menjadi jauh lebih pantas dan cekap, Insyaallah.

Aktiviti puasa isnin dan khamis

Tidak permah saya lepas walaupun sehari, berterusan mengamalkan puasa sunat isnin dan khamis sepanjang tahun 2017. Masih konsisten seperti berbelas tahun yang lalu.

Alhamdulillah!

Moga Allah berikan kesihatan dan kekuatan untuk saya teruskan beramal dengan puasa Isnin dan Khamis ni sepanjang tahun 2018.

Senaman jalan kaki awal pagi

Sibuk macam manapun, ada di manapun, senaman jalan kaki di awal pagi masih berjaya saya teruskan sepanjang tahun 2018.

Rasanya senaman, puasa dan membaca buku sudah menjadi satu tabiat yang terbentuk dalam diri saya. Tak perlu nak paksa diri dan susah-susah nak buat semua itu sekarang ini. Semuanya dah jadi automatik dan menjadi amalan yang memberikan kemanisan hidup buat diri saya.

Jalan kaki terutamanya terlalu banyak membantu meredakan tekanan yang sentiasa ada dalam jiwa. Berjalan kaki diawal pagi juga banyak memberikan pencerahan dalam minda saya yang kadang kala buntu dan berserabut.

Semoga aktiviti senaman pagi ini dapat berterusan sepanjang tahun 2018 ini. Masih banyak latihan kesedaran diri yang perlu saya amalkan sepanjang riadah jalan kaki ini.

Bagi makan orang susah

Di awal tahu 2017, ada seorang Cina yang pada satu hari minta saya duit untuk makan. Ketika itu saya pula perlu uruskan satu kerja penting. Lalu saya katakan padanya lain kali dan berlalu.

Selepas itu saya sentiasa teringat semula bagaimana mukanya minta belanja dan terus timbul rasa menyesal di dalam diri. Saya tahu dia sering pergi makan kat kedai mana. Jadi satu hari saya ke kedai makan itu dan beritahu pada taukehnya untuk jangan ambil duit dari Cina Tua tersebut setiap kali dia datang makan.

Sejak itu saya akan pergi bayar setiap hujung bulan segala makan dan minum orang Tua Cina tersebut. Dia tak ada anak isteri dan tinggal sebatang kara. Moga saya terus ada lebihan rezki untuk teruskan beri makan orang tua Cina itu pada tahun 2018 nanti, walaupun dia tak ada sebarang hubungan dengan saya dan tak ada sesiapa yang hargai tindakan saya itu kepadanya.

Moga apa yang saya buat itu dicatitkan sebagai salah satu amalan kebaikan buat saya dan Allah berikan kekuatan dan lebihan rezki untuk saya kembangkan lagi kerja beri makan pada orang yang susah dan memerlukan.

Mulakan tahun 2018 dengan baik dan betul

Renungan prestasi ringkas sepanjang tahun 2017 di atas itu nampaknya mampu membuatkan saya tersenyum sambil masuk melangkah ke tahun 2018.

Memang ada banyak kekurangan kalau nak disenaraikan. Tapi biarlah saya melangkah masuk tahun baru dengan senyuman terlebih dahulu. Ada terlalu banyak lagi yang perlu dibuat sepanjang tahun 2018 nanti.

Moga tahun 2018 akan bermula dengan baik dan betul untuk saya dan anda semua yang masih sudi menjadi pembaca setia blog hidupringkas.com ini.

Terima kasih atas sokongan semua pembaca selama ini. Doakan moga saya mampu teruskan penulisan dan terus berkongsikan pengalaman di ruang ini, insyaallah!

Selamat menyambut Tahun 2018 !!!

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

  1. Suka penutup artikel 2017 ni. Semoga tuan terus memberi inspirasi kepada kami. Terima kasih dan selamat tahun baru 2018. 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge