malas tapi berfikirPernahkah anda dilabelkan sebagai seorang yang pemalas? dan tahukah anda ada dua jenis malas yang mana satu jenis malas adalah buruk dan satu jeis malas lagi adalah baik?

Jika kira rujuk pada Kamus Dewan akan perkataan ‘malas’, kita akan dapat penerangan seperti berikut:

  1. Tidak mahu berbuat apa-apa (bekerja dll), segan, lwn rajin: aku tidak mahu menolong orang yg ~ bekerja spt kamu ini;
  2. Tidak sudi, tidak suka, enggan, segan: kalau di tempat orang, jangan ~ bertanya; bermalas-malas duduk dgn tidak membuat sesuatu apa pun, duduk berehat-rehat, lengah: selepas makan, dia duduk di bawah pohon itu ~; memalaskan menjadikan malas: ia sengaja hendak ~ suaminya; kemalasan perihal malas: ia dicaci orang kerana ~nya; pemalas orang yg malas, penyegan: ia ~ dan penyegan tetapi penjudi.

Malas yang mahu saya ceritakan di sini bersangkutan dengan malas kerana tidak mahu buat kerja. Tetapi tidak bermakna orang malas yang dinyatakan itu tidak mahu kerja dijalankan. Itulah yang membezakan antara malas yang baik dengan malas yang buruk.

Jenis malas yang buruk

Mudah untuk kita fahami bahawa mereka yang malas tak mahu buat kerja, hanya mahu duduk, berbaring, melepak dan tak berusaha lakukan sesuatu, adalah malas yang berada di tahap gaban.

Malas tahap gaban itu biasanya diiringi pula dengan tidak adanya hasrat untuk pastikan kerja yang perlu dilakukan itu berjalan. Malah dia sebenarnya tak punyai sebarang rasa tanggung jawab untuk pastikan kerja berjalan.

Malas seperti ini tidak memerlukan disiplin dan tidak perlu diajar. Ia boleh berlaku secara spontan hasil daripada aktiviti membela dan menggemukkan nafsu. Sudah tentu idea malas itu adalah hasil daripada pemerhatian alam sekeliling yang berlaku secara fizikal.

Jenis malas ikut-ikutan

Bila kita melihat seseorang yang kerjanya hanya melepak dan tertawa riang bersama kawan-kawan, dapat memberikan idea bahawa itu adalah satu keseronokan yang patut dicuba.

Sedangkan hakikat sebenarnya yang berlaku berkemungkinan orang dilihatnya bermalasan itu ada strateginya tersendiri untuk melaksanakan tugasannya tanpa memerlukan kehadirannya secara fizikal.

Kesilapan berlaku apabila kita hanya melihat perkara luaran tanpa memahami perkara dalaman. Itulah yang sering membuatkan kita terkeliru. Mengamalkan budaya ikut-ikutan tanpa memahami keseluruhan duduk perkara sebenar yang sentiasa menggabungkan spritual dan fizikal.

Perkara tersebut bukan saja berlaku pada perkara malas. Malah perkara rajin juga boleh menghasilkan keburukan jika kita hanya ambil aktiviti fizikal atau luaran. Lihat contoh solat, ada orang yang rajin bersolat, naik turun tangga masjid, tapi akhlaknya buruk yang tidak layak dikaitkan pada individu yang rajin bersolat.

Sebabnya adalah kerana dia hanya mengikuti atau meniru aktiviti fizikal luaran tanpa memahami aktiviti spiritual yang tidak kelihatan tanpa adanya satu pemahaman yang mendalam.

Lihat pula aktiviti mempamerkan kejayaan dengan kereta besar, kehidupan mewah, hidup bergaya glamour dan lain-lain seumpamanya. Ramai yang terperangkap dengan aktiviti luaran laru meniru secara ikut-ikutan tanpa memahami nilai dalamannya.

Amalan mesti datang bersama tujuan

Kenapa dia pakai kereta besar, kenapa dia hidup glamour, kenapa dia pamerkan kekayaannya. Tentu ada jawapan disebalik perlakuannya itu yang mempunyai keperluan dalam mencapai matlamatnya yang lebih besar.

Bila kita yang tidak ada jawapan pada nilai dalaman yang sebenar, hanya sekadar ikut-ikutan, maka berlakulah pada diri kita amalan yang tidak ada roh tujuannya.

Kita perlu ingat, segala bentuk fizikal, amalan fizikal mesti dituruti dengan kegunaan atau keperluan. “Design must always comes with function” itu rahsia yang dikongsikan oleh Steve Job yang ternyata memberikan kejayaan hebat pada empunya diri.

Begitu juga segala tindak tanduk kita mesti datang dengan fungsi, untuk apa dilakukan, apakah ianya mendatangkan manfaat dalam mencapai matlamat yang lebih besar.

Menunjuk-nunjuk kekayaan dengan tidak kedekut menginfakkannya pada jalan Allah, tidak salah jika ditiup hasrat atau roh untuk memberi ransangan pada orang lain turut sama melakukannya.

Jenis malas yang baik

Malas jika dikaitkan dengan amalan mengurangkan aktiviti, boleh diertikan sama dengan mereka cipta sesuatu yang ringkas atau simple. Simplicity yang dirancang atau direka bukanlah mudah untuk dihasilkan. Ia adalah kerja yang sukar dan memerlukan ilmu yang mendalam.

Begitu juga aktiviti yang dikurangkan secara terancang bukanlah sesuatu yang mudah. Jika reka bentuk simple atau ringkas menjadi hebat kerana fungsinya yang maksimum, malas yang terancang menjadi hebat kerana hasilnya tetap sama atau jauh lebih hebat lagi.

Ada orang hanya kerja seminggu sehari tetapi hasilnya menyentuh jutaan manusia dan pendapatannya dapat menyara kehidupannya bertahun-tahun. Orang ini kelihatan malas tapi tak teringinkah anda jadi begitu.

Ada orang yang kerjanya 7 hari seminggu 16 jam sehari, 365 hari setahun, tetapi hasilnya hanya mampu menyara dirinya sendiri sahaja dan kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Orang ini kelihatan amat rajin, tapi mahukah anda jadi begitu?

Berusaha menjadi malas secara terancang

Untuk mendapat keistimewaan kerja kurang, hasil banyak, tidak dapat lari daripada mencari teknik menjadi malas dengan cara yang terancang. Matlamat mesti jelas dan cita-cita mesti tinggi serta kerja mesti berjalan.

Jika kita berjaya mendapatkan jalan untuk mencapai keadaan sebegitu, walaupun kelihatan malas atas sebab kurang bekerja, tapi itu adalah jenis malas yang positif. Malah tidak ada lagi orang yang dituduh malas dengan terlalu kurang buat kerja sedangkan semua urusannya berjalan lancar dan dia tidak pernah abaikan segala tugasan dan tanggung jawabnya.

Carilah jenis malas yang terancang, cita-cita mesti tinggi dan tanggung jawab mesti terlaksana. Tidak bekerja secara fizikal bukan bermakna tidak mahu kerja berjalan. Tetapi bukan senang untuk menemuinya, mungkin makan masa bertahun. Itupun hanya setelah segala tindakan dibuat analisa akan hasilnya dan diperbaiki lagi tindakan seterusnya.

Begitulah sedikit coretan tentang jenis malas. Mungkin agak abstrak tetapi jelas dan terang. Moga pembaca boleh faham dan tidak salah sangka bahawa saya manggalakkan budaya malas yang negatif.

Total
10
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge