Falsafah pengembara dalam hidup ringkas

By | 01/06/2012

pengembaraPernahkah anda keluar pergi mengembara?

Bagi sesiapa yang belum pernah melakukannya, anda sebenarnya telah kerugian dalam merebut salah satu peluang memahami apa itu kehidupan.

Bagi kita orang Islam yang beriman dengan hari akhirat, kehidupan di dunia ini hanyalah sementara.

Kita singgah sebentar waktu sahaja sebagai pengembara yang sedang menuju ke destinasi sebenar iaitu Negeri Akirat.

Perumpamaan manusia sebagai pengembara di atas mukabumi ini merupakan satu perumpamaan yang amat terkenal dan hampir semua daripada kita umat Islam yang waras dan dewasa mengetahuinya.

Tetapi pernahkah kita terfikir kenapa perkataan pengembara itu menjadi pilihan?.

Jika kita berhenti sejenak dan mula berfikir tentang seorang pengembara, berbagai soalan yang boleh kita utarakan terhadap subjek pengembara ini dan antaranya adalah:

  • Apa istimewanya seorang pengembara
  • Bagaimana rasanya menjadi seorang pengembara
  • Apa yang perlu dilakukan oleh seorang pengembara
  • Apa persediaan yang perlu dibuat oleh seorang pengembara
  • Apa amalan yang terbaik sebagai seorang pengembara
  • Apa yang ditemui dalam pengembaraan
  • Bagaimana sikap pengembara terhadap segala benda atau perkara yang dia temui.
  • Bagaimana seorang pengembara berfikir
  • Apa reaksi pengembara apabila menemui halangan atau kemalangan
  • Apa reaksi pengembara apabila menemui kenikmatan dan kesenangan
  • Apakah seorang pengembara akan berhenti sebelum sampai ke destinasi

Banyak lagi soalan yang boleh kita fikirkan. Yang jelasnya jika kita mahu menghayati segala persoalan di atas dan mendapatkan jawapannya, maka kita tidak dapat benar-benar menemuinya dengan yakin melainkan terjun untuk mengembara sekurang-kurangnya sekali dalam kehidupan kita.

Kita boleh mulakan dengan melakukan pengembaraan yang pendek dan berazam melakukan satu pengembaran yang jauh atau panjang satu masa nanti.

Sekurang-kurangnya dengan melakukan aktiviti mengembara kita akan pulang untuk bertafakur sebentar dan membandingkannya dengan kehidupan kita sebagai seorang pengembara yang sedang menuju ke Negeri Akhirat.

Kita seterusnya boleh mengaplikasikan sedikit sebanyak segala apa yang telah kita pelajari ketika menjadi pengembara tadi dalam perjalanan sebenar kita sebagai pengembara menuju ke negeri Akhirat.

Apa yang saya ingin fikirkan dalam tulisan ini adalah tentang barang-barang yang perlu dibawa oleh seorang pengembara.

Bagi mereka yang pernah mengharungi cabaran mengembara, tentu setuju jika saya katakan seorang pengembara hendaklah mempastikan barangan yang dibawanya hanyalah terdiri daripada barangan yang mudah dan betul-betul berguna bagi meneruskan perjalanan kita.

Jika kita mahu masuk ke Taman negara umpamanya, adalah tidak bijak kita kita berfikir untuk membawa dapur gas, kusyen tempat melepak, TV, set audio, video dan lain-lain lagi.

Sebolehnya kita akan meminimumkan barang yang kita bawa. Lebih ringkas keperluan kita maka lebih mudahlah perjalanan kita.

Sepanjang perjalanan pula kita hanya akan mengambil dan gunakan setakat apa yang kita perlukan sahaja dan selebihnya kita akan tinggalkan dia begitu sahaja ditempat asalnya.

Tidak guna kita mengambil apa sahaja yang menarik dan masukkan ke dalam poket kita untuk meneruskan perjalanan kerana ini akan menyusahkan perjalanan sahaja selepas itu.

Dengan menggunakan perumpamaan ringkas di atas saya yakin cara hidup ringkas amat bersesuaian dengan hakikat diri kita sebagai seorang pengembara.

Kita tidak perlu memiliki terlalu banyak barangan dalam kehidupan kita melainkan sekadar yang diperlukan dalam meneruskan perjalanan hidup kita sahaja.

Barang yang tak berguna bagi diri kita perlulah kita tinggalkan dengan memberikannya pada orang lain yang memerlukan.

Apa yang amat berguna bagi seorang pengembara adalah kekuatan mental serta ilmu bagi mencari jalan yang selamat dalam menempuh perjalanan.

Jiwa yang kental membuatkan kita tidak mudah kecewa dan putus asa bagi meneruskan perjalanan kita selepas ditimpa kesusahan.

Rumusannya di sini adalah kita perlu hidup ringkas dengan memiliki sekadar apa yang diperlukan sahaja sebagai kegunaan untuk kita meneruskan perjalanan hidup.

Kita akan cuba menyelami lagi budaya hidup ringkas dan mengenal pasti apakah barangan keperluan itu untuk dijadikan budaya kehidupan kita yang sementara ini sebagai seorang pengembara.

Chinese Proverb
“The miracle is not to fly in the air, or to walk on the water; but to walk on the earth”

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge