Falsafah ringkas jawab telefon!

By | 29/09/2012

Kenapa anda berserabut?

Apa ciri-ciri utama orang yang berserabut?

Apakah anda punya pilihan samada untuk menjadi berserabut atau menjadi seorang yang tenang?

Banyak soalan lagi yang boleh kita tanya seandainya kita mula sedar bahawa kehidupan adalah pilihan dan bukannya paksaan. Apa saja yang berlaku pada orang yang berakal dan cukup umur merupakan pilihannya sendiri, tiada paksaan dalam membuat pilihan tersebut.

Lalu kenapa kita gagal memilih untuk menjalani hidup yang aman, mudah, ringkas dan tidak berserabut? Mari lihat contoh berikut. Jika anda dapat faham contoh ini, ia boleh diguna pakai dalam kesemua lapangan kehidupan anda.

Apabila telefon berdering, apakah yang anda lakukan?

Kebiasaannya kita akan capai telefon, melihat siapa yang membuat panggilan atau terus menjawab, Hello!. Jika ditanya kenapa kamu jawab telefon itu, kita akan jawab “kerana ia berdering…!”

Mari fahami status peristiwa di atas:

  • Telefon berdering – ini hanyalah sekadar maklumat. Maklumat yang memberitahu bahawa ada panggilan masuk. Ia lansung tidak memaksa anda untuk berbuat sesuatu padanya.
  • Menjawab panggilan – ini merupakan pilihan yang anda telah buat. Ia tidak ada kena mengena dengan telefon berdering yang memaksa anda jawab . Ia semata-mata pilihan yang telah anda buat.

Dari penerangan di atas, apa yang perlu kita faham adalah, jangan tersilap percaturan mengatakan bahawa setiap kali telefon berdering anda terpaksa menjawabnya. Itu tidak betul kerana ia hanyalah sekadar maklumat untuk anda buat keputusan yang anda rasa terbaik. Ada berbagai pilihan yang boleh kita buat:

  1. Jawab telefon
  2. Biarkan saja ia memekak
  3. Minta orang lain jawab
  4. Campakkan telefon ke dalam bilik atau sumbat dalam kain baju.
  5. Matikan terus telefon
  6. Dll

Sentiasa hidup dalam sedar

Mereka yang berjaya menyedari keadaan ini sebenarnya sentiasa hidup dalam sedar dan mengambil tanggung jawab penuh ke atas reaksinya pada apa saja maklumat yang berlaku di sekelilingnya.

Apabila keputusan dibuat, ia tidak akan menyalahkan faktor luar dengan mendakwa faktor luaran itu telah mengawal hidup dan tindakannya.

Mari pula kita lihat keadaan yang sama, bagaimana sikap kita pada anak-anak atau kawan atau isteri. Bila mereka sering merungut atau tak dengar cakap atau tak buat apa yang anda suruh. Kesemua itu hanyalah maklumat belaka yang menunggu reaksi anda.

Seterusnya andalah yang membuat keputusan untuk bertindak balas dengan maklumat itu samada untuk berbincang, mengamuk, merajuk atau bunuh diri. Itu semua anda yang pilih sendiri dan tidak ada kena mengena dengan maklumat yang anda dapat tadi. Kerana maklumat sifatnya tidak pernah memaksa.

Jadi jangan salahkan mereka bila anda buat keputusan salah dan mengalami tekanan hidup. Kesilapan yang sering kita lakukan adalah apabila meletakkan diri kita seperti mesin yang tidak ada pilihan melainkan melakukan apa yang diprogramkan sahaja.

  • Bila telefon berbunyi maknanya kena jawab telefon – salah, banyak lagi pilihan lain.
  • Bila anak tak dengar cakap, maknannya dia melawan dan perlu dihukum – salah, banyak lagi pilihan lain.
  • Bila isteri mengamuk ertinya dia tak hormat dan perlu diajar – salah, ada banyak lagi pilihan lain.
  • Bila kereta hilang ertinya kita menghadapi masalah besar dan perlu bersedih – salah, banyak lagi pilihan lain
  • Bila business gagal ertinya kita bodoh dan tak boleh berniaga lalu berhenti berniaga – Salah, banyak lagi pilihan lain.

Berhenti sejenak!

Dalam semua kes di atas ada berpuluh-puluh pilihan lain yang boleh kita ambil agar semua pihak tidak mengalami tekanan. Yang pentingnya samada kita sanggup berhenti sejenak dan bertanya apakah pilihan yang aku ada?, pilihlah yang terbaik dan ambil tanggung jawab penuh dengan pilihan tersebut.

Cabar terlebih dahulu apa yang anda fikir daripada maklumat yang diperolehi. Tidak semestinya apa yang kita fikirkan itu betul. Biasa dengan ayat ini?, “aku rasa tertekan dengan sikap isteri yang suka berleter”. Jika kita ambil ‘Isteri yang berleter’ sebagai maklumat tentu kita akan bertindak sebaliknya daripada merasa tertekan. Mungkin anda sebenarnya tak perlu buat apa-apa dengan leteran isteri itu.

Sementara berada di dunia kita masih boleh memilih. Di akhirat kita sudah tidak ada keistimewaan untuk memilih lagi! Ingat bila orang yang sesat menerima hukuman lalu dia menyalahkan Syaitan atas kesesatannya itu, dengan pantas Syaitan melepaskan dirinya dengan berkata itu semua anda sendiri yang membuat pilihan, jangan sesekali libatkannya. Bacalah tafsir Al-Quran, anda akan temui kisah penafian Syaitan.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge