fenomena Pareto dalam kehidupan seharian anda

By | 21/12/2016

Ada banyak berlaku fenomena Pareto dalam kehidupan seharian anda dan saya sebenarnya.

Ia hanya terang dan nyata bila anda ambil masa untuk membuat sedikit analisa terhadap amalan dan aktiviti kehidupan seharian secara istiqamah.

Untuk anda yang tak berapa jelas dengan apa yang dikatakan sebagai Prinsip Pareto, saya berikan sedikit penerangan kat sini. Anda juga boleh taip perkataan ‘pareto’ di ruang ‘search’ pada blog ini untuk membaca beberapa lagi artikel berkenaan pareto.

Secara ringkasnya, Prinsip Pareto menegaskan bahawa, hanya sedikit sahaja daripada aktiviti (atau sebab) yang memberikan kesan yang banyak pada hasil. Secara mudahnya anda boleh andaikan bahawa 80% daripada kejayaan kerja anda adalah kesan daripada hanya 20% daripada daripada masa yang anda peruntukkan untuk kerja tersebut.

Implikasinya secara terbalik adalah, 80% daripada masa yang anda ambil atau peruntukkan untuk membina kejayaan dalam kerja anda hanya memberikan 20% sahaja daripada kejayaan yang dikecapi.

Kalau anda seorang yang berorientasikan hasil, adalah lebih bijak untuk kenal pasti apakah usaha yang dilakukan dalam 20% daripada masa yang diperuntukkan itu dan tingkatkan lagi usaha yang sama supaya ia menjadi lebih banyak. Dengan itu, sudah tentu kejayaan anda akan melonjak maik tinggi melangit.

Sejarah asal fenomena Pareto

Fenomena Pareto ini ditemui pada tahun 1897. Orang yang tidak sengaja menemuinya merupakan seorang ahli ekonomi berbangsa Italy bernama Vilfredo Pareto. Ahli ekonomi berbangsa Itali itu hidup antara tahun 1848 hingga tahun 1923.

Tak perlulah kita buat sejarah yang panjang lebar pasal penemuan prinsip pareto ini kat sini. Yang pentingnya anda tahu apa dia pareto, bila ianya ditemui dan siapa orang yang berjaya menemui fenomena tersebut.

Selain daripada terkenal dengan panggilan Prinsip Pareto, ia juga dikenali sebagai Undang-Undang Pareto, Aturan atau prinsip 80/20, Prinsip ketidak seimbangan atau Prinsip usaha yang sedikit. Ada juga orang yang suka sebut, usaha sedikit tapi hasil banyak dan berbagai lagi ayat lain yang membawa maksud yang sama.

Tapi agak malang bagi Pareto, selepas ia menemui fenomena tersebut, tidak banyak usaha yang diolah untuk mempergunakannya dalam banyak urusan. Dia gagal menerangkan dengan baik apa yang ditemuinya dan ianya mati begitu sahaja.

Hanya selepas perang dunia kedua sahaja fenomena tersebut mula diberikan perhatian semula. Antara orang pertama yang meneliti semula fenomena tersebut ialah seorang Professor di Harvard bernama George K Zipf. Dia mengkaji fenomena yang sama pada tahun 1949, dan menamakannya sebagai ‘Prinsip Usaha yang Sedikit’.

George K Zipf menggunakan berbagai pendekatan dari statistik, kaedah bahasa, bacaan buku dan membuat analisa kecenderungan industri untuk membuktikan wujudnya fenomena yang sama pada semua kejadian. Secara tidak sengaja juga beliau dapati memang logikpun seorang kerani tidak akan masukkan ke dalam file segala dokumen yang dia kerap guna. Sebab itu dia mampu buat kerja pantas.

Selepas itu, pada tahun 1951 seorang jurutera yang bernama Joseph Moses Juran mula menggunakan prinsip pareto. Dia gunakan untuk merungkai masalah kualiti dalam industri pembuatan. Dari prinsip pareto itu dia buat buku berjudul Quality Control Handbook.

Itulah pengasas konsep Quality Control yang digunakan secara melas sekarang di seluruh dunia. Buku yang ditulisnya itu dikeluarkan pada tahun 1951. Tetapi negara yang paling awal mengambil pendekatan Juran bukanlah orang Amerika. Sebaliknya orang Jepun yang amat tertarik dengan konsep beliau. Mereka mula menggunakannya pada tahun 1953. Mereka pakai prinsip tersebut secara meluas dalam industri barangan pengguna di sana sehingga dapat membantu Jepun menguasai pasaran dunia.

Hanya pada tahun 1970 an sahaja orang barat mula sedar akan kehebatan prinsip pareto tersebut dan Juran balik semula ke Amerika untuk mengembangkannya di sana. Dan antara syarikat besar yang paling awal menggunakan pendekatan yang sama adalah IBM.

Ok lah !

Dah panjang pula sejarah pasal fenomena pareto ni saya goreng kat sini.

Kita balik semula ke agenda asal artikel ini untuk buat beberapa senarai fenomena pareto yang berlaku dalam urusan kehidupan seharian kita.

Apa yang saya nak cuba buat adalah, hanya menyenaraikan segala kejadian yang secara teorinya sentiasa menepati prinsip pareto. Untuk saya sendiri banyak yang saya dah pantau dan ternyata memang betul. Untuk anda pula, saya syorkan untuk peka dan mula melihat segala aktiviti seharian anda. Lebih molek jika anda buat catitan dan sahkan samada ianya berlaku atau tidak.

Fenomena pareto dalam rumah tangga

Jika anda sering bertengkar dengan pasangan, cuba perhatikan pertengkaran berlaku atas isu apa. Mula pantau dan buat catitan.

Setiap kali bertengkar, catit apakah isu sebenar yang diperbalahkan. Semakin lama tempoh masa yang anda ambil untuk buat bancian, semakin jelas anda lihat coraknya.

Katakan anda bertengkar sebanyak 30 kali dalam tempoh 6 bulan. Catitkan semua isu yang menyebabkan pertengkaran berlaku, katakan ada 10 isu. Jika anda masih kekal tidak bercerai, anda akan dapati bahawa dalam 10 isu yang diperbalahkan itu, hanya 2 isu sahaja yang anda kerap pertengkarkan. Kemungkinan besar 2 isu yang sama anda pertengkarkan sebanyak 22 kali.

Jika anda bijak, selesaikan 2 isu tersebut sampai habis dan tutup kes. Hanya dengan buat perkara itu sahaja, anda akan dapati jumlah pertengkaran anda akan berkurangan sebanyak 80% !, itu satu kejayaan yang amat memlegakan dan sudah pasti mampu selamatkan rumah tangga anda.

Pareto dalam berkawan

Cuba catit semua kawan yang anda jumpa sepanjang satu tahun. Setiap kali anda jumpa kawan, catit masanya atau kekerapannya dan dengan siapa anda berjumpa. Anda akan dapati hanya 20% sahaja daripada kawan yang sama anda bertemu dan luangkan 80% daripada masa berkawan anda.

Ini amat jelas sekali coraknya dan berlaku pada semua orang yang kaki berkawan. Masa banyak dihabiskan bersama dengan orang yang sama sahaja.

Kemudian lihat pula senarai kawan-kawan yang pernah memberikan bantuan samada pada urusan kerjaya atau urusan seharian anda. Dalam banyak-banyak tu, hanya 20% sahaja daripada kawan anda yang menyumbang sebanyak 80% daripada segala bantuan yang anda terima daripada kawan-kawan. Yang lain hanya perabih beras dan membuang masa.

Jika anda bijak, kenal pasti siapa 20% kawan yang banyak berikan bantuan dan sokongan itu, dan lebihkan masa bersama dengan mereka. Rapatkan lagi silaturahim dengan mereka. Dan sudah tentu anda akan menjadi lebih berjaya dengan pantas.

Pareto dalam rumah

Lihat pada pakaian anda pula di dalam almari. Keluarkan semua pakaian yang ada dan mula asingkan mana satu yang paling kerap anda pakai dan mana satu yang amat jarang dipakai. Anda akan dapati hanya 20% daripada pakaian yang sama anda pakai 80% daripada masa. Asyik dok pakai yang itu saja.

Pakaian yang lain ada yang hanya sekali setahun. Ada yang pakai sekali saha sejak ia dibeli. Dan ada yang langsung tidak dipakai. Jika anda bijak, buang atau sedekah semua yang tak diperlukan dan simpan yang kerap di pakai saja. Selepas ini beli jenis pakaian yang sama macam tu.

Cuba lihat keseluruhan rumah anda. Cuba perhatikan kawasan mana yang paling kerap anda pijak. Anda akan dapati hanya 20% daripada kawasan yang sama anda lalu dan pijak 80% daripada masa. Sebab itu orang pasang carpet empat segi tepat kecil yang disusun satu persatu sampai penuh semua pejabat. Biasanya anda hanya perlu tukar 20% sahaja daripada petak carpet yang kecil yang ada. Yang lain jarang dipijak dan tak perlu ditukar. Anda boleh jimatkan banyak duit tukar karpet baru.

Perkara yang sama juga anda boleh lihat pada siaran TV. Kalau ada Astro lagi bagus. Tentu anda perasan hanya 20% daripada siaran yang ada paling kerap anda tonton. Iaitu 80% daripada masa dihabiskan untuk tonton hanya 20% daripada siaran sahaja. Jadi minta ada Astro siaran itu sahaja dan batalkan yang lain (jika boleh).

Pareto dalam perniagaan

Cuba senaraikan semua produk yang anda ada. Kita hasil pulangan keuntungan yang dijana oleh setiap produk tersebut. Anda akan dapati hanya 20% sahaja daripada produk yang ada menyumbang 80% daripada jumlah keseluruhan keuntungan perniagaan anda.

Jadi sempurnakan lagi produk tersebut. Salurkan segala usaha dan wang untuk sokong kesempurnaan tawaran produk itu. Perniagaan anda sudah pasti akan melonjak naik dalam masa yang singkat.

Cuba perhatikan semua staff anda di dalam syarikat. Siapa yang banyak memberikan sumbangan pada kemajuan pencapaian syarikat dan siapa yang kurang menyumbang. Anda akan dapati hanya 20% sahaja dari pekerja anda menyumbang 80% daripada keseluruhan pencapaian perniagaan anda.

Cuba perhatikan apa aktiviti yang anda lakukan dalam menguruskan perniagaan anda. Berapa masa yang diluangkan untuk aktiviti tersebut dan apalah hasil yang anda dapat darinya. Anda akan dapati anda hanya peruntukkan 20% sahaja daripada keseluruhan masa untuk membuat kerja-kerja yang benar-benar membantu peningkatan dan kemajuan perniagaan anda.

Pareto kat surau dan masjid

Cuba perhatikan pula orang yang kerap pergi masjid atau surau. Lihat siapa paling banyak membantu dalam segala aktiviti yangsurau atau masjid jalankan. Anda akan dapati hanya 20% saja daripada ahli masjid atau surau yang menyumbang 80% daripada keseluruhan aktiviti masjid dan surau itu.

Cuba perhatikan masalah yang ada di surau atau masjid anda. Perhatikan kekerapan ianya berlaku. Anda akan dapati hanya 20% daripada masalah sahaja yang menyumbang kepada 80% daripada masalah.

Pareto di lain-lain tempat

Lihat smart phone anda. Ada berapa apps yang anda download. Tentu akan perasan dalam banyak-banyak fungsi yang ada pada smart phone itu, hanya 20% saja darinya anda gunakan 80% dari masa. Yang lain amat jarang dan mungkin ada yang langsung tak pakai.

Jika anda makan gaji. Perhatikan apa tugasan yang boss anda harapkan anda laksanakan. Lihat pula masa yang anda habiskan untuk melaksanakan tugasan tersebut sebaik mungkin. Tentu anda akan dapati hanya 20% sahaja dari waktu anda berkerja digunakan untuk melaksanakan memberikan 80% daripada hasil yang anda diamanahkan oleh boss untuk tunaikannya.

Dalam sebuah buku yang saya baca (tak ingat buku mana), kajian dilakukan terhadap para eksekutif syarikat. Berapa masa diperuntukkan sebenarnya setiap hari untuk laksanakan tugasan dan tanggung jawab mereka. Amat mengejutkan ! kajian mendapati dalam 8 jam, hanya 45 minit sahaja, masa diperuntukkan untuk buat kerja yang memberikan impak pada tugasan para eksekutif tersebut. Yang lain hanya perabiskan beras sahaja.

Selain dari usahawan, orang yang mahu bina kerjaya makan gaji perlu pandai gunakan prinsip pareto ini. Lihat kerja yang dia lakukan, masa yang dia habiskan dan lihat kesan kepada kerjayanya. Sudah pasti hanya 20% sahaja dari usaha atau kerja yang menyumbang 80% daripada pencapaian yang dia kehendaki. Jadi lihat dan gunakan untuk naik ke tangga kerjaya anda lebih tinggi.

Gunakan fenomena pareto untuk kejayaan anda

Mungkin dengan memberikan beberapa contoh mudah kat atas tu anda nampak lebih jelas akan kegunaan prinsip pareto ini.

Anda tentu dah mula nampak bahawa hanya 20% sahaja daripada usaha atau aktiviti yang anda lakukan memberikan 80% daripada hasil yang anda mahu.

Persoalannya apakah perkara yang 20% tersebut ?

Adakah perlu kita tinggalkan terus perkara yang 80% yang hanya memberikan 20% sahaja daripada hasil yang anda kehendaki ? Jika perkara 80% itu perlu dilakukan juga dan tidak boleh diabaikan, maka outsource sahaja kepada orang lain. Dan anda boleh tumpukan keseluruhan masa anda untuk memperbiki dan memantapkan usaha yang 20% tersebut.

Selama saya menulis kat blog ini, dah lebih kurang 849 artikel yang sudah disiarkan. Teori Pareto juga berlaku dalam blog ini. Dalam kesemua artikel hanya dalam lingkungan 20% sahaja darinya yang membawa 80% daripada pengunjung ke blog ini dan dibaca oleh 80% daripada keseluruhan pengunjung.

Sebab itu saya mula tumpukan topik yang berkenaan lebih banyak sebab saya tahu itulah kekuatan yang ada pada blog ini yang membuatkan pengunjung masuk dan baca. Lagipun ia menepati sasaran pembaca yang saya mahukan.

Untuk makluman, artikel yang paling kerap membawa pengunjung dan paling banyak di baca adalah artikel, “100 idea perniagaan kecil yang boleh menjadi perniagaan besar”. Satu artikel sahaja dari keseluruhan 849 yang dibaca sebanyak lebih dari 560 ribu kali.

Bilangan sebenarnya bukanlah penentu dalam apa saja hasil yang kita mahukan. Yang paling penting adalah kualiti. Walaupun dalam jumlah yang sedikit, jika kualitinya hebat, ia membuahkan hasil yang terlalu besar faedahnya dan mampu mengubah segala-galanya. Carilah perkara yang sedikit itu. Jika anda buka mata, anda sudah pasti akan menemuinya.

Saya harap anda mula nampak.

Jadi jika dah nampak, cuba fikirkan apa yang anda boleh lakukan untuk menambah baik kehidupan anda dengan menggunakan prinsip pareto.

Selamat merenung kehidupan anda !

4 thoughts on “fenomena Pareto dalam kehidupan seharian anda

  1. Bahtiarothman

    Sedikit sebanyak fenomena pareto banyak berlaku dalam kehidupan seharian saya sendiri , cuma saya tidak pasti kejadian itu berlaku sekarang atau kebetulan. Saya akan cuba hadamkan fenomena pareto secara terperinci untuk mendapat keberkesanan rutin harian . Kemajuan syarikat ,bergantung kepada staff yang rajin dan bersemangat untuk menaik tarafkan title syarikat.

    Reply
  2. Azwan

    Pertama kali saya mendengar tentap Prinsip Pareto ini ialah semasa sertai Kumpulan Inovatif dan Kreatif di sekolah dulu. Ala-ala kumpulan mini projek begitu. Konsep ini memang susah sikit nak hadam, sebab ia menentang ‘realiti’ pemikiran umum. Kita semua dah disemai dengan banyak usaha, besarlah kejayaannya. Sedangkan sebenarnya, kalau usaha itu difokuskan kepada tugas, kerja, atau masalah yang sedikit, tetapi impaknya besar ia akan mendatangkan kejayaan yang lebih besar.

    Semasa di sekolah, kalau asalnya semua mata pelajaran nak diulangkaji, memang tak sempat. Ia akan memakan masa dan hasilnya tak sebesar mana. Jika usaha itu ditumpukan kepada matapelajaran yang lemah sahaja (20% dari keseluruhan yang dipelajari) bilangan A akan bertambah dan gred akan naik.

    Masuk alam dewasa, macam yang saudara penulis terangkan di atas. Untuk aplikasikan dalam kehidupan dewasa, ianya semakin kompleks dan perlu kepada pemerhatian dan data. Secara mudahnya, masalah kita orang dewasa tidak boleh diselesaikan secara emosi, terutamanya dalam hal perniagaan.

    Kena sentiasa ada data atau fakta atau data untuk analisis, sebelum kita nampak masalah utamanya.
    Azwan recently posted…Panduan Buka Akaun SSPN-i online untuk memudahkan anak mendapat pinjaman PTPTN.My Profile

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge