Ini satu bab pada menyatakan fenomena syok sendiri dan bagaimana ianya boleh diguna pakai dalam bab perniagaan.

Adapun kemudian daripada itu, ketahuilah oleh mu, dah lama tak dengar ayat begini. Masa zaman muda-muda cergas dahulu saya suka pergi beli kitab lama dan pergi tadah mengaji dengan guru-guru di masjid.

Itu cerita masa kat kampung dululah. Kebanyakan kita akan guna bahasa lama yang amat lembut dan serius bunyinya. Susunan ayatnya amat berhati-hati. Mungkin itu salah satu sebab setiap kali tok guru buka kitab lama mengajar kat masjid dan surau masa tu, majoriti besarnya adalah orang tua-tua. Mungkin saya antara spesis pelik yang muda, tak mengaji pondok, tapi sanggup dengar kuliah dari para tok guru lama.

Sekarang, terutamanya di bandar, saya lihat kebanyakan tok guru muda terutamanya dari lepasan Al-Azhar dah banyak buka kitab atau buku baru. Digunakan bahasa yang mudah terkini yang lebih difahami oleh orang-orang zaman sekarang.

Fenomena syok sendiri

Kat atas tu hanya mukadimah dan selingan sahaja. Sekarang saya nak kembali semula kepada tajuk asal berkenaan fenomena syok sendiri.

Sebenarnya, syok sendiri ini bukanlah satu perkara pelik. Ia merupakan sesuatu yang amat semula jadi berada dalam diri kita sebagai manusia. Ia masuk dalam bab motivasi diri. Sekali gus, ia merangkumi bab Psikologi, atau dalam bahasa mudah kita, ‘Ilmu Jiwa’

Dalam bab psikologi ini, saya suka rujuk kepada buku-buku tulisan Dan Ariely. Antaranya yang terkenal adalah Predictably Irrational, The Upside of Irrationality, The (Honest) Truth About Dishonesty dan Irrationally Yours.

Kalau anda minat membaca, saya syorkan pergi beli buku-buku tersebut dan bacalah. Ia amat menyeronokkan dan melekakan penuh dengan maklumat berdasarkan kajian yang beliau sendiri jalankan.

Salah satu kajian berkenaan fenomena syok sendiri yang belau jalankan adalah begini;

Kajian syok sendiri Dan Ariely

Dan Ariely bersama rakan-rakannya menjemput beberapa orang peserta untuk bina Origami. Mereka semuanya bukan ahli buat origami dan itu merupakan percubaan buat origami pertama buat peserta.

Mereka diberikan kertas berwarna dan diberikan juga manual yang berupa panduan untuk buat katak. Untuk usaha tersebut, para peserta di bayar gaji dalam bentuk wang tunai.

Bagi orang baru buat orogami, sudah tentu hasil mereka tidak boleh diiktiraf lansung sebagai sebuah hasil seni yang patut diberikan pujian.

Setelah peserta siap, mereka dipanggil untuk sesi ujian syok sendiri. Oleh kerana mereka semua dibayar untuk buat origami tersebut, maka sudah tentu hak milik setiap origami yang dibina adalah milik Dan Ariely dan rakan-rakannya.

Tapi para peserta diberikan peluang untuk bawa balik origami tersebut. Tapi dengan syarat. Mereka haruslah membelinya semula dari Dan Ariely dan rakan. Untuk itu, para peserta di minta untuk memberikan nilai harga masing-masing terhadap origami yang mereka buat tadi.

Berapakah jumlah harga yang sanggup mereka bayar ?

Ini dapat menentukan tahap syok sendiri mereka samada tinggi atau rendah.

Kemudian, sekumpulan lagi peserta kajian lain di bawa masuk. Mereka ini tak ikuti aktiviti buat origami tadi. Mereka dipanggil untuk ditawarkan membuat belian terhadap origami-origami yang para peserta lain tadi bina.

Lalu pembeli bebas ini diminta menulis berapakah jumlah harga yang sanggup mereka bayar ?.

Ini dapat menentukan tahap nilai secara bebas berdasarkan hasil kerja yang ada pada setiap origami.

Tahukah anda apakah beza penilaian antara jumlah harga yang diberikan oleh para pembuat origami tadi sendiri berbanding pembeli bebas tersebut ?

Setiap pembuat origami meletakkan harga 5 kali ganda lebih tinggi berbanding pembeli bebas.

Itulah yang saya maksudkan sebagai fenomena syok sendiri. Semua daripada kita akan memberikan nilai yang berlebihan terhadap apa saja kerja atau hasil yang kita lakukan sendiri.

Apa yang boleh dipelajari

Dari aktiviti di atas tadi, ia mengesahkan bahawa setiap dari kita akan sentiasa berlebihan memberikan penilaian terhadap sumbangan kita sendiri dalam apa saja urusan.

Tambahan daripada kajian di atas.

Dan Ariely bawa lagi satu kumpulan. Kali ini peserta diminta bina origami katak tapi dengan cara yang lebih mencabar. Mereka diberikan manual cara buat katak yang tidak mudah difahami.

Jadi untuk siapkan origami tersebut, ambil masa lebih lama dan amat mencabar. Dan sudah tentu, hasil origaminya adalah jauh lebih buruk. Dan mereka juga diminta memberikan harga pada setiap hasil origami buatan sendiri itu.

Nilai yang diberikan adalah jauh lebih tinggi lagi ! walaupun ianya jauh lebih buruk !.

Kenapa boleh jadi macam tu ?

Semakin banyak usaha yang dicurahkan, maka semakin tinggi nilai syok sendiri yang kita ada. Walaupun hakikatnya hasil kerja kita adalah amat buruk, itu tidak dipertimbangkan. Yang dilihat adalah hasil usaha saja dan bukan hasil kerjanya.

Sentiasa ingat fenomena syok sendiri

Ada banyak yang kita boleh ambil iktibar daripada fenomena syok sendiri ini dalam kehidupan terutamanya dalam perniagaan. Antara yang saya boleh fikirkan kat sini adalah seperti berikut;

  1. Jual apa yang pelanggan suka – Ini paling penting untuk usahawan. Kita biasanya menilai sesuatu berdasarkan usaha yang telah dicurahkan untuk menghasilkan produk jualan kita. Makin susah, makin mahal kita rasa. Tapi pelanggan tidak ada sentimen tersebut, mereka memberi nilai secara objektif terhadap produk atau perkhidmatan kita. Kalau pelanggan tak suka, maka terimalah hakikat itu. Cari apa yang pelanggan suka, bukan apa yang kita perasan pelanggan mesti suka.
  2. Berwaspada dengan rakan kongsi – Ini jawapan kenapa berkongsi dalam perniagaan pasti akan timbul masalah. Setiap rakan kongsi akan perasan dia lebih banyak menyumbang kepada perkembangan syarikat. Semua ini dinilai berdasarkan usaha yang dilakukan dan bukan berdasarkan hasil yang syarikat perolehi. Oleh itu perlu sentiasa ada hitam putih. Perlu juga ada orang tengah yang tidak berat sebelah.
  3. Minta cadangan atau idea dari pekerja – Kalau nak pekerja lebih bersemangat dan rasa bangga, galakkan mereka keluarkan idea dan laksanakan idea mereka. Mereka akan rasa lebih bangga dan memandang tinggi hasil usaha tersebut.
  4. Bezakan antara hasil dengan usaha – Setiap kali tegur pekerja berhati-hati. Terangkan pada mereka beza antara hasil dengan usaha yang telah dicurahkan. Beri penghargaan pada kerja teruk mereka terlebih dahulu. Kemudian terangkan hasil kerja secara objektif dengan fakta.
  5. Produk separa siap – Kalau nak buat produk, pastikan produk anda memerlukan sedikit usaha kepada pengguna. Contohnya IKEA. Konsep pembeli terpaksa buka dan pasang sendiri perabut yang dibeli dari IKEA membuatkan mereka sayangkan perabut tersebut. Hasilnya IKEA yang dapat nama bila pembeli sering bangga pamerkan perabut yang mereka pasang sendiri pada rakannya.
  6. Jaga hati orang – Bila kawan cerita sampai tersembut air liur hasil kerjanya, sedangkan anda nampak hasilnya tak setara mana, jangan terus hentam. Ingat !, dia akan up lebih dari 5 kali dari sepatutnya. Puji usaha kerasnya dan kalau tak perlu tak payah nak keji hasil kerjanya.
  7. Jangan perasan bagus – Tulisan saya dalam blog ini memang saya amat bangga. Saya rasa terlalu bagus berganda-ganda. Tapi saya tahu, saya sentiasa berlebihan terhadap apa saja hasil tulisan saya sendiri. Para pembaca sendiri yang tahu nilai sebenarnya. Jadi mohon jangan nak perasan. Anda juga perlu waspada dengan apa saja hasil kerja anda.
  8. Buat survey lapangan – Bagi usahawan, statistik amat penting. Apa saja keputusan perlu dibuat setelah melakukan kajian lapangan dan bukannya berdasarkan emosi diri. Kajian lapangan jauh lebih tepat dari prasangka emosi anda.

Tentu ada banyak lagi yang boleh kita ambil iktibar dalam fenomena syok sndiri ini. Anda boleh kongsikan kat ruang komen jika ada.

Ingat ! jangan perasan ! berhati-hati dengan perasaan bagus yang ada dalam diri !

Total
29
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

3 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge