Gaya hidup ringkas di mana saja

By | 21/06/2012

Mula melihat gaya hidup ringkas di mana saja

Pernahkan anda rasa fenomena melihat sebaik saja fikiran anda mula mahu melihat?.

Begini maksudnya, pernahkan anda pada satu ketika membuat keputusan untuk membeli kereta Honda Civic sebagai contoh.

Sebaik saja keputusan dibuat, anda secara tiba-tiba menjadi begitu peka pada apa saja yang menyentuh berkenaan Honda Civic. Akan ada saja kereta Honda Civic melintas di depan ketika memandu. Tiba-tiba anda mula perasan ada orang yang pakai kereta Honda Civic di taman tempat kediaman.

Apabila menyelak helaian surat khabar, perkataan Honda Civic bagaikan magnet menarik penglihatan mata untuk anda perhatikan. Tengah berdiri dalam komuter mengelamun akan hilang khayal sebaik saja orang belakang menyebut kereta Honda Civic dan anda teringin untuk memalingkan muka melihat siapa yang menyebutnya tadi seolah-olah anda mahu kenal dia.

Begitulah seterusnya kesedaran segar menjalar dalam segenap urat darah kita apabila kita memberikan arahan pada otak untuk mencari sesuatu.

Mukadimah yang agak panjang di atas sebenarnya untuk saya ceritakan apa yang sedang saya alami sekarang.

Semenjak buat keputusan untuk memahami gaya hidup ringkas dan mengamalkannya, saya secara magis menjadi amat peka dengan apa saja yang menyentuh ‘ringkas’.

Saya mencari dan mencari apa makna gaya hidup ringkas dan bagaimana kita memahami maksud sebenar gaya hidup ringkas itu.

Bagaimana perkataan dan amalan gaya hidup ringkas menyentuh kehidupan kita dan adakah ia membantu dan sangat penting dalam kehidupan.

Hasilnya saya menemui beberapa perkara berikut yang mana ‘ringkas’ merupakan jalan penyelesaian yang cukup hebat:

  1. Ringkaskan hidup kita – Berdisiplin untuk mengamalkan konsep ini membuatkan masa yang kita gunakan menjadi amat berkualiti.
  2. Ringkaskan barang kepunyaan kita – dengan menyimpan barangan yang benar-benar kita perlu dan membeli apa yang benar-benar kita perlu saja membuatkan rumah kita tidak semak dengan barang yang haram kita tak sentuhpun. Ruang rumah kita lebih lapang.
  3. Ringkaskan keperluan kita – Dengan amalan ini kedudukan ekonomi atau kewangan kita secara magik akan beransur pulih dengan baik dan akhirnya wang bukan lagi menjadi satu masalah dalam kehidupan kita.
  4. Ringkaskan pergerakan kita – Amalan langkah yang paling ringkas dalam seni pertahankan diri merupakan satu senjata atau buah paling hebat dalam bertahan dan sekali gus menyerang musuh.
  5. Ringkaskan ayat kita – Penulisan kita akan lebih berkesan dan mudah difahami dalam menyampaikan maksud.
  6. Ringkaskan proses aktiviti kita– Perniagaan kita akan sentiasa meningkat maju selagi setiap proses dalam kita melaksanakan transaksi di ringkaskan ke tahap yang maksimum.
  7. Ringkaskan perniagaan kita – Model perniagaan yang paling baik adalah perniagaan yang paling ringkas produknya. Lihat coca cola, hanya jual minuman dan dia menjadi salah satu syarikat yang cukup hebat di dunia. Lihat Mc Donald, budak0budak lepasan sekolahpun mampu kendalikan keseluruhan cawangannya.
  8. Ringkaskan imej – Antara petua mengambil gambar dalam dunia kamera adalah jadikan imej yang kita rakamkan seringkas mungkin, gambar akan lebih menarik dan menyampaikan mesej yang lebih tepat. Dalam seni lukisan juga melukis objek dengan konsep ringkas mampu menghasilkan nilai seni yang hebat.
  9. Ringkaskan rekaan – Dunia fesyen amat teruja untuk menghasilkan konsep fesyen ringkas dan ia menjadi kegilaan ramai.
  10. Ringkaskan masalah – Permudahkan jangan menyusahkan. Itu ayat terkenal dalam mengamalkan agama dan berdakwah.
  11. Ringkaskan perjalanan – Ambillah jalan yang lurus tegak 90 darjah, ia merupakan jalan yang paling ringkas dan cepat. Kita sentiasa berdoa tunjukkan kita jalan yang lurus. Lurus maknannya ringkas dan berbelit bengkang bengkok maknannya berserabut.
  12. Ringkaskan rekabentuk – Rumah berkonsepkan minimalism amat praktikal, kemas manarik dan tersusun. Ruangnya luas dan lebih luas lebih mudah untuk lalu lalang. Konsep rekabentuk ringkas juga membuatkan IKEA gergasi industri perabut besar dunia mendapat sambutan ramai.
  13. Ringkaskan masa – Kerana mahu ringkaskan masa dan tinggikan produktiviti berbagai inovasi hebat dunia terhasil. Telefon bimbit, kenderaan, mesin automatik, calculator dan berjuta barangan lagi semuanya sebab manusia mahu meringkaskan urusah hidup mereka.

Ternyata apa saja yang kita buat tidak dapat dielakkan daripada terpaksa mengamalkan gaya hidup ringkas.

Untuk mengamal dan mencapai matlamat gaya hidup ringkas malangnya bukanlah sesuatu yang ringkas. Ia menuntut kita mengejar ilmu dan menggunakan akal sebaik mungkin bagi mencapai merealisasikannya.

Dengan sentiasa ingatkan diri kita untuk meringkaskan segala yang tidak ringkas, pasti kita akan mula bergerak laju ke arah yang lebih baik dalam apa sahaja yang kita lakukan.

Buang semua yang tidak perlu dan hanya tinggalkan apa yang perlu saja bakal melapangkan kehidupan kita dalam segenap segi. Di situ bermulanya satu pengembaraan gaya hidup ringkas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge