Gaya hidup sihat, tapi masih tidak sihat?

By | 27/07/2012
amalan hidup sihat totalKita biasa dengar perkataan ini, “Amalan gaya hidup sihat.

Hampir semua orang memperkatakannya. Kerajaan menggalakkan rakyatnya amalkan budaya hidup sihat. Dikatakan kurangnya mengamalkan gaya hidup sihat membuatkan rakyat negara kita majoritinya menjadi tidak sihat.

Tapi apa dia gaya hidup sihat?

Apa yang kita bayangkan bila disebut gaya hidup sihat?.

Saya rasa majoriti daripada kita tentu bayangkan seorang yang mengamalkan gaya hidup sihat itu sering bersenam dan menjaga pemakanan.

Setidak-tidaknya itulah yang saya bayangkan sebelum ini.

Tapi ia mula berubah bila saya jatuh sakit baru-baru ini. Saya boleh dikatakan sentiasa bersenam dan menjaga makan sudah lama namun kesihatan sering juga tercicir dan ianya amat teruk sekali baru-baru ini.

Ia membuatkan saya terfikir akan makna  gaya hidup sihat dengan lebih luas.

Amalan gaya hidup sihat

Untuk permulaan kita perlu melihat gaya hidup sihat dalam dua konteks:

Bersenam setiap hari merupakan satu amalan baik yang membentuk gaya hidup sihat.

Ia menyentuh kesihatan fizikal tubuh badan manusia yang perlu bergerak bagi mengekalkan kecerdasan dan kekuatan otot. Jika itu kita lakukan maka sudah tentu apa yang kita dapat adalah tubuh badan yang sihat.

Tapi ingat jika setakat itu amalan kita kita belum lagi sempurna mengamalkan gaya hidup sihat dari segi kesihatan.

Kita perlu menambah dengan kepercayaan bahawa segala amalan tersebut bukanlah penyebab wajib yang membuatkan kita sihat kerana ketentuan sihat atau sakit itu urusan Tuhan.

Dia boleh saja memberikan kesihatan pada kita walaupun kita tidak bersenam dan Dia juga boleh saja mencabut kesihatan dari diri kita walaupun kita bersenam.

Jika itu kita pegang dan yakin, maka kita telah mengamalkan gaya hidup sihat dengan sempurna samada jasmani atau rohani.

Insyallah kita selamat.

Kehidupan gaya hidup sihat

Gaya hidup sihat pula tidak terhad hanya kepada kesihatan sahaja, malah ia melibatkan keseluruhan keperluan kehidupan kita termasuklah:

  • Kewangan atau ekonomi – Mereka yang keluar mencari rezki setiap pagi bagi menyara diri dan keluarga sebenarnya sedang mengamalkan gaya hidup sihat. Ini membantu kesihatan ekonominya.
  • Ketenangan atau hiburan – Mereka yang meluangkan masa melayan minat sebagai santapan hiburan jiwa yang mana setiap manusia memerlukannya juga sedang mengamalkan hidup sihat. Hasilnya jiwa kemanusiaannya sihat dan dia hidup gembira.
  • Perhubungan kemasyarakatan – Keluar bertemu kawan-kawan, menziarahi keluarga atau saudara mara, melayan anak-anak atau ibu-bapa juga merupakan satu gaya hidup yang sihat. Jika ia sering diamalkan nescaya hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan kita menjadi sihat.
  • Perhubungan dengan Pencipta – Keluar menunaikan solat bagi memperhambakan diri pada Pencipta merupakan gaya hidup sihat. Duduk bersuluk sendirian mengingati Tuhan juga adalah gaya hidup sihat Malah segala amal ibadah yang wajib atau sunat yang kita lakukan juga segala perkara haram atau makruh yang kita tinggalkan merupakan gaya hidup sihat yang paling utama.

Tentu ada lagi lain perkara yang kita boleh fikirkan, namun apa yang perlu kita fahamkan di sini adalah gaya hidup sihat itu bukanlah setakat bersenam dan menjaga kesihatan sahaja.

Ia lebih luas dan merangkumi apa yang telah dianjurkan oleh agama Islam sejak awal lagi. Cuma kita sahaja yang tidak mengamalkannya secara bersungguh-sungguh demi mencapai kehidupan yang sihat.

Amalkan gaya hidup sihat total

Kita juga perlu ingat bahawa kesemua tersebut di atas tidak lari dari dua unsur yang saya sebutkan dari awal iaitu unsur jasmani dan juga rohani.

Sebagai contohnya bersolat adalah amalan fizikal, jika kita bersolat untuk menunjuk-nunjuk, kita telah gagal dari segi gaya hidup sihat secara rohani.

Melainkan kita bertekad solat itu hanya untuk Allah semata-mata, bukan kerana mahu syurga atau apa-apa saja, maka kita sihat secara total.

Memberikan zakat, derma atau bersedekah juga merupakan gaya hidup sihat yang mampu menyihatkan masyarakat, menyuburkan harta dan banyak lagi kebaikan.

Tapi apabila kita bersedekah kerana mahu menghindari penyakit kanser atau kemalangan, maka sia-sialah amalan kita kerana ianya bukan dilakukan kerana Allah.

Mungkin ia berlaku sebagaimana yang kita mahukan, tapi samada sedar atau tidak itulah saja yang kita dapat.

Oleh itu marilah kita amalkan gaya hidup sihat yang menyeluruh agar kehidupan kita selamat sejahtera dunia akhirat. Sihat fizikal dan sihat mental.

“Di antara tanda-tanda berpegang pada amal iaitu berkurangnya harapan ketika terjadi kesalahan” – Ibnu ‘Ataillah As-Sakandari

2 thoughts on “Gaya hidup sihat, tapi masih tidak sihat?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge