Hidup lagi

By | 26/07/2012

duckpool-beach-cornwall-1500x1000Selepas disyaki denggi

Kali terakhir saya menulis pada sebelum puasa, hari Jumaat 20 Julai 2012. Saya disyaki mengidap demam campak dan dalam masa yang sama positif denggi. Malam itu, ketika orang ramai bergembira bersiap mahu ke surau terutamanya yang jarang-jarang kecuali untuk bersolat tarawikh, saya sedang bergelut menahan rasa seluruh badan terbakar.

Jika anda pernah buat lemang anda tentu pernah rasa bagaimana tak tahannya muka disimbah dengan bahang api setiap kali mengalih buluh. Begitulah rasanya. Tak cukup dengan itu, tiba-tiba badan menjadi sejuk menggigil. Habis semua yang boleh memanaskan anggota badan saya pakai termasuklah jaket untuk bermain salji yang saya ada sedangkan didalam sudah ada dua helai pakaian namun, masih tak cukup.

Begitulah silih berganti, sehingga, sahur dan seterusnya subuh sampailah ke pagi. Pukul sembilan setengah saya telefon klinik bertanya samada doktor sudah hadir, tak ada sesiapa angkat. Pukul 10 begitu juga lalu saya minta isteri membawa saya terus ke klinik, “doktor masih tak datang, pukul 11 baru ada”, kata pembantu klinik tersebut. Saya merunggut dalam hati, “dia yang pesan suruh aku datang awal pagi semalam…”.

Saya mula tak sabar dengar klinik itu. Ini bukan kali pertama, malah sudah beberapa kali. Patutlah sekarang ada banyak krepek di dalam kliniknya. Dia juga menjual bermacam krepek sambil berubat. Sebelum ini pernah saya terlintas yang doktor ini sudah tidak yakin dengan perniagaan kedoktoronnya. Nampaknya sangkaan saya memang tepat, malah dia sudah tidak berminat.

Saya minta segala laporan makmal darah dan air kencing yang diambil semalam dari pembantu klinik tersebut. Dia memberinya setelah merujuk pada doktor melalui telefon. Saya bawa kesemua laporan tersebut lalu terus menuju ke Hospital Serdang. Saya tak boleh main-main dengan kes ini, ia melibatkan hidup atau mati saya.

Sambil menahan sakit seluruh badan dari hujung ibu jari kaki sehinggalah ke hujung rambut kepala yang saya ada, saya bayangkan kematian, mandi jenazah, kafan, solat dan kebumikan. Saya akan kesunyian. Saya mula takut.

Tak tahu banyak mana bekalan kebaikan yang telah saya sediakan untuk menghadapi mati, tetapi saya pasti banyak manapun yang saya ada ianya tidak cukup untuk menyelamatkan saya. Saya semakin takut. Teringat sepotong ayat yang saya baca di sebuah kedai mamak bulan lepas,

¬†“semua orang mahu ke syurga, tetapi tidak ada sesiapapun yang mahu mati…”

Saya tertawa kecil ketika membaca ayat itu. Memang betul jika ditanya semua nak ke syurga, tapi dalam masa yang saya semua orang takut mati. Bagai mana dapat ke syurga jika tidak mati terlebih dahulu. Kalau benar-benar mahu ke syurga, anda juga perlu benar-benar mahu mati. Saya rupanya menjadi salah seorang seperti ayat di atas.

Denggi bukan, campakpun bukan

Sekejap saja kami sampai ke Hospital Serdang, lalu terus ke rawatan kecemasan spara kritikal. Saya hulurkan laporan doktor, pegawai memprosesnya dengan pantas lalu menyuruh saya menunggu di dalam. Belum sempat saya melabohkan punggung pada kerusi, nama saya dikeloi!.

Saya masuk ke dalam. Kelihatan seorang pembantu perubatan wanita di situ. Dia menyuruh saya duduk dan bertanya apa masalah saya. Setelah diterangkan serba ringkas, dia ambil suhu, tekanan dan sampel darah sekali lagi untuk ujian. Dia mengaku badan saya terlalu panas lalu memberikan saya 2 biji pil untuk saya telan masa itu juga.

Selesai semua itu disuruhnya saya berdaftar dan tunggu doktor pula. Pendaftaran, ujian makmal dan rawatan hanya dicaj RM1 sahaja. Memang murah berbanding harga yang sering saya bayar diklinik sekurang-kurangnya RM125. Saya membayarnya dengar senang sekali, mahu rasanya saya sedekahkan RM10.

Diringkaskan cerita giliran nombor saya dipanggil untuk mengadap doktor. Saya menemui seorang doktor berbangsa Cina yang masih muda. Dia bekerja amat pantas. Sambil melihat kesemua data dan laporan terbaru terhadap darah saya tadi dari makmal, dia dengan yakin berkata saya “ok”, tak ada denggi.

“Habis apa masalah saya doktor?demam campak saja ka?”, tanya saya ingin tahu.

“Campakpun bukan, ini bukan campak, you memang demam kuat tapi saya tak tau kenapa, ada virus, apa itu virus, saya tak tau”, jawab doktor Cina itu lagi.

Saya terima saja dan terus pulang ke rumah. Berbagai pertanyaan bermain dalam kepala. Apa sebenarnya masalah saya. Seluruh sendi dan urat di seluruh badan saya sakit. Seluruh kulit saya amat sensitif. Badan saya terlalu panas. Kepala saya tidak stabil. Mata saya berpinar. Saya lemah, tenaga hilang lebih dari separuh dan saya sentiasa rasa di awang-awangan. Saya tak mahu lalui sekali lagi siksaan seperti semalam.

Akhirnya saya teringat kepada seorang kawan yang boleh membantu. Saya terus menyuruh isteri membawa saya ke sana. Berbagai pengalaman saya lalui sepanjang tempoh dari hari sabtu sehinggalah ke hari ini dan kesemuanya tidak pernah saya lalui sepanjang hidup saya. Apa yang paling penting sekali adalah saya masih HIDUP LAGI

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

2 thoughts on “Hidup lagi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge