hantar barang LazadaSaya pernah kongsikan cerita berkenaan Maniam yang buat kerja hantar surat khabar dalam blog ini sebelum ini.

Maniam yang dahulunya seorang buruh kasar yang makan gaji dengan DBKL sebagai penjaga tiang bendera di Dataran Merdeka, buat keputusan tinggalkan dunia makan gajinya, untuk kerja sendiri sepenuh masa.

Ubah hidup jadi kontraktor hantar surat khabar

Dengan gaji yang kecil, pelajaran yang tak berapa tinggi, peluang untuk dia baiki kehidupannya hanya dengan kerja makan gaji di DBKL itu amat mencabar. Kalau dia tunggu 20 tahunpun, entah mampu atau tidak untuk dia beli rumah sendiri.

Itu adalah satu persoalan sering menghantuinya yang agak rumit untuk dijawab.

Tanpa fikir panjang, dia nekad berhenti kerja sahaja dan mula menyara kehidupannya dengan buat berbagai perniagaan. Dari jual ayam pencen, kemudian himpun duit dan beli lori dan akhirnya dia jadi kontraktor hantar surat khabar.

Tak lama sangat untuk dia ambil masa membina dan mengubah status kehidupannya selepas berhenti dari kerja buruh kasar makan gaji kat DBKL tu.

Paling tidakpun, tempoh masa untuk dia ambil untuk memiliki 3 buah lori dan sebuah rumah teres dua tingkat, sudah tentu tidak akan mampu tercapai seandainya dia terus kekal jadi buruh kasar makan gaji itu.

Kerja hantar surat khabar hampir pupus

Maniam buat kerja hantar surat khabar itu amat lama. Dengan 3 buah lori yang dia ada, dia mampu gajikan anak lelakinya sendiri dan seorang lagi pekerja.

Semuanya berjalan lancar sehinggalah dunia surat khabar makan lama semakin malap.

Anda tentu sedar bagaimana surat khabar bukan lagi sumber utama masyarakat kita dapatkan maklumat. Ia telah digantikan oleh internet yang boleh anda akses dengan hanya menggunakan telefon pintar.

Memang begitulah hakikat kehidupan.

Masyarakat akan sentiasa melahirkan individu yang berupaya melakukan perubahan diri melalui inovasi.

Inovasi amat diperlukan untuk selesaikan masalah samada terhimpit dek tekanan pendapatan yang tidak mencukupi, ataupun, terpanggil untuk melaksanakan visi hidup yang hebat.

Internet, media sosial dan lain-lain lagi merupakan inovasi yang dilahirkan oleh individu-individu sedemikian. Mereka ada kalanya melengkapkan apa yang telah ada dan kadangkala membunuh dan mematikan amalan lama.

Itulah yang berlaku pada dunia surat khabar sekarang.

Edaran surat khabar yang lemah

Siapa tak kenal Utusan Malaysia, Berita Harian, Sinar Harian dan lain-lain lagi. Akhbar berbahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin juga dah lama diedarkan di seluruh Malaysia sejak dahulu.

Tapi semuanya sudah tidak serancak seperti 10 atau 20 tahun yang lalu.

Itulah yang Maniam beritahu pada saya sebelum ini. Bila saya lihat dia semakin kerap brisk walk setiap pagi, saya perasan ada perubahan berlaku pada dirinya.

Bila saya tanya, dia beritahu yang kerja hantar surat khabar sudah tidak dapat menyara kehidupannya lagi. 2 buah lori dah tak jalan. Hanya tinggal sebuah saja yang masih diguna pakai. Itupun, tidak berbaloi untuk diteruskan, katanya pada saya.

Beratus-ratus kontraktor surat khabar yang memiliki lori terpaksa diberhentikan kerja mereka. Ada juga yang berhenti tanpa diminta bila hasil yang mereka dapat dirasakan tidak berbaloi lagi. Syarikat surat khabar terpaksa memerah otak untuk teruskan perniagaan mereka. Kos perlu dijimatkan sebanyak mungkin.

“Saya pun tak tau nak buat apa dengan semua lori yang ada!” keluh Maniam pada satu pagi.

“Pergilah cari kerja hantar barang kilang pula… “, saya cadangkan pada Maniam.

“Atau pergi cari syarikat bisnes online seperti Lazada, Zalora dan macam-macam lagi.. ada banyak peluang hantar barang kat situ”, tambah saya sambil berjalan kaki beriringan dengan Maniam.

Bertindak pantas untuk hidup

Perbualan singkat tempoh hari nampaknya membuahkan hasil untuk Maniam.

Dia bertindak pantas dan mula bertanya dari satu tempat ke satu tempat. Sehinggalah dia berjumpa dengan Gudang Lazada.

Bila dia masuk bertanyakan peluang untuk jadi kontraktor hantar barang kat Lazada, wanita yang melayannya memberikan panduan supaya Maniam sediakan lori box terlebih dahulu. Jika dah sedia, datang semula bertemu dengannya.

Maniam tak tunggu lama. Dia keluarkan modal lebih kurang RM5 atau RM6 ribu untuk tukar badan lori kanvas kepada lori kotak yang sempurna.

Bila semua dah tersedia, sekali lagi dia pergi berjumpa dengan wanita yang memberikan panduan padanya sebelum ini di Lazada.

Dipendekkan cerita, sekarang saya dah tak jumpa Maniam lagi setiap pagi brisk walk kat taman. Dia keluar awal pagi untuk buat penghantaran barang-barang yang diambil dari gudang di Lazada untuk dihantar kepada pembeli dari Lazada online.

Kadang-kadang saya lihat lori box Maniam depan rumahnya. Dia bersama isteri serta anak perempuannya sedang sibuk menyusun kotak-kotak kecil dari Lazada. Mungkin buat persediaan penghantaran berdasarkan lokasi.

Hilang peluang hantar surat khabar, datang Lazada

Begitulah cerita pendek saya berkenaan peluang bisnes hantar surat khabar Maniam yang telah hilang akibat dari perubahan zaman.

Bila sesuatu perubahan itu berlaku, semua orang terpaksa menerimanya.

Samada kita membuat inovasi terhadap diri sendiri untuk mencipta peluang, atau berdiam diri dan mati berdiri sambil menyalahkan semua orang.

Bagi orang yang dah ambil jalan berhenti kerja makan gaji dan berdikari dengan berniaga, tahap berusaha untuk kekal hidup biasanya adalah tinggi. Itulah kelebihan bila anda pertingkatkan karakter dan keupayaan diri anda sendiri dengan tidak terlalu bergantung hanya pada majikan atau subsidi.

Maniam mungkin tidak sebijak anda yang sedang makan gaji berpendidikan tinggi dengan pangkat yang besar itu, tapi Maniam tetap hidup berdikari dan berupaya membuat perubahan demi perubahan.

Bayangkan anda!

Ya!

Anda yang makan gaji, pangkat besar, disegani dan hebat itu…

Tiba-tiba hilang pekerjaan, hilang pangkat, dan tak ada apa-apa lagi setelah dibuang kerja, atau setelah majikan tutup kedai.

Apakah anda mampu melakukan inovasi diri?

Total
26
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge