Hilang sandal baru di Masjid

By | 09/03/2013

Isnin baru-baru ini saya terlewat solat asar tidak sempat berjemaah. Sampai di masjid dalam pukul 5.20 petang untuk solat sebelum pergi ambil anak di sekolah agama. Dah tak ada orang ketika itu, cuma kelihatan seorang dua yang sedang pakai kasut di anak tangga.

Ketika masuk, saya perhatikan seorang warga India sedang berdiri di atas tangga di mana saya meninggalkan kasut. Dia kelihatan seperti bermasalah dan mundar-mandir ke kiri dan kanan.

Oleh kerana kesuntukan masa, saya terus berwuduk dan masuk ke dewan solat. Tak ada orang yang saya boleh tumpang berjemaah, maka terpaksalah solat sendirian.

Selesai solat dan berdoa semoga Allah permudahkan hidup dan meluaskan sumber rezki serta memberikan kejayaan dunia akhirat, saya terus turun ke bawah. Sesampai saja di tangga, kasut yang saya tinggalkan tadi tidak ada. Pemuda India yang mundar mandir tadi juga tiada.

Setelah puas mencari di segenap tangga maka saya buat rumusan yang ianya telah dicuri oleh seseorang dan saya pasti orang tersebut bukanlah warga negara Malaysia kerana kasut itu berjenama Bata.

Biasanya kasut berjenama Bata tidak mendapat perhatian para pencuri kasut di tangga masjid kerana ia agak sukar untuk dijual semula. Walaupun berjenama Bata, saya baru beli 3 hari dengan kos RM70.00!. Bagi sepasang kasut Bata, ia adalah mahal bagi saya.

Kasut paling sesuai di Malaysia
Saya tak suka pakai kasut boot penuh macam pegawai kerajaan dan kebanyakan pekerja kolar biru di negara kita kerana bagi saya tidak sesuai. Cuaca negara kita lebih sesuai untuk mengenakan kasut sandal sahaja kerana lebih berkonsepkan terbuka dan nyaman.

Melainkan jika naik motosikal, kasut yang paling sesuai untuk dipakai sepanjang masa adalah sandal. Tapi bukannya selipar jepun. Sandal biarlah berkualiti dan sedap di pakai. Oleh itu saya sering membeli sandal kulit yang mahal harganya sebagai kasut harian.

Namun setelah beberapa kali dicuri ketika solat di Masjid, saya beralih arah mencari alternatif lain. Terjumpalah kasut Bata yang menarik, berkualiti dan cukup tahan. Harganya antara RM70 ke RM80 sahaja. Sejak itu Bata menjadi pilihan kasut sandal saya dan Alhamdulillah tiada lagi kecurian sehingga hari bersejarah ini!

Orang pertama yang saya syak telah mengambil kasut tersebut tentu warga India tadi. Entah kenapa saya berasa begitu saya kurang pasti. Tapi terdetik juga dalam hati dia mencurinya untuk kegunaan sendiri. Mungkin dilihatnya kasut tersebut cantik atau mungkin kasutnya telah rosak.

Untuk memujuk perasaan yang agak marah, saya bayangkan kesusahan pemuda India tersebut, dan berkata dalam hati biarlah dia ambil. Tapi datang pula bisikan kenapa dia mencuri, tidak tahukan dia betapa ianya telah menyusahkan saya berkaki ayam pulang ke rumah…begitulah peperangan berlaku dalam jiwa.

Setelah pergi ambil anak dan menghantar mereka pulang, saya mengambil kasut lain dan keluar semula untuk urusan lain sehinggalah pukul 6.30 petang saya ke sekolah sekali lagi untuk mengambil anak yang lain pulak.

Jumpa semula kasut
Dalam perjalanan balik terlihat warga India tadi sedang sibuk menjual sesuatu dari kereta ke kereta yang sedang jem menunggu lampu isyarat. Secara spontan saya melihat pada kakinya dan ternyata dia sedang memakai kasut saya dengan selesanya!.

Saya biarkan saja sehinggalah baru-baru ini, ketika solat zohor berjemaah di masjid warga India tersebut ada sama. Aha! peluang untuk saya menegurnya, kata saya dalam hati.

Selesai solat saya kelaur dan kelihatan warga India sedang berjalan keluar. Saya biarkan sehinggalah dia ke arah kasutnya dan ternyata, memang kasut saya sedang dipegangnya. Masih baru dan cantik. Saya terus menuju kepadanya dan berkata, kamu curi kasut saya!.

Dia terkejut dan bercakap Hindi pada saya. Saya menyuruhnya cakap Inggeris dan nampaknya dia tak berapa fasih, atau sengaja buat-buat tak reti. Tapi saya rasa saya faham apa yang cuba disampaikan.

Setiap kali saya berkata ‘kamu curi kasut saya!’, dia akan menjawab, ‘kasut saya kena curi!’. Tapi itu bukan alasan untuk kamu mencuri kasut, kata saya dan akhirnya dia faham dan mengangkat kasut tersebut untuk diberikan semula pada saya.

Timbul rasa belas dan menyesal. Sebelum ini saya dah reda dan niat untuk berikan saja padanya tanpa buat kacau. Kenapa saya ungkit kembali bila berjumpa semula dengannya…rasa bersalah pulak dan menyesal kalau-kalau saya tidak mendapat apa-apa kebaikan daripada apa yang telah berlaku.

Saya memberikan isyarat menghadiahkan kasut itu padanya walaupun ada sedikit niat untuk tukarkan kasut baru itu dengan kasut lama yang sedang saya pakai. Akhirnya saya beredar antara rasa menyesal, lega atau bersalah.

Apa yang boleh dirumuskan mungkin saya gagal dalam ujian itu. Hanya sepasang kasut bata, ia membuatkan jiwa tidak tenteram selama beberapa hari!!!.

Nota:
Saya sedang berusaha mengumpulkan dana bagi menyara para pelajar tahfiz dari kalangan anak-anak yang tidak berkemampuan. Sekolah Tahfiz tersebut merupakan hasil usaha bersama kawan-kawan dengan kerjasama Maahad Habibullah Al-Hafiz.

Jika pembaca ada kelebihan wang dan tidak selokek saya yang resah jiwa hanya kerana kehilangan kasut bata, tolonglah salurkan sedikit di akaun yang tertera di bawah:

Maahad Habibullah Al-Hafiz

AKAUN BANK ISLAM 1216 801000 6393
atau

MAYBANK ISLAMIC 5628 4350 2285
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

One thought on “Hilang sandal baru di Masjid

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge