Inspirasi 10 perkara bahagia #2: Fauzan Aziman

By | 12/06/2013

Satu lagi perkongsian tentang 10 perkara mudah yang membahagiakan daripada pembaca blog ini. Saya akan siarkan siri perkongsian seperti ini setiap hari rabu.

Itupun jika ada yang menghantar atau email pada saya amalan yang biasa dilakukannya selama ini yang dapat memberikan kegembiraan dan kepuasan.

Harap siri ini mendapat sambutan dari para pembaca lain. Mustahil tak ada perkara yang membahagiakan pada setiap daripada diri kita.

Cuma kadangkala kita asyik mengeluh pada masalah dan cabaran hidup sehingga lupa sebenarnya banyak lagi perkara yang mendamaikan jiwa berbanding keluh dan kesah kita selama ini.

Oleh itu, ambil sedikit masa dan senaraikan perkara-perkara kecil tersebut. Masa yang diperuntukkan bagi menyenaraikannya pasti memberikan anda satu semangat baru untuk mengucapkan syukur pada Tuhan.

Di Bhutan (kredit gambar: Johanna Johan)

Kita ikuti perkongsian daripada saudara Fauzan Aziman di bawah:

Selawat dan salam tuan Shubhi. 10 perkara yang membahagiakan saya.

  1. Bekerja.
  •  Sejak saya bekerja sendiri saya hanya perlu bekerja bila ada kerja (bukan setiap hari perlu masuk pejabat) dan memang jenis kerja saya bukan masuk pejabat pun, maka setiap hari bekerja adalah unik dan berbeza. Kadang-kadang temubual menteri, kadang-kadang masuk hutan.
  • Sejak saya meninggalkan alam pekerjaan tetap, peluang untuk bekerja memang adalah satu perkara yang membahagiakan.
  • Membaca.
  • 96:1 “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)”.
  • Di zaman Internet ini kita boleh mendapatkan pelbagai bahan bacaan di hujung jari kita. Itulah kelebihan zaman ini berbanding zaman sebelumnya dan saya rasa rugilah kalau kita tidak guna kemudahan yang kita ada ini sebaiknya.
  • Antara penulis yang baik dari segi keusahawanan untuk dibaca adalah James Altucher dan Mark Cuban. Mereka ini orang putih, manakala orang Melayu sendiri adalah blog tuan (Hidup Ringkas) dan encik Shahabudeen Jalil.
  • Saya hairan susah mencari penulisan usahawan Melayu di luar sana, kalau ada pun dalam bentuk forum dan penulisan di dalam tu bukan jenis panjang lebar. Sekiranya ada pembaca lain yang boleh perkenalkan penulisan Usahawan Melayu di luar sana saya minta turut berkongsi.
  • Kalau dari segi penulisan agama, blog/Facebook page Dr Maza dan Ustaz Zaharuddin meriah dan relevan kepada isu-isu semasa.
  • Mendengar.
  • Institut Kefahaman Islam Malaysia. IKIM FM. Saya rasa radio ini adalah satu rahmat kepada pendengar-pendengar Muslim Malaysia. Banyak ilmu yang dikongsi dari personaliti yang cukup berpengetahuan dan ianya percuma untuk didengari.
  • Kalau dalam interaksi bersama orang lain, saya selalu pasang telinga dan mendengar perbualan kenalan dan kurang bercakap. Mendengar perbualan orang yang lebih berilmu dan berpengalaman adalah satu nikmat.
  • Menonton.
  • Satu perubahan yang dibawa Internet adalah kuasa memilih terletak di tangan penonton. 60 jam video dimuat-naik ke Youtube setiap saat. Antara laman yang saya langgan di Youtube adalah “MatLuthfi90” (Anak muda yang cuba sampaikan nilai-nilai baik dan lucu) “WhatIfWeChange” (Satu gerakan perubahan demi kebaikan bumi) “VICE” (Satu jenis kewartawanan yang menarik, bagi saya ini adalah masa-depan berita) dan “YaleCourses” (Belajar apa yang diajar di Yale tanpa pergi Yale!).
  • Tangkap detik.
  • Saya pernah ada kamera tetapi saya jual kerana saya upgrade menjadi mesin basuh automatik (masa tu baru sahaja kahwin, maka mesin basuh automatik lebih penting daripada kamera!). Sekarang saya cuma ambil gambar menggunakan telefon.
  • Bagi saya proses mengambil gambar adalah satu usaha untuk mendokumenkan satu detik yang kita rasa perlu disimpan sejarah. Satu perkongsian perasaan, satu ‘scene’ daripada kehidupan kita.
  • Kadang-kadang, alam semulajadi akan kelihatan begitu cantik tetapi tidak ada kamera pun yang boleh mengambil gambar tersebut. Di saat-saat begini saya hanya tengok keadaan itu dan buat satu nota minda agar saya tidak akan lupakan apa yang saya tengok tadi.
  • Kiranya saya ambil gambar dari minda sahaja.
  • Laman Instagram saya adalah http://instagram.com/pojam kiranya ada yang sudi.
  • SMS kepada ayah.
  • Dari masa ke semasa, hanya ber-SMS dengan ayah saya pun sudah cukup membahagiakan hari saya. Saya banyak rujuk hal-hal agama yang saya rasa musykil ataupun sekadar berkongsi berita seperti jumlah untung kerja yang saya dapat agar beliau bebas daripada risaukan tentang hal saya.
  • 7 tahun lepas semasa perbualan telefon saya dengan ibu saya, saya akhiri dengan ayat “Fauzan sayangkan mak”. Mengikut cerita kakak saya, ibu saya begitu gembira pada hari itu kerana mendengar ayat tersebut. Seminggu kemudian beliau meninggal dunia. Al Fatihah kepada keluarga dan saudara mara kita semua yang telah pergi meninggalkan kita.
  • Hargailah Ayah/Ibu kita sekiranya masih ada dan sentiasa minta keampunan mereka. Doa mereka amat berharga untuk kebahagiaan kita. Sesungguhnya banyak nikmat yang kita tidak kenali/ketahui/hargai sehinggalah nikmat itu pergi. Al Fatihah.
  • Berkongsi.
  • Apa sahaja yang saya rasa menarik saya akan kongsikan di Facebook ataupun di akaun Twitter saya. Saya tidak kisah orang lain baca/tengok atau tidak kerana apa yang saya kongsi sudah cukup bermakna pada saya dan saya rasa ada nilai untuk diberi kepada orang lain. Sebab ini jugalah saya kongsikan apa yang saya baca, dengar dan tonton di atas.
  • Memandu kereta tidak melebihi 2500RPM.
  • Mungkin pelik tetapi memandu kereta automatik pada peraturan begini bagi saya menenangkan fikiran dan juga menjimatkan minyak. Biasanya hanya boleh dibuat pada hujung minggu atau waktu malam kerana keadaan yang tidak begitu sibuk dan kiranya kita pandu perlahan tidaklah menyusahkan orang lain.
  • Jalanraya adalah antara satu punca stress dalam hidup harian kita, maka bila ada masa untuk santai saya akan ambil peluang itu untuk memandu dalam keadaan tenang.
  • Melihat perjalanan hidup sahabat-sahabat.
  • Saya gembira melihat kawan-kawan saya bahagia di dalam pilihan mereka sendiri. Ada yang bekerja dengan orang, ada yang menjadi jurugambar kahwin, ada yang menjadi juruvideo kahwin, ada yang menjadi agen insurans dan ada yang bekerja sendiri.
  • Tidak ada masalah bidang kerja apa pun yang mereka pilih, saya doakan agar kawan-kawan berjaya dan terus berjaya. InsyaAllah dengan usaha dan tawakkal.
  • Malaysia.
  • Saya pernah pergi ke Thailand, Singapura dan Bhutan. Di luar begitu susah mencari makanan halal, malah digelakkan lagi kalau kita tanya kat mana boleh jumpa makanan halal di Singapura!
  • Masjid/surau lagilah jarang. Ketika saya di Bhutan, keadaan di sana begitu terpencil daripada Islam malah budaya mereka pula memuja alat kelamin lelaki hingga ada lukisan-lukisan alat kelamin lelaki di depan kedai menyebabkan saya sedikit terkejut dengan perbezaan budaya yang begitu besar.
  • Di luar Malaysia dan negara bukan Islam, tidak ada orang pun yang ambil peduli tentang agama Islam sebenarnya. Saya bersyukur di Semenanjung Malaysia banyak masjid malahan kebanyakkan stesen minyak menyediakan surau.
  • Bagi saya, tidak ada masalah untuk solat dimana-mana pun malah saya boleh solat di kaki lima berlapiskan jaket saya pun tetapi bila satu kemudahan dibuat haruslah kita bersyukur dengan apa yang disediakan. Malaysia adalah satu negara yang indah untuk mempraktikkan Islam. Alhamdulillah, syukur nikmat.

Ikhlas, Fauzan.
Bersama ini saya lampirkan dua gambar supaya tuan tidak perlu lampirkan gambar hiasan 🙂

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

6 thoughts on “Inspirasi 10 perkara bahagia #2: Fauzan Aziman

  1. sepol

    terima kasih atas perkongsian… mencari keredhaan allah… itu yang lebih penting dan menenangkan… alhamdulillah

    Reply
  2. UMMI HAKIM

    SALAM TUAN
    MEMANG ASYIK SAYA BACA PERKONGSIAN INI
    ALHAMDULLAH
    1 MINIT SAYA YANG SGT BERMANFAAT HARI INI
    TERUSKAN TUAN

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge