Inspirasi 10 perkara bahagia #3 – Hidup ringkas

By | 19/06/2013

Bukan mudah nak mendapatkan kerjasama orang ramai menyumbang amalan biasa yang mudah dan ringkas yang biasa diamalkan oleh mereka yang mendatangkan ketenangan dan kebahagiaan serta kepuasan diri.

Mungkin anda semua sibuk dan tak dapat meluangkan masa berkongsikan pengalaman serta amalan masing-masing.

Oleh itu, kali ini saya perahkan otak untuk senaraikan 10 lagi amalan biasa dan mudah, yang biasa kita lakukan yang dapat memberikan kebahagiaan dan kepuasan.

Moga-moga ia dapat menyuntik inspirasi pada anda semua untuk mengamalkannya dan seterusnya menghantar versi anda pula ke mohdshubhi@hidupringkas.com di minggu yang akan datang.

Berikut 10 perkara mudah yang biasanya memberikan kepuasan pada mereka yang melakukannya:

  1. Ada orang sudi berbual bila keseorangan. Ada kalanya saya makan seorang diri, kemudian datang seorang yang tidak dikenali menegur dan berbual ringan. Lalu kami bersembang tentang kehidupan dan kemasyarakatan. Seronok bila ada yang sudi menyapa sedangkan kita keseorangan dan dalam kebuntuan.
  2. Belanja orang di atas makan. Tak ada benda yang paling seronok dalam keadaan di atas selain daripada waktu membuat bayaran, akan saya bayar makan minum kawan tersebut. Biasanya orang itu berasa amat berterima kasih dan tidak menduga yang kita akan belanja semua makan dan minumnya.
  3. Tumpangkan kenderaan. Walaupun dunia sekarang penuh dengan manusia yang suka ambil kesempatan, namun ini tidak sepatutnya menghalang kita mengenal pasti mereka yang betul-betul memerlukan bantuan. Kadangkala terserempak dengan situasi sebegitu dan kita menumpangkan kenderaan yang kita bawa untuk membawanya ke destinasi yang dihajati mampu memberikan rasa puas yang cukup tinggi. Antara situasi biasa adalah menumpangkan orang yang sedang berjalan kaki ke masjid untuk solat jumaat di masjid yang agak jauh.
  4. Basuh pinggan selepas makan. Di mana saja saya pergi dan setiap kali diberikan makan saya tidak akan lepas untuk ke dapur dan membasuh sendiri pinggan yang digunakan. Ini amalan biasa yang saya amalkan dan banyak mengejutkan orang. Bertambah lagi seronoknya bila orang terkejut!.
  5. Kemas katil selepas bangun tidur. Ini juga mendatangkan satu kepuasan setiap kali bangun tidur dan sempat mengemas katil yang telah digunakan. Melihat katil tersusun kemas semula memberikan ketenangan.
  6. Baiki basikal anak. Bukannya susah nak baiki kerosakan kecil pada basikal anak-anak, tapi agak susah untuk luangkan masa melakukannya. Tetapi bila dapat dilakukan dan anak-anak keriangan menaikinya selepas itu membuatkan kita tersenyum lebar.
  7. Dengar cerita anak. Ini juga memerlukan satu skill serta daya kesabaran yang tinggi. maklumlah biasanya apa yang nak diceritakan atau dikongsikan oleh anak-anak sudah dapat kita jangkakan jalan ceritanya. Tapi bila berjaya sabar dan paksa diri untuk kyusuk mendengar, memang memberikan kepuasan baik pada kita maupun pada anak-anak.
  8. Ziarah kawan yang uzur. Bila mendapat berita kawan sakit terlantar dan kita luangkan masa menziarahinya bila ada kesempatan memang puas. Riak muka kawan yang seronok dengan kehadiran kita menambahkan lagi kepuasan tersebut.
  9. Ziarah rakan bapa yang masih hidup. Samada sengaja atau tidak, singgah di rumah rakan ayah sekejap saja untuk bertanyakan khabar menginagtkan kita pada ayah yang telah pergi. Mereka biasanya berbangga dengan sikap berbahasa kita yang sudi menjenguk mereka.
  10. Dapat makan nasi kandar Hamedia. Ini restoran kegemaran saya yang terletak di Pulau Pinang. Kalau boleh makan setiap kali balik terlebih lagi pergi bersama kawan-kawan memang seronok. Apatah lagi bila bawa balik sebungkus untuk ibu di rumah.
Sekali lagi kita dapat lihat daripada senarai di atas, hampir kesemuanya tidak memerlukan wang yang banyak untuk dilakukan. Tak perlu RM1 juta baru nak buat kesemua yang disebutkan di atas.
Malah jika kita terlalu dihatui oleh impian nak buat RM1 juta, kesemua perkara mudah yang terbukti mampu membahagiakan kita dan orang lain akan terlepas begitu saja tidak sempat diamalkan.
Anda tentu ada senarai tersendiri. Jangan segan untuk kongsikan di sini dengan mengirimkan senarai tersebut ke mohdshubhi@hidupringkas.com dengan segera.
Tidak kisah samada senarai yang anda berikan sama dengan orang lain atau tidak. Yang pentingnya ia benar-benar memberikan anda ketenangan dan kepuasan.
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

3 thoughts on “Inspirasi 10 perkara bahagia #3 – Hidup ringkas

  1. Popo

    Idea ziarah sahabat ayah tu memang agak fresh bagi saya. Saya rasa saya akan usahakan hal sebegini. Terima kasih kerana memberi idea.

    Fauzan

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge