_DSC3683Saya nak buat cadangan pada semua usahawan diluar sana agar jaga kesihatan.

Begitu juga sebaliknya, saya nak cadangkan pada anda diluar sana yang jaga kesihatan agar jadilah seorang usahawan.

Menjadi usahawan membuatkan anda lebih mudah untuk jaga kesihatan. Kerana masa yang ada, andalah yang mengaturkannya. Oleh itu jangan lupa peruntukkan masa sejam sehari dalam urusan jaga kesihatan dengan bersenam.

Macam itulah juga pada anda yang dah memang ada tabiat menjaga kesihatan. Dengan adanya tabiat jaga kesihatan, anda punya banyak kelebihan jika terjun menjadi seorang usahawan.

Bagaimana nak jaga kesihatan

Rasanya tak payah nak saya goreng banyak-banyak dalam bab jaga kesihatan ini. Semua orang tahu apa yang perlu dilakukan dan apa yang perlu ditinggalkan demi untuk menjaga kesihatan.

Cuma masalah besarnya adalah, walupun anda tahu semua teknik atau rahsia nak jaga kesihatan, nak amalkannya adalah satu dugaan yang amat besar.

Sebab itu, dalam bab jaga kesihatan ini, ia bukanlah satu masalah untuk mengetahui cara nak jaga kesihatan, tapi lebih kepada macam mana nak tanam tabiat menjaga kesihatan.

Orang Putih kata “Habit”, kita panggil tabiat. Dan apa itu tabiat?

Tabiat adalah perkara yang kita sering ulang buat. Bila dah sering ulang, tak timbul lagi masalah nak paksa diri kena buat. Semuanya jadi secara spontan tanpa paksaan kecuali sekali sekala bila adanya kekangan.

Macam orang yang dah biasa penuh solat 5 waktu sejak kecil atau sejak lama dulu. Bila tak selesai lagi tunaikan solat yang dah masuk waktu, jiwa rasa tak tenteram.

Bila sesuatu itu dah jadi tabiat, masalah akan timbul bila tak buat. Bukannya masalah untuk buat. Itulah kelebihan apabila sesuatu itu sebati menjadi tabiat.

Asas nak jaga kesihatan

Saya tahu anda sendiri dah lama diajar bahawa kalau nak menjaga kesihatan, anda hanya perlu buat perkara berikut:

  1. Jaga makan
  2. Jaga tidur / rehat
  3. Bersenam

Nak mudah lagi, anda hanya perlu buat perkara asas ini sahaja:

  • Makan hanya bila lapar dan berhenti sebelum kenyang. Makanlah apa saja yang mendatangkan selera anda bila melihatnya dan amalkan cara makan yang Nabi ajar kita itu, insyaallah anda dah masuk dalam golongan yang menjaga kesihatan.
  • Dalam bab tidur pula, pastikan anda tidur antara 7 ke 8 jam. Jangan lebih dan jangan kurang daripada itu. Tidur biar nyenyak dan selesa. Oleh itu pastikan anda sediakan ruang waktu dan suasana yang membolehkan tidur nyenyak dan selesa tercapai.
  • Jangan sesekali jadikan bersenam itu satu pilihan. Jadikannya sebagai satu kemestian. Bersenamlah samada jalan kaki atau jogging sekurang-kurangnya 3 kali seminggu. Satu sesi bersenam mestilah dalam lingkungan 45 minit lamanya tanpa henti.

Nampak tak? Mudah bukan? tapi kenapa masih tak boleh nak amalkan? kenapa ramai sangat kita lihat orang gemuk disekeliling kita?

Sebabnya adalah kerana orang gemuk semua yang ada diluar sana tak berusaha untuk jadikan ketiga-tiga amalan yang saya sebutkan di atas sebagai satu tabiat. Itu saja masalahnya.

Perkara apapun walaupun yang amat mudah, jika tak dijadikan tabiat memang sukar untuk diamalkan secara istiqamah.

Macamna nak jadikan jaga kesihatan sebagai tabiat

Ini satu bab yang sukar pada permulaannya, tapi akan jadi mudah sebaik saja ianya dah terbentuk sebagai tabiat diri.

Oleh itu tak ada jalan lain selain daripada berusaha dan terus berusaha sampai dapat. Satu berita baik yang saya nak kongsikan pada anda di sini adalah,

“Jika anda berjaya buat sesuatu amalan itu selama 66 hari berturut-turut tanpa gagal, amalan tersebut akan menjadi tabiat”

Oleh itu buat jadual. Pangkah kalendar supaya amalan yang nak dilaksanakan itu dapat berlaku berturutan selama 66 hari.

Saya cadangkan anda mula tanam tabiat satu persatu. Pilihlah satu tabiat yang nak ditanam untuk diamalkan selama 66 hari berturut-turut tanpa gagal, samada bersenam, makan atau tidur.

Mana satu yang dah memang jadi amalan anda dalam tiga perkara utama yang saya sebutkan di atas? takkan ketiga-tiganya gagal kut?

Kebiasaannya ramai yang gagal dalam bab bersenam. Jadi saya kongsikan bagaimana nak jadikan bersenam sebagai tabiat anda.

  • Buat perancangan dengan menentukan masa yang paling sesuai untuk anda amalkan tabiat bersenam ini. Ada orang yang boleh buat waktu pagi dan ada juga yang hanya boleh buat waktu petang bila habis kerja. Tak kisah asalkan anda peruntukkan masa sejam untuk bersenam.
  • Mulakan dengan sediakan peralatan dan pakaian untuk bersenam. Tulis keperluan dan buat perancangan untuk adakannya. Anda hanya perlu perkara asas ini saja:
    • Kasut sukan. Jangan kemut untuk dapatkan kasut yang berkualiti. Ia penting untuk menjaga kaki dan tulang belakang. Lagipun anda nak pakai lama, jadi jangan sayang duit untuk beli yang terbaik. Ia juga dapat memberikan anda semangat untuk bersenam dengan adanya kasut yang cantik dan berkualiti. Jangan lupa jaga kasut daripada kecurian. Simpan kasut dalam rumah.
    • Pakaian sukan. Belilah seluar sukan dan baju dari jenis cotton yang selesa. Sediakan dalam dua pasang untuk pertukaran. Jangan pula pakai satu pakaian saja sampai masam dan naik tahi lalat. Keselesaan memberikan anda semangat untuk meneruskan amalan bersenam.
  • Mulakan segera. Bila semua yang tersebut di atas tersedia, jangan tangguh-tangguh lagi. Mulakan terus secara ringan dengan berjalan kaki lenggang kangkung selama 45 minit. Tak perlu paksa diri untuk berpeluh basah baju pada kali pertama. Ingat! anda hanya mahu tanam tabiat bersenam pada masa yang diperuntukkan terlebih dahulu.
  • Pilih tempat yang mudah. Ada rang yang berikan syarat mahu ke taman atau padang bersenam yang jauh dari rumah. Tak perlu pergi taman, dan tak perlu gunakan kenderaan untuk pergi bersenam. Mulakan saja di tempat anda tinggal. Ertinya, anda hanya perlu pakai baju dan seluar sukan, pakai kasut dan terus boleh mulakan. Pusing bangunan tempat anda tinggal jika anda tinggal di flat. Pusing taman perumahan anda yang pastinya ada jalan tar. Atau pusing taman padang kecil yang ada di kawasan perumahan anda.
  • Ulang selama 66 hari. Ini mesti dilaksanakan sampai berjaya. Jika anda gagal lakukannya secara berturutan, maknanya anda perlu kira semula.

Jika anda pilih nak tanam tabiat lain, buat perkara yang lebih kurang sama seperti di atas. Anda tentu lebih bijak dan tahu macam mana nak merancang untuk melakukannya. Saya yakin anda boleh, Insyaallah.

Jaga kesihatan dan jadi usahawan

Jika anda dah bergelar sebagai seorang usahawan tolong ambil perhatian!

Tolong jaga kesihatan kerana anda akan lebih berjaya daripada sekarang jika anda jadikan itu sebagai satu tabiat.

Ya! saya tahu anda boleh tunjukkan ada orang yang gemuk gedempul makan nasi 8 pinggan dan malas bersenam tapi kaya raya dan berjaya dalam perniagaan mereka.

Memang bukan semestinya nak berjaya kena jaga kesihatan, tapi percayalah dengan tahap kesihatan yang baik anda akan rasa hidup menjadi lebih bermakna.

Tekanan jiwa akan lebih terjaga dengan amalan kesihatan yang baik. Anda akan dapat menikmati dunia keusahawanan dengan lebih optimum dengan adanya pakej kesihatan yang baik.

Perniagaan itu umpama satu marathon, perlu stamina yang tinggi jika impian anda adalah tinggi. Oleh itu tolong jaga kesihatan dan jadilah usahawan berjaya yang tenag jiwanya dan hebat ketrampilannya.

Moga sukses… anda dan saya. Jangan lupa doakan agar saya berjaya.

Total
24
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

7 comments

  1. Saya setuju pendapat Tuan. Dalam buku The Power of Habit ada dinyatakan bersenam sebagai satu “keystone habit” yang dapat melonjakkan tabiat-tabiat baik yang lain dalam keseluruhan proses mengubah tabiat seseorang individu. Wallahuaklam..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge