Jalan untuk maju dengan pecahkan siling Kita mesti cari jalan untuk maju. Semua orang ada hasrat untuk maju tapi biasanya tersekat tak jumpa jalan untuk maju bila berhadapan dengan siling.

Jalan untuk maju yang terhalang ini ada banyak hubungkait dengan siling. Sebab itu saya tajukkan artikel ini dengan ayat pecahkan siling kat atas tu.

Sebab apa rumah anda ada siling?

Sebab mudah yang boleh difikirkan adalah untuk menjadi satu landasan penghalang. Samada untuk menghalang yang berada di atas turun dan jatuh kebawah.

Juga untuk halang yang berada di bawah tembus naik ke atas.

Apa kena jalan untuk maju dengan pecahkan siling

Saya berikan perumpamaan siling secara fizikal itu adalah untuk memudahkan kita faham hakikat sekatan yang menghalang kemajuan kita untuk pergi lebih jauh.

Kita boleh ambil perumpamaan dinding atau lantai dan lain-lain yang menjadi sekatan daripada kita keluar ke kawasan yang lebih luas di luar. Semuanya sama sahaja dan sering kita lalui dalam kehidupan seharian kita.

Jika kita mahu air keluar dari kurungan, kita buka saja sekatan yang menghalangnya. Nampak mudah dan memang mudahpun sebenarnya.

Tapi tahukan anda bahawa kemajuan kita juga sering ada satu sekatan yang menghalang diri kita daripada menerjah keluar.

Biasanya sebagai manusia normal kita ada keupayaan tertentu untuk mempelajari perkara asas dan seterusnya berjaya menguasai perkara tersebut pada satu tahap yang baik.

Pecahkan siling sebagai jalan untuk maju menulis

Jika anda diberikan sebuah keyboard untuk menulis pada komputer, jika anda seorang yang normal, tentu akan mampu melakukannya.

Jika sering digunakan, anda akan berupaya menaip dengan laju dan mudah. Anda masuk dalam kupulan mereka yang baik dalam penggunaan keyboard untuk menulis di komputer.

Tetapi biasanya orang awam macam saya akan berhenti dari membaiki kemajuan menaip setakat itu saja.

Setakat sekarang ini, saya mampu menaip dengan agak pantas, tapi malangnya, tidak sepantas mereka yang berjaya pecahkan siling penghalang untuk menaip lebih pantas lagi.

Saya hentikan kemajuan setelah berjaya menaip dengan baik sekadar dengan menggunakan dua jari sahaja. Saya telah mencipta satu sling dan selesa berada di bawah siling tersebut. Saya tak ada usaha untuk pecahkan siling keselesaan itu.

Satu jari kanan dan satu lagi jari kiri. Di situlah siling kemajuan saya dalam bab menaip. Saya hentikan pembelajaran dan selesa dengan keadaan begitu.

Jika mahu jalan untuk maju lagi ke depan masih ada banyak ruang

Saya perlu cari jalan lain dan mula berlatih untuk menguasai jalan baru itu. Dalam bab menaip, saya perlu cari jalan untuk menggunakan kesemua jari pada kedua-dua tangan supaya taipan betambah laju.

Saya juga perlu berlatih, belajar untuk menaip tanpa melihat papan keyboard dan lain-lain lagi di mana akhirnya saya maju setapak lagi ke atas. Itupun jika saya serius mahu jadi penulis dan mahu optimumkan kemajuan hang boleh saya capai.

Nasib baik saya tahu bahawa ada jalan lain untuk menaip dengan lebih baik. Bayangkan jika saya tak tahu dan tak ada pula usaha untuk mencarinya. Sudah pasti saya anggap itulah cara terbaik untuk menaip dan akan menyerang orang yang mengatakan cara saya tak bagus.

Banyak lagi siling menghalang kita temui jalan untuk maju

Cuba lihat kemampuan yang ada pada anda sekarang. Nilaikan dengan jujur setakat mana keupayaan anda. Mungkin anda sama saja dengan saya. Kita hanya orang biasa-biasa disebabkan mengalah dengan siling terbina pada satu-satu tahap.

Atau lebih parah lagi kita tak sedar sedang berada di bawah siling yang tidak dapat dilihat. Sedangkan siling itu membuatkan kita tak pernah muncul ke atas lebih tinggi lagi.

Untuk menjadi luar biasa, kita perlu cari jalan untuk maju dengan pecahkan siling penghalang itu. Dan semuanya terbentuk hasil dari cara kita berfikir seadanya.

Cari alasan adalah siling besar temui jalan untuk maju

Antara banyak perkara yang membantutkan perjalanan kita untuk menjadi luar biasa adalah sikap menyedapkan hati mencari alasan kenapa kita tak boleh.

Sedangkan jika kita tumpukan akal untuk cari jalan macam mana nak lakukannya bermula dengan kesedaran bahawa ada siling kat atas tu, sudah tentu lambat laun siling akan pecah dan kita terpancul keluar ke atas.

Pada tahap itu, kita sudah maju satu tapak lagi ke atas. Tapi ingat!, biasanya akan terbentuk lagi satu siling pula yang asyik menghalang kita naik. Tolak saja akan terhantuk dan tolak akan terhantuk.

Itu ertinya sudah tiba masanya kita perlu ubah cari kita berfikir. Kita perlu ubah cara kita buat kerja dan banyak lagi perubahan yang perlu dilakukan pada ketika itu sehinggalah pecah pula satu lagi siling penghalang.

Langkah mencari jalan untuk maju dengan pecahkan siling

  • Langkah pertama paling penting yang perlu dilakukan adalah dengan kenal pasti apakah perkara yang mahu dimajukan. Samada kemahiran tertentu atau pun penghasilan tertentu. Anda tak perlu pecahkan semua siling, terutamanya siling rumah anda. Pilihan terbaik adalah berdasarkan apa yang anda mahu capai dalam hidup ini. Mungkin anda mahu jadi usahawan berpendapatan RM 1 juta setahun.
  • Langkah kedua adalah dengan mengenal pasti tahap kedudukan anda sekarang. Apakah tahap kemahiran anda atau apakah tahap pendapatan anda. Mungkin anda sekarang sedang makan gaji dan rasa tidak layak atau bersedia untuk jadi usahawan.
  • Senaraikan semua alasan yang membuatkan anda rasa selesa dengan keadaan sekarang. Kenapa anda berada di situ dan kenapa anda tidak ada lebih jauh di atas seperti orang lain. Anda tentu akan mengatakan si anu itu ada itu dan begini aku tak ada maka sebab itu aku tak boleh jadi macam dia. Tentu ada berbagai lagi alasan yang anda dah biasa ceritakan pada orang lain. Dengan senaraikan semua alasan di atas, anda sebenarnya sedang menterjemahkan cara anda berfikir.
  • Seterusnya cabar pemikiran anda itu. Katakan apa yang anda fikir itu salah. Ada cara lain yang anda masih tak jumpa. Mula cari jalan bagaimana mahu ubah cara berfikir tersebut. Sudah tentu dengan membaca, belajar daripada mereka yang dah berjaya, atau daripada mentor atau coach perniagaan yang anda kenal.
  • Ingat! cari jalan untuk buat dan berjaya dan bukannya cari alasan untuk tidak buat dan kekal dengan taha yang ada.

Ketika mula saya masuk dalam dunia pekerjaan dulu saya ada kepercayaan rendah. Saya sekadar mahu hidup sederhana dan tidak mahu jadi luar biasa. Jadi luar biasa itu berlagak bagi saya ketika itu.

Akibat dari sikap sebegitu saya hanya berusaha biasa-biasa sahaja dan tidak pernah mencabar pemikiran saya sendiri. Saya jadi pakar mencari alasan untuk tidak maju ke depan dan kekallah saya di bawah siling yang saya tak sedar saya ciptakan sendiri.

Lama kelamaan saya bosan jadi biasa-biasa saja. Akhirnya fikiran itu saya cabar dan mula cari jalan untuk buktikan bahawa semua orang boleh naik ke atas asalkan dia sanggup ubah cara berfikir dan cara dia melakukan kerja.

Memang ambil masa, mungkin 3 tahun, mungkin 5 tahun atau mungkin lebih lama lagi. Itu perjalanan yang perlu ditempuh. Samada kita keal berada di bawah siling atau berusaha memecahkannya, 3 atau 5 tahun itu adalah terlalu singkat. Sedar -sedar kita dah habiskan banyak masa samada kita berusaha untuk berubah atau tidak.

Jadi apa salahnya kita mula mencabar fikiran kita sekarang. Setiap sesuatu yang baharu sudah tentu ada peluang untuk meningkat menjadi lebih baik.

Sikap percaya bahawa ada lagi tahap yang lebih baiklah yang membuatkan terciptanya jamban macam sekarang yang kita pakai ini. Jika berterusan amalkan berak atas batang kelapa atas sungai dan selesa dengan cara itu, sampai sekarang kita akan tetap buat begitu. Nasib baik ada orang yang pecahkan gaya berak sebegitu dan percaya ada lagi gaya berak yang lebih baik.

Cabar apa saja pemikiran anda adalah jalan untuk maju

Dalam pertemuan dengan para usahawan selama ini, perkara inilah yang akan saya usahakan untuk mereka sedar. Mereka perlu cabar pemikiran mereka sendiri dan percaya bahawa ada lagi cara berfikir dan bertindak yang lebih baik dari yang mereka ada.

Sudah tentu kita tak nampak sebab itu sahaj yang kita tahu. Oleh itu jangan cepat menlak apa saja cadangan. Jangan cepat melatah jika orang syorkan sesuatu yang anda tak biasa dengar. Mungkin itu cara yang lebih baik daripada yang ada sekarang.

Jika pendapatan anda sekarang adalah RM200 ribu setahun, jangan segan-segan untuk percaya bahawa anda boleh jadikannya sebanyak RM500 ribu setahun. Dan seterusnya cabar lagi sehingga anda dapat RM 1 juta setahun. Tentu ianya boleh dicapai, cari jalan bagaimana dan jangan cari alasan.

Total
10
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

8 comments

  1. Kebanyakan masa ‘ cemuhan orang ‘ adalah siling yang pertama.
    Berani buktikan yang cemuhan itu salah,maka dapatlah kita pecahkan siling yang pertama,
    ke dua, ke tiga dan yg seterusnya.

    Saya suka tips perniagaan yang dikongsikan di sini. Ringkas dan deboom.

  2. Siling memang nampak nipis dan mudah dipecahkan. Hakikatnya, ‘siling’ sebenar amat susah nak dipecahkan. Selagi ada semangat dan keyakin, semua tak mustahil.

  3. Kalau nak pecahkan siling dengan cepat, kena gunakan peralatan yang betul , kalau guna kayu penyapu lambat la.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge