Kalau nak berniaga, tak perlu layan semua orang

By | 23/08/2012

purple-panels-1500x1000Salah satu kelebihan berniaga adalah kita boleh menentukan dengan siapa kita mahu memasarkan produk atau perkhidmatan yang kita tawarkan. Ertinya kita memilih siapa yang nak kita layan.

Tapi kadangkala para peniaga tidak sedar kelebihan ini. Mereka cuba memasarkan produk atau perkhidmatan mereka pada semua orang seramai yang mungkin.

Apabila sesebuah perniagaan itu cuba menjadi jaguh dengan melayan semua orang, maka perniagaan hilang fokus dan tidak dapat membina keunikannya yang tersendiri.

Yang lebih memburukkan lagi keadaan adalah kita akan hilang tenaga akibat keletihan melakukan kerja yang sia-sia dan tidak mendatangkan hasil yang optimum.

Cerita layan dalam berniaga

Ada sekali saya didatangi oleh seorang rakan yang menjalankan perniagaan dadih.

Dia memasarkan dadihnya di serata tempat di Lembah Kelang terutamanya di kantin-kantin sekolah. Jumlah pengeluarannya adalah sekitar 2 ribu dadih sehari.

Dalam pertemuan itu rakan saya mengutarakan satu masalah terhadap seorang prospek pelanggannya yang merupakan seorang Mak Datin. Rakan saya itu memberikan beberapa sampel dadih pada Mak Datin untuk dirasa dan ternyata Mak Datin amat suka pada dadihnya.

Mak Datin bercadang untuk memasarkan dadih tersebut pada rangkaian rakan-rakannya yang terdiri daripada kumpulan Mak-Mak Datin dan juga isteri kepada orang-orang yang penting.

Cuma masalah timbul apabila Mak Datin tersebut bertanyakan air apa yang digunakan dalam proses membuat dadih itu.

Rakan saya menerangkan dia menggunakan air paip yang dimasak dan itu membuatkan Mak Datin risau samada rakan-rakannya akan suka dengan penggunaan air paip.

Pening nak layan permintaan Mak Datin

Mak Datin mengesyorkan rakan saya menggunakan air mineral kerana ia lebih terjamin kebersihannya dan berkualiti tinggi. Kalau tidak, agak sukar untuk dia mengambil dadih tersebut.

Itulah yang menjadikan rakan saya serba salah dan tidak dapat jalan penyelesaian.

Kos jika menggunakan air mineral adalah tinggi dan dia tidak dapat mengekalkan harga dadih sebagai mana sekarang.

Persoalannya adalah macam mana nak buat, itulah sebabnya dia datang menemui saya.

Saya bertanyakan padanya berapa ramai jumlah Mak Datin di Lembah Kelang dan dari jumlah tersebut agaknya berapa ramai yang akan membeli dadih daripadanya.

Rakan saya terdiam lalu saya menjawab tak ramai jumlah Mak Datin berbanding pasaran semasa yang telah dibinannya.

Saya berpendapat adalah tidak berbaloi dia melayan permintaan Mak Datin tersebut yang mana ternyata peningkatan hasil daripada pasaran Mak Datin tidak memberangsangkan.

Adalah lebih baik dia menumpukan pasaran yang dia ada sekarang yang lebih fokus pada mereka yang berpendapatan rendah dan tidak terlalu memilih dan mengada-ngada.

Ini bermakna rakan saya tak perlu melayan Mak Datin dan sekali gus masalah tersebut tidak wujud dan tidak perlu difikirkan lansung.

Rakan saya bersetuju dan merasa lega kerana tidak terfikirkan apa yang saya sampaikan pada sebelum ini.

Jangan layan semua orang

Cerita di atas adalah contoh di mana para peniaga kadangkala terlupa yang mereka perlu menetapkan siapa pasaran mereka sejak awal dan istiqamah membina pasaran tersebut.

Apabila kita telah tetap dengan pasaran kita, masa yang ada boleh digunakan untuk memikirkan bagaimana membesarkan lagi pasaran tersebut dan menyediakan produk atau perkhidmatan yang paling ideal yang dapat memenuhi kehendak pasaran itu.

Bagi mereka yang terlupa, pastikan anda sedar siapa pasaran atau pelanggan yang anda mahu berniaga dan fokus terhadap pasaran itu sehingga anda berjaya.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge