Minggu ni, Perdana Menteri umumkan PKP dilanjutkan lagi untuk tempoh 2 minggu.

Tak mengejutkan sangat.

Ramai yang dah jangkakan tempoh PKP ni akan ditambah lagi sebab kes Covid-19 masih perlu dibendung lagi.

Yang lebih mengejutkan adalah, kebenaran berniaga kepada kedai gunting rambut. Itu satu pengumuman yang buat ramai orang terkejut! Apa kepentingan kedai gunting rambut yang membolehkan ianya beroperasi?

Macam biasa, isu ini diperkatakan dengan rancak. Saya baca komen-komen yang dibuat oleh rakyat negara kita. Rata-rata menyindir keputusan yang dianggap pelik itu.

Secara peribadi, saya memang tak nampak apa kepentingan perkhidmatan gunting rambut sampai ia dibenarkan beroperasi.

Cuma satu perkara yang baru saya perasan hasil dari apa yang berlaku. Kedai atau bisnes gunting rambut sebenarnya wujud dari dulu, sejak saya kecil sampailah sekarang.

Kedai gunting rambut Pak Mat Pekan Penanti

Kedai gunting rambut yang paling awal melintas keluar gambarannya adalah Kedai Pak Mat.

Kedai gunting rambut kecil, tersorok di belakang sedikit satu kedai ke dalam di sebelah jalan kepala simpang Pekan Penanti.

Kalau anda pernah baca. Saya ada buat coretan kisah kedai kopi nasi lemak gulai ikan kering di blog ini. Artikel itu antara yang paling banyak dibaca oleh orang kat sini.

Kedai Gunting Rambut Pak Mat terletak di sebelah kedai kopi yang saya ceritakan itu.

Tuan punya kedai gunting rambut tu memang namanya Mohammad.

Biasa, orang kampung akan panggil Mat saja pada semua orang yang bernama Mohammad.

Pak Mat merupakan ayah kepada kawan sekelas saya, Azizi, ketika di sekolah menengah dari tingkatan 1 sampai tingkatan 5.

Apa yang saya sedar, itulah kedai gunting rambut paling awal yang saya kenal. Arwah ayah bawa saya potong rambut di kedai Pak Mat sejak zaman kanak-kanak lagi.

Ada kalanya arwah akan potong sekali dan ada kalanya, dia akan duduk minum di kedai kopi Pak Neh sementara tunggu saya potong rambut.

Bila ayah meninggal, saya masih tetap pergi gunting rambut kat kedai Pak Mat. Cuma sekali sekala baru pergi ke satu lagi kedai gunting rambut Uncle India di hujung Pekan Penanti tu.

Kedai Gunting rambut Pak Mat sangat kecil. Cuma muat seorang sahaja sekali gunting. Memang kerusi khas gunting rambut dalam kedai dia ada satu saja. Orang lain yang menunggu giliran akan duduk atas kerusi kayu panjang tepi kedai tu.

Tak pernah pula saya tergerak nak tanya satu hari berapa ramai orang yang dia gunting.

Tapi seingat saya, dari awal dia datang buka kedai di waktu pagi sampai tengahari, rehat kemudian buka balik sampai petang, tak pernah sunyi dari kunjungan pelanggan.

Pak Mat bersaiz sederhana. Orangnya sangat kemas bergaya. Tak pernah saya lihat dia pakai pakaian yang tak elok. Malah tak pernah tengok dia pakai T-Shirt pun. Rambutnya tebal berminyak segak bersikat dengan rapi.

Paling ketara, Pak Mat sentiasa manis mukanya. Sentiasa tersenyum. Datanglah ramai mana orang pun. Tunggulah berapa ramaipun kat luar tu. Pak Mat akan buat kerja gunting rambutnya slow and steady. Seolah-olah hanya dia dan pelanggan seorang tu saja ada kat situ.

Dia tak banyak cakap. Kalau cakappun, sepatah-sepatah dan perlahan intonasinya. Tumpuan penuh diberikan kepada urusan gunting rambut orang itu sahaja dari mula sampai habis. Mungkin itu yang membuatkan orang rasa selesa dan jadi pelanggan setia.

Pak Mat kerja gunting rambut sehingga tua. Tak ada orang yang ambil alih kerjayanya. Setelah dia lanjut usia, anak-anak pula sudah dewasa semuanya, barulah Pak Mat berhenti. Masa saya berniaga nasi di kedai Pak Neh, saya rasa Pak Mat dah tak buka kedai gunting rambutnya lagi.

Setiap kampung pasti ada kedai gunting rambut

Saya baru perasan, yang tak ada satu kampung pun yang tak ada kedai gunting rambut. Tak ada satu pekanpun kat negara kita ni yang tak ada kedai gunting rambut. Kadangkala ada lebih dari 2.

Dari dulu sampai sekarang kewujudan kedai gunting rambut memang begitu.

Dulu, biasanya, kerjaya gunting rambut ni macam satu kerjaya keturunan. Kalau ayahnya kerja gunting rambut, seorang dari anaknya mungkin akan turun jadi tukang gunting rambut juga.

Paling lekeh, anaknya kalau tak buat bisnes gunting rambut, dia pasti pandai gunting rambut.

Masa saya sambung belajar dulu, mulanya di KL kemudian ke luar negara, ada kawan yang pandai gunting rambut. Dialah yang jadi tukang gunting rambut kami ketika belajar dulu. Yang bestnya, khidmat gunting rambut yang kawan-kawan berikan adalah percuma.

Bila diluar negara, kawan yang pandai gunting rambut berpisah duduk tempat tak sama. Saya beli mesin potong rambut, dan mula potong rambut sendiri. Untuk mudahkan kerja, saya akan pasang takuk 1 atau 2, dan botakkan saja keseluruhan rambut tu.

Dan sampai sekarang, saya masih buat kerja tu sendiri. Ada mesin potong rambut yang sentiasa saya sediakan kat rumah dari dulu sehingga sekarang.

Cuma bila sibuk tak ada masa saja, baru akan ke kedai gunting rambut untuk cukur kepala.

Cukur kepala di kedai gunting rambut

Di Puchong, tempat saya tinggal, ada satu yang saya sering pergi. Kesemua pekerjanya adalah tukang gunting yang datang dari India. Seorang dua saja yang fasih cakap Melayu. Yang fasih tu akan jadi penterjemah pada kawan-kawannya yang tak faham Melayu.

Saya kerap cukur kepala kat situ. Mereka siapa pakai uniform. Pekerjanya ramai. Antara 6 ke 7 orang. Mereka buka awal pagi dan tutup malam.

Dah cuba beberapa tempat termasuk di kampung di Penanti, nak rasa perbezaan dan buat perbandingan. Saya dapat rasakan tukang gunting rambut dari India tu semuanya lebih memuaskan hati saya.

Mereka cukur dengan sempurna. Tidak pernah membuatkan kulit kepala saya luka. Malah tak rasa sakit atau risau dengan cara mereka cukur.

Cuma satu saja masalahnya. Ada seorang dua, yang bila dibuat kerja cukur tu, banyak cakap. Dia cukur kepala sambil mulutnya tak berhenti bercerita. Memang sangat tak selesa. Ada masanya terasa juga tersembur air liurnya.

Namun begitu, kecekapannya cukur dengan selamat dan sempurna masih tetap sama.

Ramai pekerja asing di kedai gunting

Ada satu lagi kedai gunting rambut. Tapi agak jauh sedikit di pekan satu lagi. Pekerjanya warga Bangladesh. Ada 2 kerusi dan ada 2 orang pekerja. Ada 2 kedai juga sebelah menyebelah. Ksemuanya pekerja Bangladesh.

Kerja mereka juga sangat cekap dan selesa.

Mereka tidak banyak cakap. Berikan tumpuan kepada kerja mencukur dari mula sampai habis dengan selamat dan sempurna.

Bila saya duduk di Sg Pelek, saya cuba pakai khidmat tukang gunting rambut di sana pula. Ada 3 kedai kalau tak silap saya di pekan yang kecil tu. Kedai pertma yang saya cuba tukang guntingnya juga seorang warga Bangladesh.

Saya pergi sekali saja dan tak ke sana lagi selepas tu sebab dia kenakan bayaran mahal berbanding kesemua kedai yang saya pernah pergi. Cukur kepala kasi botak di charge RM17!.

Kalau di Puchong, mereka kenakan RM11 sahaja.

Kat pekan kecil itu juga, ada satu lagi kedai yang saya cuba. Tukang guntingnya ialah seorang uncle berbangsa Cina. Dia rakyat Malaysia, fasih berbahasa Malaysia. Saya lihat semua bangsa jadi pelanggannya. Melayu, Cina dan India.

Kerjanya juga sempurna. Malah saya rasa lebih selesa cukur dengan dia berbanding kedai India dan Bangla. Saya tak pernah ke kedai salon yang tukang guntingnya wanita, jadi tak tahu apa beza tukang gunting wanita dengan lelaki.

Harga yang uncle cina tu kenakan juga jauh lebih rendah berbanding di semua tempat. Dia cuma kenakan RM7 sahaja untuk kerja cukur kepala dan trim janggut dan misai saya. Malah dia orang pertama yang bila saya pergi bercukur, akan cukur habis kesemua bulu yang ada pada anak telinga.

Itu membuatkan saya rasa terus nak setia dengan dia.

Yang tak best cukur kepala dengan uncle Cina tu satu sahaja. Kalau ada kawan nya lepak baca akhbar berbahasa Cina dalam kedai tu. Mereka suka berborak panjang. Bila uncle tu cakap panjang, ada masanya, air liur berterabur ke udara.

Selain dari itu semuanya ok.

Cukup kepala sendiri jika ada masa

Tapi dalam suasana Covid-19 ni, saya rasa lebih baik saya cukur kepala sendiri pakai mesin.

Jimat duit, dan terjamin selamat tak perlu jumpa orang. Tak perlu juga risau kena sembur air liur di kedai gunting rambut.

Malam tadi, anak-anak saya buat projek gunting rambut mereka sendiri.

Mereka gotong royong gunting sesama mereka riuh rendah. Oleh sebab semuanya tak pandai gunting rambut, mereka ikut saja cara saya. Pakai takuk 1, dan ratakan saja keseluruhan kepala tu.

Bila saya turun bawah, semuanya dah botak kepala. Saya hanya tertawa dengan gelagat mereka.

“Selepas ni tak payah ke kedai gunting rambut lagi”, saran saya pada mereka.

Semuanya sambut dengan tertawa gembira.

Dengan semua yang saya cerita kat atas tu, adakah kedai gunting rambut ni satu keperluan asasi?

Adakah ia sampai ketahap kena beroperasi dalam suasana PKP ni?

Saya tak rasa ia perlu. Memang betul, ia memang penting. Tapi bukanlah sesuatu yang terdesak sampai ambil risiko dibenarkan berniaga ketika Covid-19 masih mengamuk.

Kalau rimas. Kalau nak kawal darah tinggipun, gunting saja sendiri. Tak tahu buka saja Youtube. Tentu ada tutorial kat dalam tu. Suruh pasangan anda belajar, Anda juga boleh belajar. Dalam suasana PKP ni, boleh ambil kesempatan untuk saling bekerjasama.

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge