Kelaku katak yang ada pada anda

By | 22/02/2013

Antara sebab negara Barat maju adalah disebabkan budaya mengkaji yang dipelajari daripada tamadun Islam suatu ketika dulu. Sifat ingin tahu mereka cukup tinggi sehingga berbagai kajian pelik mereka lakukan untuk cuba memahami kejadian.

Antara perkara pelik yang dilakukan secara tertutup adalah mengkaji tindakan katak-katak dalam 2 keadaan yang berbeza:

  • Memasukkan katak ke dalam bekas air yang panas.
  • Memasukkan katak ke dalam bekas air biasa dan panaskannya sedikit demi sedikit.
Dalam kes pertama, sebaik saja katak dicampakkan masuk dalam air panas, mereka akan terus terkejut dan berusaha melompat keluar dari bekas bagi menyelamatkan diri.
Bagi kes kedua, sebaik saja katak dimasukkan ke dalam bekas air yang nyaman itu mereka akan terus mendiamkan diri berendam di dalamnya dengan selesa. Walaupun suhu air meningkat sedikit demi sedikit kerana dipanaskan, mereka masih kekal berada di dalamnya dengan selesa.
Keupayaan katak menerima peningkatan suhu di dalam air yang dipanaskan sedikit denmi sedikit adalah disebabkan keupayaannya menyesuaikan diri dalam keadaan yang berubah secara perlahan.
Perkara yang paling menarik dan agak lucu bagi katak dalam kes kedua adalah mereka terus kekal berada di dalam air panas tersebut yang semakin panas sehingga mati di dalamnya menjadi masak!!!.
Apa persamaannya dengan manusia?
Saya telah saya tulis sebelum ini betapa sifat menyesuaikan diri banyak membantu kita untuk meneruskan kehidupan dan berjaya dalam hidup. Namun begitu, sifat yang sama jugalah yang membunuh dan menggagalkan diri kita, jika tidak beringat.
Seperti katak, jika manusia diancam dengan masalah secara drastik kita akan melompat cuba menyelamatkan diri daripada masalah tersebut.
Namun apabila kita diberikan suasana selesa pada mula dan disuntik masalah sedikit demi sedikit seperti tidak terasa, kita akan terus leka selesa sehinggalah masalah membesar dan tidak dapat diselamatkan lagi.
Manusia sifatnya tidak berapa terasa perubahan kecil kerana sifat menyesuaikan diri yang cukup hebat. Al Gore yang aktif menyedarkan dunia terhadap fenomena kepanasan bumi mengambil contoh yang sama terhadap katak bagi menggambarkan diri manusia yang terus leka sedangkan diri mereka sedang dipanaskan sedikit demi sedikit.
Kita tidak bersenam dan selesa dengan keadaan tersebut juga berpunca daripada perubahan sedikit demi sedikit yang tidak terasa akibat penyesuaian diri. Tidak bersenam meyebabkan perut buncit serta kegemukan meningkat sedikit demi sedikit. Akhirnya badan menjadi tong besar yang tidak terurus lagi dan kita masah tetap selesa.
Begitu juga makan banyak sekali gus tidak membuatkan diri kita gemuk sekelip mata. Tabiat makan banyak ini membuatkan diri kita montel perlahan-lahan tidak terasa kerana sifat menyesuaikan diri yang kita ada. Akhirnya saiz badan seperti hendak meletup, kita masih lagi selesa dan tidak merasakannya.
Pembaziran dalam perbelanjaan juga meyebabkan kita tidak terus muflis sekali gus. Sikap belanja lebih daripada pendapatan sedikit demi sedikit ini akhirnya membuatkan kita terkangkang tidak dapat diselamatklan lagi.
Sikap membuang sampah sedikit demi sedikit di persekitaran juga tidak membuatkan persekitaran menjadi busuk sekelip mata. Ia akan bertukar menjadio kotor sedikit demi sedikit dan perubahan bau bertukar perlahan-lahan tanpa kita rasa kerana sesuaikan diri. Akhirnya sekitar busuk seperti bangkai dan kita masih selesa.
Banyak lagi contoh yang boleh kita lihat di sekeliling jika kita mahu mencarinya. Dengan tahap perkembangan ilmu yang semakin tinggi pada kita membolehkan kita tahu mana betul mana tak betul, mana bagug dan mana tidak.
Al-Quran dan hadith juga cukup lengkap memberikan peringatan pada manusia mana boleh mana tidak. Untuk menagmalkannya kita perlu yakin dan sedar bahawa walaupun kesan yang berlaku adalah sedikit demi sedikit tanpa kita rasa, tetapi yang mana betul itu tetap betul dan mana salah itu tetap salah juga akhirnya.
Hanya pedoman dari ilmu dan keyakinan kita pada apa yang disampaikan saja yang kita ada sebagai panduan untuk diamalkan. Jika kita harapkan satu perubahan drastik agar kita terus melompat mengelakkan diri, ia tidak selalu terjadi.
Terlalu banyak kejadian yang berlaku disekeliling kita sedang memberikan peringatan, namun hanya sedikit manusia yang memikirkannya…itulah yang sering diulang-ulang dalam Al-Quran jika kita membacanya!
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge