Kenapa anda basuh berak?

By | 28/09/2012

Selection-Of-Screws-And-Other-Metal-Objects_Pada satu hari Andrew Carnegie dengan ditemani pengurus kilang, turun melihat keadaan sebuah kilang besi yang baru dibelinya.

Kilang tersebut mengalami kerugian teruk dan berada dalam keadaan tidak menguntungkan dalam perniagaannya, sebelum dibeli oleh Andrew Carnegie.

Keadaan kilang sungguh kotor dan berselerak teruk. Bahan besi dan segala peralatan bersepah di serata tempat.

Melihat keadaan kilang yang tidak terurus, kotor dan berterabur itu, Andrew Carnegie bertanya pada pengurus kilang,

“Kenapa para pekerja tidak membersihkan kilang dan menyusun dengan kemas dan rapi segala peralatan yang ada?.”

Pengurus itu dengan selamba menjawab bahawa memang begitulah amalan kebiasaan budaya kerja di kilang tersebut.

Memang suatu ketika dulu mereka sering membersih dan menyusun segala peralatan kilang sebelum pulang.

Tapi keadaan kilang akan kembali berterabur dan berselerak seperti biasa tidak lama selepas dikemaskan.

Akhirnya mereka membuat keputusan untuk membiarkan keadaan itu kerana jika dibersihkan pun akan berselerak dan kotor juga kemudiannya.

Andrew Carnegie memalingkan mukanya pada pengurus itu lalu bertanya dengan hairan,

“Kenapa anda basuh berak setiap kali selepas berak, bukankah selepas itu anda akan berak lagi?”

Tanpa menjawab pertanyaan Andrew Carnegie, pengurus terus bergegas kepada para pekerja dan mengarahkan mereka menyusun dan mengemas seluruh kilang setiap kali sebelum pulang.

Dengan perubahan yang ringkas itu sahaja, kilang tersebut mula membuat lonjakan perubahan yang mendatangkan keuntungan.

Cuba lihat di rumah atau di pejabat kita.

Mungkin ada perkara yang kita malas uruskan secara rutin dengan alasan ianya kerja sia-sia.

Kita sangka walaupun diuruskan, masalah yang sama akan berulang kembali seperti biasa maka lebih baik dibiarkan saja.

Itu mungkin sikap yang membawa kemerosotan pada tahap pencapaian kita selama ini.

Oleh itu cuba perhatikan apakah amalan kita selama ini terhadap perkara yang seumpama dengannya. Kenal pasti tabiat tersebut dan mulakan membuat perubahan.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge