Berapa kali dalam hidup, anda beli barang tak perlu. Bila tak perlu, terbiar begitu saja.

Kemudian ulang lagi kesilapan yang sama. Masih amalkan beli barang tak perlu. Ulang lagi dan ulang lagi sampai sekarang.

Bila agaknya nak sedar supaya berhati-hati dan hentikan beli barang tak perlu?

Atau mungkin selama ini anda tak sedar amalan asyik ulang beli barang tak perlu diamalkan dari dulu sampai sekarang?

Adakah anda beli barang tak perlu

Cuba semak semula segala barang yang anda miliki.

Di rumah, dalam kereta, di pejabat, dikampung, dalam beg, atas meja, dalam almari, dalam stor, bawah katil, dalam laci, dan di mana saja ruang yang anda ada.

Saya takut dan malu nak buat senarai barang tak perlu yang saya sendiri miliki. Sebab memang sedar masih terlalu banyak barang tak perlu yang ada bersepah di segenap sudut yang saya sebut kat atas tadi.

Yang parahnya, walaupun sedar asyik ulang kesilapan yang sama, beli barang tak perlu, masih juga terlanjur buat kerja yang sama berulang kali.

Anda boleh cuba congak sendiri. Buat senarai kecil segala barang yang anda ada, yang memang sebenarnya tidak diperlukan. Kalau diperlukanpun mungkin hanya sementara waktu sahaja.

Dan walaupun sedar barang itu sudah tak perlu lagi, masih simpan dan tidak diuruskan supaya ruang yang ada dikosongkan menjadi lebih lapang. Bukan sekadar lapang kawasan, malah dapat lapangkan dada dari rasa bersalah secara tidak disedari.

Bagaimana saya beli barang tak perlu

Saya hanya baru sedar sahaja bagaimana semuanya bermula. Apa pencetus yang membuatkan saya mula beli barang tak perlu yang berlaku secara tak disedari.

Apabila ianya tercetus, maka akan berlakulah aktiviti beli barang yang tak diperlukan secara berangkai-rangkai susah nak berhenti.

Salah satu contohnya begini…

Saya ubah suai rumah.

Hasrat ubah suai rumah itu asalnya memang suci murni. Semuanya bermula di kawasan dapur. Dapur lama yang cuma dibuat unjuran dari bahan besi macam kontena. Tarik bumbung, tarik naik dinding, kemaskan lantai simen.

Dapur itulah yang sebelum itu digunakan dengan jayanya. Tak ada apa-apa masalah sangat. Jika dipertimbangkan faktor keboleh gunaan dapur itu, ia sempurna dan mencapai matlamat.

Cuma bila musim hujan, bunyi irama titisan air hujan yang jatuh atas bumbung metal itu memang agak kuat. Oleh kerana ada sedikit ruang udara yang jaraknya kurang sekaki dari bumbung, membuatkan sedikit tempias kalau hujan disertai angin yang kuat.

Alasan kurang selesa yang sedikit itulah, ditambah dengan wujudnya ruang untuk tikus boleh masuk ke dapur dari luar, membuatkan keputusan ubah suai itu difikirkan tepat.

Maka saya buat keputusan untuk ubah suai dapur tersebut.

Projek ubah suai merebak jauh

Bila kontraktor dipanggil, saya tunjukkan ruang dapur yang mahu diubah suai. Masa bincang, timbul idea alang-alang ubah suai dapur, apa salahnya ubah suai ruang bilik kecil selepas dapur itu sekali.

Sebelah bilik kecil itu ada tandas dan bilik mandi.

Lalu merebak pula kepada bilik mandi itu. Elok buat sekali gus. Nanti kalau tangguh, bila nak ubah suai kemudiannya, akan jadi mahal pulak.

Apa kata luaskan ruang dapur sekali gus. Buang bilik kecil itu sebab tak digunakan sangat. Jadikan runag dapur lebih besar. Tentu isteri akan gembira dan memasak dengan penuh kasih sayang.

Eh! dapur yang besar ruangnya tak kan tak ada kabinet. Takkan tak ada table top. Oklah, pasang sekali semua itu.

Selepas itu merebak pula ke ruang tamu, perlu kemaskan siling. Cat semula dinding dan pasang lampu baru. Pasang kipas baru.

Semuanya mula merebak sedikit demi sedikit di tingkat bawah sampai ke depan rumah sekali dengan pagar besi dan pintu besi rumah berserta tiang sekali dengan lampunya.

Naik ke atas rumah pula di semua bilik untuk dibesarkan dan pasang siling ubah lampu dan tukar kipas angin. Tambah unjuran bilik utama kat atas, ada balkoni…

Dan akhirnya, saya terlanjur ubah suai keseluruhan rumah. Dari kos hanya dalam lingkungan RM20 ribu lebih, akhirnya mencecah hampir RM200 ribu !.

Untuk sahkan projek itu, saya pujuk hati kononnya itu aktiviti sekali seumur hidup.

Tambah lagi barang tak perlu

Rumah siap. Semua orang senyum. Saya juga senyum puas hati. Tapi dalam hati perit juga sebab habiskan ratusan ribu untuk buat semua projek itu.

Tapi masih tak sedar lagi.

Rumah dah baru. Takkan perabut nak kekalkan juga dengan yang lama. Mana boleh!, tak serasi.

Lalu saya tukar perabut. Alang-alang tukar, elok tukar yang berkualiti. Saya borong perabut jati dari ruang tamu sampai ke dapur.

Atas rumah juga tak kan nak biarkan. Tukar juga dan ada tambahan pulak!.

Sekali lagi berlaku aksi berangkai yang membuatkan saya beli dan tambah kesemua isi rumah dengan segala barang yang hakikatnya tak perlu.

Termasuklah dengan tukar TV, Peti ais, dapur masak dan lengkap habis merebak ke segenap penjuru yang lansung tidak ada dalam perancangan dari awal.

Pencetus beli barang tak perlu

Dari cerita di atas tadi. Kalau dihalusi, aktiviti yang agak perlu hanyalah ubah suai dapur sahaja.

Yang selain dari itu memang tidak ada dalam dalam senarai keperluan. Tak ubah suaipun pun tak mengapa. Tapi fenomena pergerakan berangkai membeli barang yang tak perlu itu berlaku tanpa dapat disekat.

Bila direnung semula, baru saya sedar rupa-rupanya begitulah kejadian amalan beli segala barang yang tak perlu berlaku selama ini.

Semua tercetus dari tindakan awal yang asalnya betul, perlu lalu dilakukan. Kemudiannya merebak jadi berangkai kepada semua perkara atau barang yang ada hubungan emosi dengan perkara atau barang pencetus.

Oleh kerana tidak ada satupun barang yang anda miliki tidak ada hubung kait antara satu sama lain, maka kesan berangkai akan berlaku tanpa disedari.

Bukannya ada hubung kait secara fizikal. Tapi hanya berhubung secara emosi. Mungkin warna, mungkin status, mungkin sepadan atau sedondon dan lain-lain lagi seumpamanya.

Moral cerita

Bagaimana nak halang tindakan bodoh kesan berantai beli barang yang tak perlu?

Paling mudah adalah jangan buat tindakan pertama seandainya benar-benar tidak terdesak. Pertahankan dan kemutkan tangan berkira macam tangkai jering.

Itu akan menyelamatkan anda dari kesan berantai beli barang yang tak perlu.

Kalau terpaksa beli juga belian pencetus itu, tahan diri dan kuatkan semangat untuk membuat penilaian secara objektif. Pertimbangkan betul-betul secara rasional dan objekitf, adakah kekalkan barang lama menghalang matlamat asal.

Macam yang saya sering katakan.

Ekonomi adalah kesan dari emosi. Untuk kuasai ekonomi, anda perlu kuasai emosi.

Kalau duit ada tak apa juga, walaupun ternyata masih tidak bijak.

Tapi kalau duit tak ada, masih buat juga beli barang yang hakikatnya tak perlu, maka kad kredit akan digunakan.

Dan semua itu membuatkan anda masuk jebak hutang yang dalam.

Cuba renungkan…

Total
26
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge