Kenapa anda dapat Limau Mandarin?

By | 06/02/2013

Raya Cina
Raya Cina dah dekat. Rakan senegara kita dari kalangan bangsa Cina akan menyambut tahun baru mereka tidak berapa hari lagi.

Ketika masuk pejabat semalam, saya terlihat sekotak besar buah limau mandarin atas meja mesyuarat. Buah tersebut sudah tentu bukannya dibeli oleh pekerja di syarikat saya, ia merupakan pemberian daripada syarikat-syarikat pembekal yang sering berurusan dengan syarikat saya.

Begitulah saban tahun, setiap kali masuknya Tahun Baru Cina, berkotak-kotak buah limau mandarin akan keluar dan masuk di serata pejabat. Ada yang memberi dan ada juga yang menerima.

Syarikat kepunyaan orang Melayu yang tak ada kena mengena dengan Tahun baru Cina juga tidak lepas menghadiahkan buah limau pada rakan niaga mereka dari kalangan bangsa Cina.

Raya Melayu
Hari ini kita lihat, setiap kali umat Islam merayakan Aidilfitri atau menyambut ketibaan ramadan para peniaga akan mula menghadiahkan samada kuih atau buah kurma pada pelanggan penting mereka. Bagi yang lebih baik akan menghadiahkan pada kesemua pelanggan tak kira kecil atau besar.

Nampaknya budaya memberi hadiah sebagai tanda penghargaan pada pelanggan sudah menjadi budaya biasa. Jika anda menghadiahkan sekotak limau atau seberkas kurma pada pelanggan, itu perkara biasa.

Tapi sebaliknya, jika anda langsung tak hadiah apa-apa dan buat tak tahu pada pelanggan penting, itu sudah menjadi perkarta luar biasa dan berkemungkinan anda sedang bersedia untuk tutup perniagaan.

Kenapa buat begitu?
Sebelum anda semua mengamalkan budaya memberi bersempena dengan setiap sambutan hari perayaan, berfikirlah sejenak kenapa perlu anda lakukan kesemua itu. Apakah sebab orang lain buat maka anda ikut  dengan rasa bosan sebab terpaksa keluarkan duit?

Atau anda benar-benar ikhlas untuk memberi?, dan kenapa agaknya anda bersusah payah memberi sebegitu pada pelanggan? apa yang anda mahu dapatkan hasil dari amalan tersebut?

Saya baru saja membincangkan hal yang berkenaan semalam dengan seorang kawan yang menjalankan perniagaan Insuran. Dia sedang mencari jalan untuk meningkatkan hasil pendapatannya yang berada di tahap RM250 ribu setahun sejak sekian lama.

Soalannya pada saya bagaimana boleh dia menggandakan pendapatannya dan pergi lebih jauh?

Jawapan yang saya berikan padanya mudah saja. Dia perlu ingat bahawa:

“Bagaimana cara yang dia gunakan untuk berada di tahap itu sudah tidak dapat lagi digunakan untuk membawanya ke tahap yang lebih tinggi”

Apa saja cara yang dia gunakan untuk meningkat dan meningkat dan akhirnya mendatar pada satu tahap perlu diubah. Tandanya sudah kelihatan apabila segala usahanya mengulangi cara yang sama untuk naikkan pendapatan menemui jalan buntu. Maknanya dia perlu ubah pendekatan lain untuk lebih berjaya.

Dia bersetuju dan sedar yang mereka perlu berubah pendekatan tapi ia bukanlah sesuatu yang mudah. Dia bertanyakan pada saya samada ada cara mudah untuk dia mengubah pendekatannya buat kerja bagi meningkatkan pendapatannya.

Berikut idea saya:

  • Sempurnakan sistem dalaman.
    • Apabila perniagaan sampai di tahap tertentu, tiba masanya kita perlu sentiasa membaiki dan membaiki sebaik mungkin keadaan dalaman syarikat kita. jadikannya sesempurna mungkin pada tahap yang paling cekap. Kehebatan dalaman anda akan menarik banyak peluang dari luar.
    • Tingkatkan tahap kepuasan para pekerja yang berkhidmat untuk syarikat anda. Tingkatkan keselesaan suasana bekerja di syarikat anda. Dan lain-lain lagi seumpamanya. Ini merupakan contoh pembaikan dalaman yang mampu merubah cara anda berniaga.
  • Kenapa pelanggan tidak kisah untuk tolong berikan pelanggan baru pada anda?
    • Itu soalan yang anda perlu tanya pada diri sendiri.
    • Perniagaan yang stabil biasanya berjaya mengekalkan sejumlah pelanggan. Jika ditanya pada pelanggan akan produk atau servis anda, mereka akan jawab baik dan puas hati, habis kenapa tak berikan pelanggan baru pada anda?.
    • Jawapannya mudah saja. “Apa yang anda sedang buat untuk pelanggan adalah sekadar apa yang sepatutnya semua peniaga buat”. Tidak ada markah bonus dalam cara anda berniaga yang membuatkan pelanggan menjadi amat teruja dengan anda.
    • Jika industri yang anda jalankan diumpamakan dengan sekawan kambing biri-biri di atas padang, anda akan dapati kesemuanya hampir sama saja tanpa ada sebarang keistimewaan. Anda akan pilih yang mana saja yang ada berhampiran dengan anda.
    • Bayangkan jika ada seekor kambing dalam kumpulan besar tersebut yang berwarna ‘jingga’. Agaknya adakah dia mampu menarik perhatian anda?
Kembali pada cerita limau mandarin di atas, sekarang anda tentu faham kenapa amalan memberikan limau mandarin berlaku. Dan kenapa amalan tersebut sudah tidak lagi mampu membuatkan kambing anda berwarna jingga…pendekatan lain perlu di cari.
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

2 thoughts on “Kenapa anda dapat Limau Mandarin?

  1. School Of Tots

    Kena bezakan antara rasuah vs hadiah? Memberi limau mandarin itu hadiah atau rasuah? Memberi sejumlah wang itu rasuah atau hadiah? Atau kedua-duanya sama saja maaa…mau dapat bisnes mau dapat projek?

    Reply
    1. Mohd Shubhi Abdul

      Bagi kurma…sempena bulan puasa
      Bagi limau…sempena CNY

      Bagi pada siapa…tentu pada mereka yang kita hargai

      Bagi duit…sempena? (Biasanya tak perlu ada semperna, duit diberi dgn harapan ditukarkan dengan peluang projek

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge