Kenapa anda nak jalankan perniagaan?Pernahkan anda bertanya pada diri sendiri kenapa anda nak jalankan perniagaan.

Atau kalau anda sudahpun menjalankan perniagaan, berhentilah sebentar dan tanya pada diri sendiri kenapa anda buat perniagaan yang sedang dijalankan.

Saya yakin semua orang yang terlekat pada blog ini, membaca berbagai artikel yang saya tulis di sini, ada keinginan untuk menjalankan perniagaan.

Kalau yang dah jadi usahawan pula, anda tentu luangkan masa sedikit untuk semak apa yang saya kongsikan di sini untuk mendapat sedikit pencerahan terhadap masalah perniagaan anda.

Terlebih dulu, izinkan saya ucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian anda semua yang sanggup luangkan sedikit masa emas anda, membaca segala tulisan di blog ini.

Walaupun seorang dua yang sudi menjenguk blog ini, ianya merupakan satu penghargaan dan galakan besar untuk saya terus menulis. Jumlah pengunjung tidak penting, tetapi kualiti pengunjung itu lebih penting.

Biarlah seorang dua sahaja membacanya dan mendapat manfaat hasil daripada perkongsian ini, daripada beribu orang yang masuk membaca dan tidak mendapat apa-apa manfaat.

Kenapa anda jalankan perniagaan

Berbalik pada pertanyaan yang tersebut di atas, mari kita fikirkan semula kenapa anda jalankan perniagaan. Atau lebih tepat lagi kenapa anda nak jalankan perniagaan?.

Mungkin saya boleh kongsikan perkara yang sama di sini dengan menjawab soalan kenapa saya buat blog hidup ringkas. Ya! Kenapa?.

Blog ini pada asalnya bukan berorientasikan perniagaan atau lebih tepat lagi tidak berorientasikan keuntungan. Namun begitu, sejak dari awal lagi ada ciri-ciri atau cubaan menawarkan sesuatu yang dirasakan ada permintaan.

Perkara utama yang saya cuba tawarkan adalah jalan penyelesaian untuk meringkaskan kehidupan yang kita sedia maklum amat bersimpang siur. Kita dikelabui oleh berbagai desakan kehidupan yang terbentuk hasil daripada kecenderungan kita untuk melakukan apa yang orang harap kita lakukan.

Buat apa yang anda nak buat

Ramai orang yang hidup sekadar berusaha melakukan apa yang orang jangkakan dari kita. Ada yang sedar keadaan ini tapi tak dapat buat apa-apa. Ada juga yang tak sedar sehingga tua dan hidupnya hanya mengikut aliran desakan tersebut.

Jika kita masih belum akil baligh, mungkin jalan paling selamat adalah menuruti apa yang yang dijangkakan dari kita. Tapi bila dah akil baligh, kita bertanggung jawab sepenuhnya ke atas apa saja tindakan tanpa ada pengecualian selain dari hilang akal. Jika hilang akal, semuanya jadi lebih mudah kerana tak ada orang yang boleh paksa kita lagi.

Jesteru itu, kenapa apabila kita bertanggung jawab penuh terhadap semua perlakuan kita, mesti terus menerus mengikuti apa yang orang jangkakan dari kita?

Itulah yang berlaku pada diri saya apabila buat keputusan untuk menjadi usahawan. Saya mahu buat apa yang saya nak buat dan ingin mengambil tanggung jawab penuh ke atas apa yang saya lakukan.

Mungkin ini satu motivasi berguna pada mereka yang sering bertanya pada saya janaln penyelesaian untuk masalah tak dapat berhenti kerja dan berniaga kerana dihalang oleh sanak saudara atau ibu bapa. Kalau ibu bapa kaya raya dan akan mewariskan anda harta yang banyak, mungkin lebih baik anda turuti saja kehendak mereka. Itupun jika kekayaan mereka yang anda nantikan.

Tetapi jika ibu bapa anda lebih kurang saja, kenapa kita perlu mengikuti jalan yang mereka tempuh?

Hasil dari semua persoalan yang saya sebutkan di atas, maka saya mula berusaha untuk merealisasikan apa yang saya mahu lakukan dalam hidup. Dan saya mulakan dengan meringkaskan semula kehidupan berdasarkan keperluan asas untuk menjadi usahawan.

Tak ada orang yang bersetuju dengan apa yang saya lakukan terutamanya keluarga, jika saya ceritakan apa yang sedang saya lakukan ketika itu. Jalan mudah adalah dengan merahsiakannya saja sehingga semuanya terbongkar. Jika terbongkar baru fikirkan jawapan.

Akhirnya dengan jalan meringkaskan kehidupan itulah saya berjaya bina semula jalan yang baru. Jalan yang meang saya mahu dan bukannya berdasarkan apa yang orang lain mahu.

Maka cerita hidup itulah yang saya kongsikan di dalam blog ini yang saya rasa merupakan satu tawaran yang ramai orang mahu. Ringkasnya, memang ada orang sudi menjadi pembaca blog ini dan itulah sebabnya blog ini masih lagi wujud dengan kunjungan yang memberansangkan.

Jadi kenapa anda nak jalankan perniagaan?

Apa hubungan dengan cerita saya buat tawaran penulisan di blog ini dengan salan yang saya tanya di atas?

Jawapannya adalah lebih kurang sama.

Saya menulis di blog ini kerana ada sesuatu yang mahu saya tawarkan dan saya pasti ada orang yang mahukannya.

Begitu juga jika anda mahu jalankan perniagaan, sebabnya adalah kerana anda ada sesuatu yang mahu ditawarkan pada pasaran yang anda sasarkan. Sebab itulah anda nak jalankan perniagaan.

Oleh itu, jika anda nak jalankan perniagaan, pastikan jelas dengan apa yang anda mahu tawarkan. Pastikan juga pasaran yang ada mampu membuatkan perniagaan itu dapat menyara kehidupan anda sekeluarga.

Itulah sebabnya anda jadi usahawan. Bukan kerana nak kaya, bukan sebab nak senang dan bukan sebab nak hidup mewah. Itu semua hanyalah hasil daripada perniagaan anda sahaja. Jika betul permulaannya, jika betul puncanya, hasil akan ikut secara automatik dari belakang.

Jika anda dah ada sesuatu yang nak ditawarkan, dirasakan tawaran itu ada permintaan kerana ia menyelesaikan masalah yang pasaran sedang hadapi, pastikan terlebih dulu perniagaan itu berpotensi tinggi.

Total
8
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge