Kenapa anda perlu botakkan kepala

By | 18/10/2012

kepala botakMemakai fesyen botak di kepala, banyak membantu meringkaskan kehidupan. Amalan botakkan kepala ini merupakan budaya yang baru popular.

Tidak sebagaimana zaman 80-an dulu atau sebelum itu, fesyen rambut panjang serabai ala rock keras menjadi kegilaan anak-anak muda. Kini ramai orang yang botakkan kepala boleh kita jumpa samada dari golongan muda mahupun tua.

Saya suka botakkan kepala atas beberapa faktor:

  • Rambut memang dah tak subur di bahagian depan. Barangkali faktor keturunan membuatkan fesyen rambut menjadi sulah di bahagian depan apabila usia meningkat. Untuk tidak kelihatan seperti badut, fesyen untuk mereka yang botak di bahagaian depan sudah tentu adalah botak keseluruhan kepala.
  • Menjimatkan masa. Banyak masa dapat diselamatkan dengan memakai fesyen botak kepala. Anda tidak perlu kerap berada di depan cermin untuk melihat keadaan rambut atau mengeluarkan sikap merapikannya. Aktiviti mandi juga menjadi lebih pantas. Kekerapan ke kedai gunting, menunggu giliran dan seterusnya membiarkan tukang gunting bermain-main di kepala anda juga berkurangan.
  • Jimat duit. Mereka yang botak tak perlu beli syampu anti kelemumur, tak payah beli sikat, minyak rambut dan lain-lain aksesori. Mungkin jumlahnya sedikit tetapi jika anda jaga wang siling, wang kertas akan menjaga dirinya sendiri untuk anda.
  • Faktor DIY. Untuk menjimatkan lagi wang, saya suka potong rambut sendiri. Ini lebih mudah dilakukan jika saya menggunakan mesin dan terus licinkan kepala. Sudah bertahun-tahun saya buat semua itu sendiri dan bayangkan penjimatan jika setiap kali ke kedai rambuat kosnya adalah RM10. Itu belum lagi masuk kos logistik dan parkir.
  • Membina ketrampilan. Kajian dari University of Pennsylvania terbaru yang ditulis dalam The Wall Street Journal mendapati mereka yang botak kepala dilihat lebih hebat dan gagah berbanding orang lain yang banyak rambut. Mereka juga kelihatan lebih dominan dan punya potensi kepimpinan yang lebih hebat. Faktor ini banyak membantu jika anda berniaga atau membina karier pekerjaan.

Tidak dapat dinafikan penyumbang paling utama saya terus botakkan kepala adalah faktor yang saya sebutkan di atas sekali. Namun begitu, ia juga memberikan kelebihan untuk saya memberikan tumpuan pada keistimewaan saya berbanding kekurangan.

Ramai daripada kita lebih suka melihat apa yang dia tidak ada berbanding apa yang dia miliki. Ini hanya mencetuskan kemurungan dalam kehidupan dan seterusnya membantut pembangunan potensi diri.

Walau apapun yang anda ada, bagaimana saja bentuk rupa paras anda, pupuklah semangat cinta dan sukakan diri anda sendiri. Inilah yang dikatakan bersyukur dengan apa yang ada dan gunakannya untuk kelebihan anda.

Berpeganglah pesan orang tua-tua, “beras secupak tak akan jadi segantang”.

Basuh saja beras itu dan masak serta hidangkan ia seadanya. Jangan dikeluh kesah kerana esok siapa tahu orang yang anda jamu itu akan menghadiahkan segantang beras pada anda!

Apa pendapat anda dengan amalan botakkan kepala ini… kongsikan sedikit pada ruang komen di bawah. Terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge