ikut jalan orang berjaya

Ini masalah besar!. Kenapa anda masih juga tak berjaya sedangkan dah ikut sebijik jalan orang berjaya?

Dah banyak cerita-cerita pasal jalan orang berjaya yang anda dah hafal. Terutamanya jalan orang berjaya yang selama ini menjadi idola.

Setiap kali tersiar cerita perjalanan hidup orang itu, pasti anda tak akan lepas dari membacanya. Semua jalan yang orang itu buat anda cuba hadam masuk ke dalam jiwa. Cuba ikutinya sebaik mungkin. Rasanya macam dah buat habis, tapi malangnya masih tak ke mana jugak?

Apa pasal ya?

Cerita sebenar jalan orang berjaya

Dah jadi kebiasaan apabila orang berjaya, ceritanya cukup laku. Akan ada saja orang yang pergi temubual dengan individu berjaya, waryawan, penulis dan siapa saja akan teruja untuk selidik rahsia bagaimana orang itu berjaya.

Memang itu genre penulisan atau cerita yang mendapat sambutan ramai. Tak ada orang yang nak dengar cerita orang yang dulunya susah kemudian sekarangpun masih susah. Cerita lingkup juga ramai yang tak berapa nak dengar.

Pernah sebelum ini, bila saya buat bengkel perniagaan, saya suka bawa kawan-kawan yang bisnes mereka dah melingkup. Saya suruh kawan-kawan itu kongsikan pengalaman bagaimana bisnes dia naik dan kemudiannya lingkup.

Dalam komen bancian selepas bengkel, saya dapat banyak komen minta bawa perkongsian kawan-kawan yang berjaya. Itu lebih mahu didengari berbanding yang lingkup. Tak dapat dinafikan cerita orang yang berjaya lebih menarik minat semua orang yang mahu berjaya sepertinya.

Tapi tahukah anda bahawa orang yang berjaya itu hakikatnya, dia sendiri tak pasti kenapa dia berjaya. Bila ditanya untuk kongsikan jalan yang dia lalui sampai membuatkan dia berjaya, maka sudah pasti dia akan cuba ingat dan mula bercerita.

Di situlah masalah mula timbul.

Jalan orang berjaya suku masak

Semua cerita yang dia kongsikan adalah jalinan dari banyak pengalaman yang dia lalui, ‘yang dia ingat’. Bukan saja ‘yang dia ingat’, dia akan berikan tumpuan lebih kepada cerita yang dia nak cerita. Sudah tentu ada cerita yang dia ingat, tetapi dia tak mahu cerita.

Kat situ saja kita dah boleh rumuskan bahawa cerita yang dia kongsikan adalah suku masak. Bukan cerita keseluruhan perjalanan yang membawa kepada kejayaannya.

Kemudian ada satu lagi perkara penting.

Perkara yang sebenarnya berlaku, yang turut sama membantu kejayaannya, yang dia tak sedar dan tak tahu. Perkara sedemikian sebenarnya adalah jauh lebih banyak daripada semua perkara yang dia tahu.

Jadi jalan orang berjaya sebenarnya boleh dirumuskan sebagai himpunan dari 3 perkara ini,

  • Tahu dan sudi kongsikan – Cerita yang dia ingat dan dia mahu kongsikan atau ceritakan pada orang
  • Tahu tapi disorokkan – Cerita yang dia ingat, tapi dia tak mahu kongsikan atas sebab-sebab tertentu yang dia saja yang tahu.
  • Tak tahu menahu – Cerita yang dia tak tahu berlaku sepanjang perjalanan hidupnya yang membantu kejayaannya. Dia tak tahu, jadi sudah tentu dia tak akan ingat.

Bayangkan jika anda hadam semua jalan orang berjaya yang diceritakan kepada anda, juga yang anda baca dalam blog, dalam buku memoir dan sebagainya.

Jalan yang anda hadam itu hakikatnya adalah jalan suku masak sahaja. Langsung tidak menceritakan hakikat sebenar jalan yang orang berjaya itu telah lalui.

Bila anda cuba ikut, maka sudah pasti tak akan jadi macam mana yang terjadi pada orang yang berjaya itu.

Buat cerita yang dah berlaku memang mudah

Manusia memang pandai buat cerita. Samada cerita itu betul atau tidak bukan perkara utama. Yang pentingnya dia akan kaitkan semua peristiwa yang dah berlaku untuk dijadikan satu cerita yang menarik yang dia sendiri suka.

Bila dia kongsikan dengan orang pula, sudah tentu dia akan goreng jalinan cerita yang orang lain juga suka nak dengar.

Bukan saya nak tuduh cerita orang berjaya yang dikongsikan pada kita itu adalah satu pembohongan. Memang ada ramai yang amat jujur dan suka berikan motivasi dengan cerita-cerita yang menaikkan semangat.

Tapi macam yang saya kata kat atas tadi.

Cerita yang anda dengar hanyalah cerita suku masak. Bukan jalan sebenarnya yang membuatkan dia berjaya. Bukan jalan lengkap yang membantu kejayaannya. Banyak lagi cerita yang tersorok samada disengajakan atau tidak.

Jadi tak payahlah nak ikut sangat secara membabi buta. Nanti anda akan kecewa.

Jangan tiru sebijik pendekatan orang

Ada cerita menarik dalam sebuah buku yang saya baca. Cerita berkenaan satu penduduk kampung ketika zaman perang dunia kedua.

Masa perang tercetus, penduduk kampung yang hidup dalam kesukaran, melihat ramai askar lengkap dengan pakaian ketenteraan hadir di penempatan mereka.

Saban hari dilihatnya para askar itu buat kerja mereka dengan mendapat bantuan makanan dihantar melalui kapal terbang di udara. Ada ketikanya akan datang kapal terbang berlegar di atas mencampakkan bekalan makanan dengan menggunakan payung terjun.

Orang kampung sering melihat semua kejadian tersebut.

Setelah kapal terbang itu pergi, para askar akan mula pergi kutip segala bekalan makanan yang dah jatuh ke bawah itu. Berbagai jenis makanan dalam tin diterima oleh askar yang biasanya akan turut sama kongsikan makanan yang mereka terima bersama dengan para penduduk yang kelaparan.

Begitulah saban hari berlaku sehinggalah tiba masanya peperangan tamat dan semua askar dah tiada lagi. Tinggallah orang kampung yang masih setia di kampung mereka.

Kalau masa ada askar dahulu, mereka turut sama dapat makanan, jadi tak timbul sangat masalah kelaparan.

Bila askar dah tak ada, kehidupan mereka nampaknya jadi lebih susah. Macam mana nak dapatkan makanan seperti mana yang askar-askar dulu dapat dengan mudah?

Apa yang orang kampung buat adalah, mereka tiru sebijik macam mana mereka lihat para askar dulu buat. Mereka pakai pakaian yang sama, beraksi sama macam askar. Ditambah lagi dengan replika kapal terbang seperti yang mereka lihat sering datang dahulu.

Itulah yang orang kampung cuba buat.

Tiru sebijik macam mana yang dilihat berlaku dengan harapan akan turun bekalan makanan macam mana askar dulu dapat.

Anda sendiri boleh teka samada orang kampung akan dapat bekalan makanan dari udara atau tidak.

Sudah tentu sampai kucing tumbuh tandukpun makanan tak akan turun dari udara.

Perlu faham sebab musabab

Cerita kat atas itu nampak macam cerita bodoh. Takkan ada orang kampung yang bodoh sampai macam itu.

Tapi cuba perhatikan semula sekeliling anda.

Berapa ramai orang yang suka buat benda lebih kurang sama. Mungkin anda sendiri pernah buat perkara sama. Tengok apa orang berjaya buat, ikut. Dengan harapan akan jadi macam dia.

Tengok Tony Fernandez pakai T-Shirt dan pakai topi merah, ikut, dengan harapan jadi macam Tony Fernandez. Tengok kawan ubahsuai pejabat dengan rekaan hebat dan dia berjaya, ikut juga. Moga anda akan berjaya macam dia.

Lebih kurang sama saja dengan apa yang penduduk kampung tu buat.

Apa yang orang buat, dia sendiri tahu sebab dan musababnya. Ada yang terang nyata dia sendiri tahu, ada yang tersembunyi yang dia sendiri tak sedar dan tak tahu. Tapi itu adalah jalan yang dia ambil dalam melayari kehidupannya.

Dia menggunakan kebijaksanaan yang dia dah kumpul, sedar sepenuhnya dengan semua keputusan yang dia ambil. Dan sentiasa peka adjust sana dan sini sehingga apa yang dia cari dijumpai. Itulah jalan sebenar yang membawa kejayaannya. Dan paling penting jalan itu adalah unik buat dirinya.

Jadi, kita. Anda dan saya. Perlu redah sendiri jalan yang ada, Berfikir dan sentiasa berfikir apa yang terbaik untuk diri sendiri. Imbangi dan buat apa saja perubahan yang perlu sehinggalah apa yang anda kejar itu tercapai.

Boleh tengok jalan apa yang orang ikut.

Tapi bukannya untuk tiru sebijik sampai tak tahu kepala ekor. Apa yang anda lihat itu hanyalah sekadar untuk mencetuskan idea untuk dipertimbangkan samada boleh diguna pakai atau tidak.

Sesuai atau tidak, anda sendiri perlu buat keputusan dan anda sendirilah yang lebih tahu.

Rumusannya, hidup seperti robot, dibiarkan semua tindakan berlaku pada diri sendiri secara autopilot, tanpa mahu mengunakan kebijaksanaan akal dalam berfikir membuat rumusan, bakal membuatkan hidup anda menjadi sia-sia dan membuang banyak masa.

Lepas ini, kalau baca cerita jalan orang berjaya, walau dalam blog ini sekalipun, sentiasa ingat. Itu bukanlah jalan sebenarnya yang membuatkan orang itu berjaya. Ada terlalu banyak lagi faktor lain.

Lebih mudah jika anda buat sendiri jalan menuju kejayaan anda.

Total
26
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

4 comments

  1. Artikel yang menarik. Memang ramai yang cuba tiru bulat2 gaya orang yang dah berjaya tanpa tahu pun apa kunci sebenar kejayaan tersebut. Setiap orang pace & motivasinya berbeza. Kumpul ilmu sambil kejar matlamat. Gunakan cara sendiri. Yang penting adalah bergantung sepenuhnya kepada Allah. InsyaAllah hidup tenang.

  2. masing-masing ada cerita yang tersendiri tentang kehidupan..

    memang tak akan sama.

    kadang-kadang seperti kata tuan..

    cerita orang gagal lebih jujur lagi dari cerita orang berjaya..

    sebab orang gagal bercerita tentang kejujuran tetapi orang berjaya bercerita menambah rasa dan emosi ..
    mrhanafi recently posted…Motivasi Irfan Khairi Terbaik 2018My Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge