Kenapa eksekutif hebat itu letak jawatan

By | 26/03/2014

kehidupan yang sederhanaDalam kisah hidup ringkas yang saya tulis beberapa hari yang lalu di sini, kisah berakhir dengan eksekutif hebat itu letak jawatan. Ada yang tak dapat tangkap kenapa dia meletakkan jawatannya sekembalinya dari percutian.

Bagi mereka yang tak berapa dapat tangkap kenapa eksekutif hebat itu letak jawatan, cuba baca semula jawapan yang diberikan oleh dirinya sendiri setelah nelayan itu bertanya apa yang dia nak buat dengan wang yang banyak jutaan ringgit itu.

Eksekutif itu sendiri menjawab apa yang sedang dialami oleh nelayan itu, iaitu tidur lewat sedikit, pergi ke laut sebentar untuk tangkap ikan, balik bermain dengan anak-anaknya, kemudian tidur sebentar di waktu siang untuk berehat bersama isterinya. Kemudiannya bersiar-siar di waktu petang di sekitar kampung, minum bersama dengan kawan-kawan dan melakukan berbagai aktiviti bersama kawan-kawanya.

Ertinya eksekutif itu sedang cuba meyakinkan bahawa nelayan itu perlu berusaha keras menjadi nelayan untuk membuat tangkapan yang besar, beli banyak bot, kembangkan perniagaan dan seterusnya menjual saham perniagaannya yang telah disenaraikan di bursa saham untuk mendapat berjuta-juta ringgit.

Kesemua itu memakan masa dalam lingkungan 25 tahun dan keseluruhan usaha keras itu, pengorbanan masa selama 25 tahun itu hanyalah untuk mendapatkan apa yang sekarang ini  dikecapi oleh nelayan itu dengan aman damai.

Eksekutif hebat itu letak jawatan bila tersedar hakikat kehidupan

Mungkin eksekutif hebat itu tidak sedar ketika memberikan jawapan spontannya pada nelayan. Dia berlalu begitu saja dan nelayan itu sebenarnya hanya menggeleng-gelengkan kepalanya sahaja apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh eksekutif tersebut.

Dalam kes itu, nelayan itulah yang sebenarnya mengajar eksekutif hebat itu apa ertinya kehidupan yang mencukupi. Untuk cukup dalam kehidupan, kita tidak semestinya memerlukan jutaan ringgit.

Sedar akan keadaan hidupnya yang sampai tak ada masa 15 tahun untuk bercuti bersama keluarga mengejar wang yang tak pernah cukup membuatkan eksekutif hebat itu meletakkan jawatan dan mula untuk menjalani kehidupan yang sebenar.

Ada orang yang hanya memerlukan ribuan ringgit untuk menyara kehidupan dan melakukan aktiviti yang bermakna dalam hidupnya. Apa yang penting adalah ia dapat menjana atau mencari pendapatan yang mencukupi untuk dirinya, anak isterinya dan lain-lain tangungan dalam kehidupan.

Namun apa yang berlaku dalam dunia sekarang adalah kita korbankan masa, tenaga, dan kehidupan lain semata-mata untuk menghimpun sebanyak mungkin wang yang kononnya dengan jumlah wang yang banyak itu, akan membuatkan kita mengecapi financial freedom yang sering diwar-warkan oleh mereka yang menggantungkan diri mereka pada wang.

Mencukupi bukan bermakna ada wang jutaan ringgit

Hanya kita sendiri yang tahu berapakah jumlah wang yang mencukupi untk diri kita. Asasnya adalah mudah iaitu jumlah sumber pendapatan yang masuk mesti lebih sedikit daripada jumlah sumber pendapatan yang kita guna atau belanjakan.

Untuk itu, kita perlu menetapkan gaya kehidupan yang kita ingini dengan jelas dan teliti. Jika dah ada gambaran jelas akan gaya kehidupan yang kita mahu itu, maka lebih mudah untuk kita mengira jumlah pendapatan yang diperlukan untuk menyara gaya kehidupan sebegitu.

Ada orang mahu kehidupan sederhana dan tidak menonjol. Ada kenderaan, ada tempat perlindungan, cukup makan dan minum dan ada lebihan untuk berjalan melihat kebesaran Allah di muka bumi, sudah mencukupi bagi dirinya.

Dalam bab menolong orang lain, ada yang berpandangan kita perlu banyak wang untuk membolehkan bantuan diberikan pada yang memerlukan. Hakikatnya, bantuan wang yang kita berikan biasanya hanyalah terlalu ciput dan tidak memberikan apa-apa kesan.

Kita berikan wang dan kita menjauhkan diri daripada manusia. Orang yang banyak wang ada kalanya tidak pernah membantu orang tua melintas jalan, mereka tidak pernah membantu secara fizikal, mereka yang memerlukan bantuan kerana biasanya hanya menggunakan wang untuk menyuruh orang lain bantu.

Itu membuatkan hati mereka menjadi keras dan tidak dapat menyelami hati nurani manusia yang kesempitan. Kononnya masa mereka emas dan bergaul dengan orang-orang seperti itu menjijikkan dan mebuang masa emas mereka untuk mengumpul lebih bayak lagi wang.

Namun begitu, jika anda boleh mencari jalan untuk meluangkan masa yang sedikit tetapi dapat menjana wang yang banyak, itu adalah jalan yang terbaik untuk dilakukan. Janganlah kita korbankan masa, tenaga dan kehidupan kerana mahu mengejar yang banyak dengan alasan wang diperlukan untuk membeli masa, tenaga dan juga kehidupan….dah faham rasanya kot…?

Author: Shubhi

Penulis merupakan seorang usahawan. Memiliki beberapa syarikat sendiri dan perkongsian dan diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Selesa dengan gaya hidup yang sederhana dan ringkas. Selain menulis dan membaca penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui program HR Biz Coaching. Jika anda ingin berbual dan ajak penulis minum kopi O, sila whatassp ke 013-3360807

One thought on “Kenapa eksekutif hebat itu letak jawatan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge