Kerja sikit hasil berganda

By | 24/08/2012

musing-mondrian-1500x1000Ramai yang suka kalau dapat dilakukan seperti tajuk yang tertera di atas, kerja sikit tapi hasil berganda !

Paling orang suka adalah jika boleh, tak kerja lansung tapi dapat hasil yang banyak.

Sebab itulah setiap kali munculnya perniagaan seperti Saham Pak Man Telo, masih ramai yang terperangkap. Ramai yang tak dapat menahan nafsu mahu relaks tak payah buat apa tapi pendapatan berganda.

Kerja sikit hasil berganda wujud

Kalau konsep tak buat apa-apa, tapi pendapatan lumayan tu tak wujud (kecuali anda anak jutawan), adakah konsep kerja sedikit tapi pendapatan berganda itu wujud?.

Bagi mereka yang tak tahu, jawapannya adalah YA!

Memang itu dapat dilakukan.

Bulan puasa yang berlalu baru-baru ini boleh dijadikan panduan. Dalam bulan Ramadan ada satu malam yang ganjarannya digandakan sebanyak 1,000 bulan.

Tetapi ada 3 langkah yang perlu dipenuhi terlebih dahulu.

  1. Amalan-amalan asas hendaklah tidak pernah ditinggalkan. Kesemua suruhan yang wajib perlu dilaksanakan sepanjang masa. Segala larangan perlulah dihindari sepanjang masa. Jika tersalah langkah perlu disesali dan dipohon keampunan sepanjang masa. Jangan lupa amalan muhasabah sepanjang masa dan lain-lain seumpamanya yang merupakan perkara asas. Tak boleh tunggu Ramadan saja baru nak buat kesemua itu.
  2. Perlu ada usaha mencarinya. Petua ada banyak diberikan oleh alim ulama dan terutamanya daripada Hadith Nabi yang memberikan pedoman bila masanya yang malam tersebut berlaku. Kebiasaannya ia berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan. Jadi lipat gandakan usaha pada 10 malam tersebut.
  3. Perlu ada ilmu. Berusaha mencari tanda-tanda dan mendalami petua agar lebih terperinci pengetahuan tentang malam tersebut. Begitu juga didalami amalan-amalan yang digalakkan dalam pencarian tersebut dan apakah doa-doa yang lebih utama untuk diamalkan pada malam tersebut agar kelebihannya adalak maksimum.

Selain daripada bulan ramadan, banyak lagi amalan-amalan yang utama di mana ganjarannya digandakan dari 10 kali, sehinggalah 700 kali.

Ini menunjukkan mereka yang mahu mencarinya dengan menambahkan pengetahuan boleh sentiasa menggandakan ganjaran amalan kebaikan mereka dengan beberapa amalan yang  mudah asalkan ketiga-tiga syarat di atas dipenuhi.

Kerja sikit hasil berganda dalam bisnes

Begitu juga dalam kehidupan seharian kita dan juga dalam perniagaan.

Jika perkara-perkara asas yang saya sebutkan di atas kita amalkan nescaya kerja-kerja kita mampu mendatangkan hasil yang berganda walaupun nampak seolah-olah kita kerja tak berapa banyak sangat.

Dalam kehidupan seharian atau perniagaan kesemua perkara asas juga kita tidak boleh tinggalkan.

Dalam perniagaan umpamanya produk atau servis perlu dipasarkan sebagaimana biasa. Aliran wang perlu dijaga. Operasi perlu diberikan perharian dan pembinaan sumber kemanusiaan  tidak boleh ditinggalkan.

Melalui kesemua kerja-kerja asaslah, kita dapat menentukan usaha yang mana satu mendatangkan hasil yang paling baik berbanding usaha-usaha lain.

Setelah kita menemuinya, tinggalkan segala usaha yang sedikit hasilnya dan berikan tumpuan pada usaha yang besar hasilnya.

Dari situ kita sudah memulakan perjalanan ke arah ‘kerja sedikit tapi hasil berganda’.

Biasanya dalam 100% usaha yang mendatangkan 100% hasil, hanya 20% usaha saja yang memberikan 80% hasil.

Itu dikenali sebagai Prinsip Pareto.

Apabila kita mengenal pasti apakah usaha yang meliputi 20% tersebut, maka segeralah tinggalkan usaha lain (yang meliputi 80%) untuk memberikan tumpuan ke arah kerja sedikit tapi hasil banyak.

Memang kita akan kehilangan 20% daripada hasil tetapi ia amat berbaloi apabila kita hanya kehilangan 20% hasil sahaja berbanding penjimatan usaha sebanyak 80%.

Contoh usaha sikit hasil berganda

Susah nak faham, tak apa saya berikan contoh mudah.

Cuba lihat berapa ramai kawan-kawan yang kita ada dan sering kita temui. Dalam kesemua kawan-kawan yang kita ada itu, senaraikan satu persatu serta catitkan faedah yang kita dapat daripada mereka sepanjang tempoh kita berkawan.

Kita akan dapati kebanyakan daripada kawan-kawan yang kita ada yang lansung tidak memberikan apa-apa faedah samada pada karier, perniagaan atau kehidupan kita.

Kebiasannya hanya sedikit sahaja yang berfaedah yang memberikan banyak impak dalam kehidupan, perniagaan atau karier kita.

katakan kita ada 100 kawan dan cuma 20 orang saja yang mendatangkan 80% faedah dalam kehidupan.

Oleh itu kenapa mahu buang masa meneruskan perhubungan dengan 80 orang kawan yang impaknya pada kita terlalu sedikit.

Berikan ruang masa yang lebih kepada 20 orang kawan yang amat berfaedah pada kita dengan mengurangkan masa bersama dengan 80 orang lagi tadi.

Ia tidak sukar kerana kita akan ada kelapangan sebanyak 80 peratus kerana meninggalkan kawan-kawan yang kurang berfaedah.

Kenal pasti dan dalami sifat serta ciri-ciri kawan kita yang 20 orang itu dan mula jadikan ianya sebagai pedoman untuk memilih kawan-kawan yang sesuai dengan diri kita.

Dari situ kita sedang membina rangkaian kumpulan kawan-kawan yang benar-benar sesuai dan mendatangkan faedah yang banyak pada kita.

Saya ulangi lagi di sini bahawa perkara asas tidak boleh ditinggalkan.

Dalam kes kawan ini, perkara asas adalah bermasyarakat. Jika kita tinggalkan perkara asas itu, tak ada apa yang kita boleh buat untuk memperbaiki kehidupan kita melalui kerja sedikit tapi hasil berganda.

Selamat mencuba dan kalau tak faham boleh tanya soalan melalui ruang komen di bawah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge