fabric-texture-1500x1000Sekarang dah masuk mood puasa dan raya, jadi elok juga tulis bab puasa dan raya sekali kat sini.

Setiap kali menjelang ramadan dan nak masuk hari raya, orang yang paling seronok ialah kanak-kanak.

Bagi ibu bapa, terutamanya yang berpendapatan rendah atau sederhana, ia bukanlah satu perkara yang menggembirakan.

Banyak duit yang terpaksa dikorbankan demi menyambut kedatangan hari raya. Nak kena beli atau buat kuih raya, nak bersiap hias rumah, nak beli baju raya dan segala macam mak nenek lagi. Semuanya dah jadi adat budaya orang kita.

Bila dah lanjut umur ni, baru nampak semua perkara itu. Tengok anak-anak senyum riang bila bawa mereka pergi beli baju raya. Dan saya juga dapat rasakan senyum perit, cabaran tengok duit keluar laju, terpaksa bayar semua kos perbelanjaan itu.

Untuk hilangkan semua rasa stress tersebut, sengaja saya imbau kembali zaman kanak-kanak dahulu. Cuba ingatkan kembali macam mana saya sambut kedatangan puasa dan menjelangnya hari raya.

Sambut puasa zaman kanak-kanak

Puasa zaman kanak-kanak dulu adalah sesuatu yang amat mencabar dan tidak menyeronokkan. Masalah utama sebab tak boleh makan dan minum.

Momentum puasa akan bertambah baik dari hari ke hari sehinggalah tamat bulan ramadan.

Seingat saya, ada juga masanya saya tak tahan dahaga ketika bersekolah rendah dahulu. Apa yang saya buat adalah, pergi ke tandas dan belasah minum air paip yang sejuk itu. Punyalah sedap dapat minum air paip sepuasnya.

Bila dah puas minum, keluar dari tandas dan sambung berpuasa macam biasa.

Masa tu langsung tak ada rasa bersalah. Lagipun hanya minum air paip saja dan tak makan apa-apa pun.

Itulah yang lucunya, boleh tahan pulak tak makan sampai ke waktu magrib. Sedangkan puasa dah terang-terang batal.

Pernah ketika pergi ke pekan dengan mak, saya mengamuk nak buka puasa sebab tak tahan tengok buah Tampoi yang tergantung cantik di gerai penjual buah.

Mak pujuk supaya jangan buka puasa dengan membeli buah tersebut. Saya angguk, janji akan tahan asalkan dia membelinya.

Tapi bila balik ke rumah, saya terus buka puasa dengan makan buah Tampoi tu. Bukannya sedap sangat, menyesal pulak buka.

Waktu malam di bulan puasa

Ini salah satu perkara yang paling menyeronokkan dalam bulan puasa.

Setiap malam akan ada Moreh di masjid atau di surau. Di surau tempat saya sering pergi solat tarawih di bulan puasa dulu, satu kampung akan bergilir menyumbang buat Moreh.

AJK surau akan buat 30 kumpulan yang terdiri daripada gabungan beberapa keluarga di seluruh kampung.

Biasanya satu kupulan akan ada dalam 3 atau 4 keluarga. Bila dah tahu kumpulan masing-masing, mereka akan berpakat untuk tentukan nak jamu apa masa Moreh nanti.

Makanan paling popular yang orang kampung buat adalah bubur kacang.

Punyalah kerap moreh bubur kacang sampai semua orang rasa jemu dan meluat. Biasanya kanak-kanak yang nakal akan kenakan Tok Siak. Mereka tuang bubur kacang masuk dalam kasut Tok Siak.

Saya masih ingat Tok Siak masa tu namanya Pak Lah.

Dia suka pakai kasut getah Fung Keong yang berwarna hitam. Kasut tu biasanya orang pakai untuk menoreh getah. Sekarang ada juga orang pakai buat masuk hutan yang basah.

Kasut getah itu kalis air, jadi mudahlah kanak-kanak nakal masukkan bubur kacang penuh ke dalam kasut Pak Lah.

Sebaik saja selesai semua kerjanya dan nak balik ke rumah, Pak Lah mengamuk sakan bila kakinya dipenuhi bubur kacang bila dia pakai kasut. Bubur kacang meleleh keluar dari kasut kesayangannya itu.

Selepas itu Pak Lah akan periksa terlebih dulu dalam kasutnya sebelum pakai. Terlebih lagi jika ada Moreh Bubur Kacang.

Abang sponsor beli baju raya

Masa kanak-kanak dulu saya tak pernah ambil tahu dari mana nak dapatkan duit untuk beli baju raya.

Tahu-tahu, mak dah sediakan baju melayu sepasang. Soalan dari mana datangnya duit tu tak pernah terpintas dalam kepala saya.

Bila dah nak dekat masuk raya, abang sulong biasanya akan balik kampung.

Dia bawa saya, adik dan juga abang ke Pulau-Pinang untuk beli baju raya. Kami dengan megah pergi ke Pulau Pinang, naik bas, kemudiannya naik Feri dan terus ke Penang Road.

Semua dapat seorang sehelai baju, sehelai seluar dan sepasang kasut baru.

Muka tersenyum dari awal masa pergi, sehinggalah ke masa balik. Seronok bukan kepalang dan tak sabar nak pakai semua pakaian baru tu bila tibanya hari raya nanti.

Bila dah besar baru saya tahu. Semua kos seronokkan sambutan raya kami adik beradik ditanggung penuh oleh abang sulong.

Saya boleh bayangkan kosnya bukannya sedikit. Abang pula bukannya kerja bagus sangat ketika itu.

Dia terpaksa terus kerja sebaik saja selesai MCE untuk sara seluruh keluarga.

Bapak masa tu tak berapa sihat dan kerja bapak pula tidak tetap. Saya tak pernah ucapkan terima kasih atas semua pengorbanan abang sulong tersebut. Masa tu, dapatkan baju raya adalah satu kemestian. Macam mana dapat, saya tak pernah ambil peduli atau terlintas nak fikirkannya.

Kalau abang sulong baca artikel ini, saya seikhlas hati dan rasa sebak di dada, ucapkan Terima Kasih tak terhingga pada segala jasa baik Abang selama ini. Hanya Allah saja yang dapat membalas jasa besar abang tu.

Abang bukan saja sponsor semua pakaian raya, malah dia juga yang sara semua perbelanjaan sekolah dan kehidupan kami sampai besar.

Masuk hari raya

Bila habis puasa dan masuk raya, macam biasa, awal pagi saya akan ke surau untuk tunaikan solat sunat hari raya. Masa tu lebih seronok ke surau sebab, solat kat situ lebih awal.

Bila selesai solat awal, bolehlah mula pergi beraya di seluruh kampung. Bukan beraya sangat, sebenarnya lebih kepada nak kutip duit raya.

Sepanjang hari raya tu, saya akan bekerja kuat dari pagi sampai petang untuk kutip duit raya. Mana-mana rumah yang diberitakan bagi banyak duit, akan saya buru. Dapat 50 sen masa tu kira dah amat besar. Untuk dapatkan RM1, memang amat jarang sangat.

Panjang lagi kalau nak cerita kisah puasa dan raya ni, tapi elok berhenti kat sini saja terpebih dahulu. Lain kali kita sambung semula.

Selamat berpuasa dan selamat menyambut kedatanag hari raya untuk semua !

Total
8
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

4 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge