Kongsi masalah dengan kawan-kawan

By | 10/07/2012

Kawan-kawan amat penting bagi makhluk sosial seperti manusia. Orang yang ramai kawan biasanya hidup ceria dan jarang mengalami masalah kemurungan.

Kajian mendapati mereka yang sering bertemu dan bermesra dengan kawan-kawan mendapat kesan yang tidak kurang baiknya untuk kesihatan sama dengan bersenam.

Amat rugi mereka yang menjadi kera sumbang asyik terperap di rumah tanpa menyambung silaturahim bersama kawan-kawan.

Walau apapun halangan yang kita hadapi pastikan kita istiqamah berkawan kerana terlalu banyak manfaatnya mengekalkan perhubungan dengan kawan-kawan di mana saja kita berada.

Selain daripada berkongsi kegembiraan, jangan lupa juga untuk berkongsi masalah bersama kawan-kawan.

Kita tentu punyai beberapa orang kawan rapat yang jujur dan setia mendengar sebarang cerita dari kita samada yang menggembirakan maupun yang menyedihkan.

Apabila kita berkongsi masalah dengan kawan-kawan, tidak semestinya mereka dapat membantu kita menyelesaikan masalah melainkan kita sendirilah yang perlu selesaikannya.

Namun begitu dengan hanya berkongsi masalah dengan mereka yang sanggup mendengar dengan ikhlas, separuh daripada masalah kita sudah selesai.

Sekurang-kurangnya kita berasa lega dapat meluahkan apa yang terpendam dan berlegar-legar di dalam kepala kita.

Jangan berlagak sempurna

Satu perkara penting dalam berkawan adalah jangan berlagak seolah-olah kita sempurna.

Sikap yang begitu membuatkan kawan-kawan menjauhi kita kerana biasanya orang yang sebegitu ada sikap yang sedikit berlagak ‘macam bagus’.

Tak ramai orang yang sukakan manusia sebegitu.

Apabila kita mengakui bahawa kita manusia yang banyak kekurangan, maka mudahlah kita merendahkan diri untuk menceritakan masalah kita samada masalah peribadi, perniagaan, kerjaya atau apa-apa saja masalah kehidupan.

Eratkan perhubungan

Ada orang yang merasakan mereka tidak perlu berkongsi masalah bersama kawan-kawan atas alasan tidak mahu menyusahkan mereka.

Lalu kita pendamkan sahaja dalam hati keseorangan sehingga ia menjadi racun yang memakan diri. Anda tentu terkejut apabila kawan-kawan sebenarnya amat gembira apabila kawannya sanggup berkongsikan masalah kehidupannya dengan mereka.

Antara mesej positif yang melegakan kawan kita apabila berkongsikan masalah adalah pernyataan terus terang tentang betapa lemahnya dan tidak sempurnanya kita.

Pengakuan tersebut membuatkan kawan kita lega kerana kita dan mereka adalah sama sahaja. Ini dapat mengeratkan lagi perhubungan sesama kawan-kawan serta memecahkan dinding perbezaan antara sesama kawan.

Berfikiran terbuka

Setelah kita meluahkan segala masalah, bersedialah untuk mendengar komen daripada kawan kita samada manis atau pahit.

Kadangkala kawan-kawan dapat melihat apa yang kita tidak nampak dalam diri kita. Kawan yang baik biasanya akan menceritakan pengalamannya dalam menghadapi masalah yang lebih kurang sama dengan kita.

Ini kadangkala dapat membantu kita menyediakan jalan keluar daripada masalah yang sedang kita hadapi.

Kadangkala kawan-kawan hanya mendengarnya sahaja dan berterima kasih pada kita kerana berkongsi sesuatu yang tidak pernah dialaminya untuk dia jadikan pedoman di masa mendatang.

Walau apapun respon daripada kawan kita terima sahaja dan jangan mengharap untuk melemparkan masalah kita itu menjadi masalah mereka.

Selepas ini jika anda menghadapi sebarang masalah, pastikan anda luahkannya pada kawan-kawan rapat anda.

Jika anda dapati tiada seorangpun kawan rapat yang boleh dikongsikan masalah, anda perlu risau kerana ada kemungkinan anda akan hidup tidak lama dan mengalami masalah kemurungan suatu hari nanti.

Luangkan masa untuk membina rangkaian kawan-kawan yang ikhlas dan sanggup meluangkan masa bersama anda. Untuk itu anda juga perlu sekali-sekala berkorban masa untuk mereka. Meluangkan masa untuk kawan-kawan adalah satu pelaburan yang sedikitpun tidak akan rugi, percayalah.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge