Kurangkan memandu lebihkan berjalan kaki

By | 04/06/2012

Sudahkah anda siapkan senarai perkara paling penting dalam hidup anda?

Kalau belum jangan risau sampai ia mengganggu kehidupan. Anda masih boleh teruskan amalan hidup ringkas segera dengan berazam untuk lebihkan berjalan kaki dan kurangkan memandu kenderaan.

Kita hidup sekarang lebih mirip kepada orang malas apabila hampir keseluruhan urusan kita lakukan dengan menggunakan kenderaan.

Kita lupa selain daripada menekan pedal brek, minyak dan clutch, salah satu kegunaan penting kaki yang dianugerahkan oleh Allah adalah untuk berjalan kaki di atas hamparan muka bumi ini.

Malas berjalan kaki

Cuba kita imbas kembali dalam masa satu hari berapa banyak perjalanan yang kita gunakan dengan jalan kaki.

Kadangkala kita pergi beli nasi lemak untuk sarapan pagi dengan berkereta dan kita letak kereta betul betul di sebelah warung nasi lemak.

Ada juga yang lebih teruk apabila meletakkan kenderaan mereka betul-betul depan penjual nasi lemak sehingga mengganggu orang lain yang mahu membeli.

Saya kerap melihat mereka yang bersikap sebegitu seolah olah tidak ada perasaan selain daripada mementingkan diri sendiri. Dengan enjin kereta dibiarkan mengaum menambahkan lagi rimas pada orang lain apabila bahang panas terkena pada mereka yang sedang sabar berdiri menunggu giliran.

Kita juga pergi ke Masjid atau Surau dengan memandu kenderaan sedangkan jarak perjalanan antara rumah kita dengan masjid bukanlah jauh.

Kewujudan Masjid dan Surau di negara kita yang cukup banyak sebenarnya memungkinkan kita pergi ke sana dengan berjalan.

Begitu juga di tempat kerja, kita sanggup keluar awal di subuh hari semata-mata untuk dapat pakir berhampiran dengan pejabat.

Apa salahnya jauh sikit dan berjalan di pagi hari untuk ke pejabat, sekurang-kurangnya ia memberikan kita sedikit masa untuk melonggarkan otot dan mencari ilham untuk urusan hari itu.

Baiklah!,

Tak perlu kita panjangkan leteren tentang berlebihan memandu ini sebab kita semua sudah maklum bagaimana kita amalkan kehidupan kita sendiri. Bagi mereka yang tak ada kenderaan, sebenarnya mereka amat beruntung kerana menjadi manusia yang lebih banyak berjalan kaki daripada memandu.

Kelebihan berjalan kaki

Mari kita cuba senaraikan kelebihan berjalan kaki.

  1. Orang yang banyak berjalan kaki setiap hari biasanya lebih baik tahap kesihatan mereka. Mereka biasanya lebih slim dan awek muda.
  2. Lebih banyak jalan kaki boleh menjimatkan kos bahan api bermakna kita boleh gunakan wang tersebut untuk perkara lain yang lebih berfaedah atau menabung untuk membesarkan akaun simpanan kita.
  3. Kita juga seterusnya menjadi salah seorang warga dunia yang membantu kurangkan pencemaran udara dan pencemaran bunyi yang kini berada di tahap yang kritikal.
  4. Dengan kesihatan yang lebih baik hasil dari banyak berjalan kaki membuatkan masa sihat lebih panjang dan hidup kita lebih produktif. Kos perubatan yang amat mahal kini juga berjaya dijimatkan dan kita ada satu lagi sumber lebihan untuk menabung.
  5. Orang yang berjalan kaki dalam keadaan orang lain berkenderaan memotong kita dengan laju dan hebat mampu mendidik jiwa merendah diri. Kita boleh cuba menyelami perasaan orang lain yang memang tak ada kenderaan. Cuba jalan kaki di tepi jalan raya dengan berpakaian kemas sambil menyendeng beg kerja. Anda akan rasa risau atau malu kalau ada orang yang kenal melihat, timbul rasa segan jika disangka kereta kena tarik. Saya dah banyak kali lalui pengalaman ini setiap kali hantar servis kereta dan berjalan kaki sejauh 5 km ke pajabat merentas jalanraya dan traficlight.
  6. Kebiasaan berjalan kaki membuatkan orang yang mengenali anda tidak terfikir yang anda dalam kesusahan apabila kereta kena tarik. Biasalah, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Cuma anda mungkin berjalan kaki lebih daripada biasa. Ini memudahkan kerisauan yang mungkin akan timbul akibat malu pada orang.
  7. Berjalan kaki dalam tempoh lebih setengah jam secara berterusan setiap hari cukup untuk menjaga kesihatan kita dan dalam tempot tersebut banyak perkara yang boleh kita fikirkan termasuklah bermuhasabah dan berangan angan akan kejayaan kita pada masa akan datang.
  8. Otot kaki semakin kuat. Kelebihan anggota manusia cukup ajaib apabila semakin digunakan semakin kuat asalkan tidak digunakan secara melampau dan berjalan kaki bukanlah sesuatu yang berat. Kalau barang ciptaan manusia, semakin digunakan semakin lusuh. Cuba berjalan kaki ayam dan lihat perubahan tapak kaki, ia semakin kuat kematu berbanding tapak kasut yang biasanya haus. Jangan tunggu lutut menjadi lemah, takut anda akan mula kempunan nikmat berjalan kaki.

Cukup setakat itu sahaja kelebihan berjalan kaki berbanding memandu yang saya rasa kita patut pertimbangkan segera untuk diamalkan. Jadikan ia satu amalan hidup ringkas kita agar kita dapat kecapi hidup yang lebih bermakna. Selamat mencuba.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

4 thoughts on “Kurangkan memandu lebihkan berjalan kaki

  1. Anonymous

    jalan kaki memang best.
    tapi saya pun suka driving je…
    sebabbb
    cuaca.
    panas.Tu yang x tahan menapak tu en shubhi
    kat uk jln berkilometer mmg tak terasa sebab cuaca juga lah
    (sekadar pendapat)
    tq for sharing.

    Reply
  2. Anonymous

    Saya suka membaca sesuatu yg lain perspective kebanyakan org.Terima kasih sbb menulis sesuatu yg lain dari pemikiran orang biasa.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge