_SRU7237Ada dua sikap yang sering kita amalkan apabila meluahkan jangkaan masa depan. Tak kisah samada masa depan itu bakal berlaku dalam masa terdekat, sederhana dekat, atau lama lagi.

Ada yang buat jangkaan atau mengharapkan yang terbaik, namun begitu jangkaan sebegitu agak jarang berlaku. Kalau adapun biasanya kita lebih suka pendamkan saja dan simpan rasa seronok dalam hati. Mungkin anda masih tak faham maksud saya, tak apa, terus membaca untuk faham.

Satu lagi sikap yang biasa kita amalkan adalah membuat jangkaan buruk terhadap masa depan. Sikap ini kita biasa luahkan secara perkataan dengan kongsikannya bersama orang lain.

Contoh paling mudah yang terlalu ramai mengamalkannya sering berlaku kepada kebanyakan orang yang makan gaji(orang yang berniaga juga biasa buat tapi agak berkurangan). Mereka sering jangkakan yang buruk apabila masuknya hari ahad petang.

Ayat seperti dibawah macam dah jadi mainan bibir pada pekerja makan gaji yang tak suka dengan kerja mereka,

“alahai!, esok dah nak pergi kerja pulak dah!, terpaksa mengharungi satu minggu yang sibuk dan membosankan lagi…!”

Itu adalah satu contoh mengeluh yang tak elok diamalkan sehingga menjadi sikap diri. Keluhan itu adalah contoh kita buat jangkaan yang buruk untuk masa depan sedangkan esok belum tentu ada dan masih lagi belum berlaku.

Hentikan buat jangkaan buruk

Banyak nasihat daripada pengkaji rahsia kebahagiaan dan kejayaan mengajak kita sentiasa berikan tumpuan pada masa sekarang, di sini, waktu ini. Ertinya berikan tumpuan pada keadaan semasa yang semua orang boleh kawal samada secara mental maupun secara fizikal.

Bila kita mula mengeluh dan buat jangkaan buruk untuk masa depan, kita dah buat perkara yang tak betul. Kita tak sedar bahawa kita sebenarnya boleh buat sesuatu untuk jadikan masa yang akan datang lebih baik hanya dengan membuat persediaan mental pada masa sekarang.

Bila anda jangka sesuatu yang buruk, biasanya yang buruk itulah yang anda akan dapat. Anda mula percaya itu dah jadi corak berulang dan kebiasaan buat diri anda. Dan ia akan berterusan begitu selagi jangkaan yang buruk tidak dikawal secara sedar.

Saya sering dengar orang mengeluh,

…nak jumpa mangkaq tu lagi esok….!

… aku akan sibuk tak tentu hala minggu depan, ini semua buat aku stress…!

…aku lagi teruk, minggu depan aku kena buat….!

…nak mai cuti pulak dah….!

dan bermacam-macam jangkaan yang tak menyeronokkan lagi. Anda tentu biasa buat macam tu dan boleh berikan contoh yang sering disebutkan kat bawah ruang komen nanti kalau sudi kongsikan.

Apa berlaku bila buat jangkaan buruk

Apa yang pasti berlaku setiap kali anda buat jangkaan buruk untuk masa yang akan datang adalah anda terus hilang mood masa itu juga sebaik saja lafaz tersebut dikeluarkan. Sedangkan jangkaan yang and asangka buruk itu belum tentu lagi akan berlaku.

Apa saja yang sedang anda lakukan ketika terus jadi tak ceria. Kesannya membuatkan apa yang sedang anda lakukan ketika itu tidak dapat dihayati dengan baik. Kalau anda sedang buat kerja penting, sudah tentu hasilnya jadi buruk.

Bayangkan orang yang asyik buat sesuatu kerja sentiasa sahaja buruk, bagaimana nak maju pada masa yang akan datang sedangkan apa yang sedang anda buat sekarang banyak menentukan kejayaan di masa depan (jika diizinkan Tuhan).

Maka berterusanlah hidup anda tak menjadi. Apa saja kerja anda tidak membuahkan hasil yang hebat dan anda jadi macam kebanyakan orang lain yang tak pernah suka dengan kehidupan yang sedang dilalui.

Amalkan buat jangkaan yang terbaik

Setiap kali anda terfikirkan perancangan atau kerja yang perlu ditempuhi pada masa yang akan datang, bayangkan yang terbaik.

Lafazlah ayat pengharapan dengan penuh yakin bahawa yang terbaik akan berlaku. Dengan berbuat begitu anda mendisiplinkan diri untuk sentiasa buat jangkaan yang terbaik walau apapun yang bakal berlaku.

Anda boleh sebut,

…minggu depan insyaallah merupakan minggu yang hebat bagi aku…!

… tak sabar nak tahu apa perkara hebat yang bakal aku pelajari minggu esok…!

…insyaallah akau akan menjadi usahawan yang berjaya lima tahun lagi…!

Dan berbagai lagi ayat yang positif yang anda sendiri tahu berdasarkan apa yang anda rancang untuk lakukan selepas ini.

Setiap kali nak kongsikan dengan kawan atau siapa saja berkenaan apa yang bakal berlaku di masa terdekat, atau lama lagi, pastikan anda bertanya terlebih dahulu nak sebuat atau buat jangkaan buruk atau terbaik.

Pantau apa saja yang keluar dari mulut anda sekarang kerana ia membuatkan anda rasa segar dan bersemangat ketika itu.

Apa berlaku bila buat jangkaan terbaik

Bila anda bersemangat dan ceria, anda akan lebih yakin untuk mengharungi apa yang sedang dilakukan ketika itu. Keyakinan dan tumpuan berserta dengan keseronokan melakukan sebarang aktiviti bakal membuahkan hasil yang hebat.

Bila anda buat kerja sekarang dengan hebat, anda akan menjadi lebih hebat pada masa yang akan datang (Insyaallah). Dan ketahuilah bahawa perkara kebaikan sifatnya adalah berganda.

Baru saja niat nak buat kebaikan (positif) anda sudah mendapat ganjaran. Bila berlaku dan anda buat perkara itu, dapat lagi satu kebaikan.

Sebab itu tidak menghairankan orang yang berjaya, kejayaan berganda-ganda atau apa yang orang putih kata kenaikan yang ‘exponential’.

Cuba lihat orang yang berjaya. Mereka jauh meninggalkan anda hari demi hari tahun demi tahun. Yang berjaya semakin berjaya. Memang itu resan perkara yang baik.

Ia jauh berbeza dengan perkara buruk atau dalam maksud biasa kegagalan. Sekali anda buat jangkaan buruk, walaupun memang buruk yang berlaku, keburukan tidak merudum dengan laju.

Sebab itu orang yang tak berjaya, mereka menurun dengan perlahan sedikit demi sedikit dan bukannya menjunam jatuh. Memang begitu sifatnya perkara negatif, kesannya perlahan-lahan secara linear dan bukannya secara exponential.

Oleh itu, sebagai makhluk yang beriman, kita sepatutnya bersyukur dengan keadaan kehiduan yang sebegitu. Untuk berjaya, kejayaan demi kejaayan sifatnya berganda-ganda. Manakal keburukan sifatnya linear sahaja. Kenapa tak ambil peluang tersebut sekarang dengan sentiasa buat jangkaan terbaik untuk masa yang akan  datang.

Amalkan buat jangkaan terbaik

Saya memberikan pesan ini buat diri saya sendiri agar sentiasa kawal perkataan setiap kali nak buat jangkaan atau nak kongsikan pada orang lain.

Malah kita boleh sebut untuk diri sendiri setiap kali duduk seorang diri bahawa esok adalah satu hari yang hebat dan penuh bermakna, insyaallah. Jangan lupa perkataan Insyaallah itu kerana kita orang beriman.

Moga kita dapatkan amalkan aktiviti buat jangkaan ini bermula dari saat ini. Semuanya bermula di fikiran. Dan walaupun difikiran anda bayangannya adalah tak berapa baik, ubah semua itu dengan lafaz yang membina.

Insyaallah lafaz anda akan jadi satu doa. Dan apa saja sebutan yang baik anda terhadap jangkaan mendatang, insyaallah akan mula bertukar menjadi kenyataan. Selamat buat jangkaan terbaik untuk kehidupan anda.

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

10 comments

  1. Inshaallah setahun lg saya akan resign!… err kira jangkaan yg baik or… x baik… berubah dr comfort zone to other challenging zone…

  2. Saya suka dan setuju dengan teguran ini. Ayat dan sebutan adalah doa.
    Sebut yang baik, bina harapan yang baik in sya allah segalanya akan jadi baik.
    Selalu positif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge