Reading Glasses On Book With Hot Tea DrinkBila kali terakhir anda habiskan sebuah buku ?

Malang bagi kebanyakan orang kita apabila membaca buku itu bukanlah sebahagian daripada aktiviti rutin yang mereka amalkan.

Berbagai alasan yang diberikan oleh ramai orang yang cuba merasionalkan perangai mereka yang tidak suka membaca.

Antara alasan yang paling popular adalah mengantuk setiap kali membuka dan membaca buku.

Pada anda yang ringan mulut menggunakan alasan tersebut, cuba tanya diri sendiri, betulkah itu merupakan satu alasan yang kukuh dan benar untuk menafikan salah kerja penting yang perlu dilakukan oleh orang yang nak maju dan berjaya ?

Jika anda betul-betul jujur nak maju ke depan, berusahalah untuk jadikan membaca itu sebahagian daripada aktiviti rutin anda.

Membaca itu sebahagian daripada kerja

Jangan risau dan rasa bersalah duduk diam di satu sudut untuk membuka buku dan mula membaca.

Saya kata begitu sebab perasaan bersalah itu pernah menghantui fikiran sebelum ini.

Pernah terjadi, saya sering rasa bersalah apabila diwaktu kerja dari pukul 8 pagi sehingga pukul 5 petang, masa diluangkan untuk membuka dan membaca buku.

Perasaan bersalah itu muncul hasil daripada persepsi bahawa membaca bukanlah sebahagian daripada kerja.

Saya yakin ramai lagi diluar sana yang anggap membaca itu bukan sebahagian daripada urusan kerja.

Bagi kebanyakan orang, kerja itu adalah satu aksi yang menyibukkan dengan berbagai pergerakan fizikal. Segala kerja lain yang menggunakan akal tanpa adanya aktiviti fizikal dianggap sebagai bukan kerja.

Mungkin itu betul satu ketika di zaman dahulu kala di mana produktiviti hanya dikaitkan dengan aktiviti pembuatan. Petani kerjanya membela pokok. Tukang besi kerjanya menghasilkan peralatan besi dan begitulah seterusnya, semuanya berkisar dalam kerja kasar.

Tapi dalam dunia sekarang yang sudah mencapai tahap kemajuan yang tinggi, aktiviti penggunaan akal semata dalam urusan merancang dan mengurus merupakan salah satu daripada urusan kerja yang amat penting.

Takrifan terhadap produktiviti sudah berubah. Ia bukan hanya diukur daripada berapa banyak produk yang anda keluarkan dalam tempoh satu jam.

Duduk merancang strategi dan mengurus perniagaan serta berbincang menentukan hala tuju syarikat adalah jauh lebih penting daripada terperangkap dalam kesibukan aksi kerja fizikal.

Perasaan bersalah itu saya abaikan dan terus membaca dan membaca. Samada pada waktu kerja mahupun bukan.

Hasilnya ternyata menakjubkan !

Daripada tabiat membaca itulah saya mula nampak lebih jelas apa yang saya perlu lakukan untuk terus memajukan diri sendiri dan juga perniagaan.

Malah semua buku motivasi diri yang saya baca menyarankan agar orang yang mahu berjaya perlu membaca.

Sekarang saya yakin dan selesa membaca tanpa ada langsung perasaan bersalah. Kerana saya tahu itu amat penting jika saya mahu ke depan, membantu diri sendiri dan membantu orang lain.

Akibat membaca dianggap bukan kerja

Perkara paling ketara yang terjadi pada orang yang tidak membaca adalah kebuntuan untuk mencari jalan memajukan diri sendiri.

Jika anda seorang usahawan, malas membaca membuatkan anda mudah terpengaruh dengan andaian palsu dari pengalaman anda sendiri.

Berapa ramai yang anggap dia boleh pergi jauh dengan kerja seorang diri ?

Andaian itu berlaku apabila 3 orang pekerja yang pernah cuba diambil dan dilatihnya sebelum ini telah lari buka perniagaan sendiri. Atau mereka lari pergi kerja ditempat lain atau mungkin juga mereka tidak memenuhi jangkaannya.

Hanya disebabkan pengalaman yang sedikit itu, maka dia buat rumusan adalah mustahil untuk merekrut pekerja yang baik dan bleh dipercayai. Lalu dia berterusan kerja seorang diri dan menolak apa saja cadagan untuk terus mencuba mencari dan membina kumpulan pekerjanya.

Bila membaca diabaikan, masa dihabiskan bersembang kosong, duduk bersama dengan orang yang juga tidak suka membaca. Dan mereka akan kuatkan segala andaian salah dan palsu yang kita pegang, sebab mereka juga cetek pemikiran dan kurang maklumat.

Jika seseorang itu sering menambah ilmu dengan membaca, dia akan dapati tidak ada seorangpun yang berjaya hasil daripada kerja seorang diri.

Jika dia membaca akan ditemui berbagai ilmu bagaimana mencari dan memilih pekerja yang sesuai dengan kehendaknya.

Membaca elakkan diri dari kepercayaan karut

Berapa ramai orang yang berniaga atau berkerjaya yang banyak menyimpan kepercayaan karut?

Banyak kepercayaan karut tidak berasas timbul daripada sikap tidak mencari ilmu pengetahuan moden yang ditulis berdasarkan kajian lapangan.

Semua maklumat dari tulisan orang barat adalah hasil daripada rumusan segala cerapan dan pemerhatian yang dibuat dari kajian.

Dalam Al-Quran juga akan ditemui segala saranan untuk manusia melihat kejadian alam dan belajar daripadanya.

Umat Islam dahulu buat semua itu dan mereka ternyata maju. Sikap umat Islam dahulu kemudiannya dipelajari oleh orang barat dan mereka meneruskannya sehingga sekarang. Sebab itu mereka maju.

Dan orang kita sekarang tak buat semua itu. Kita berhenti belajar dan mengkaji. Kita ambil berbagai kepercayaan karut yang tidak berasas dan mengharapkan tangkai untuk membina syarikat bertaraf tinggi.

Bila perniagaan tak laku, perkara pertama kita cuba lihat adalah siapa yang dah bomohkan perniagaan kita.

Kenapa itu jadi perkara pertama yang kita buat? sebabnya adalah kerana kita tak baca buku. Jika baca, baru tahu bahawa ada banyak lagi perkara lain yang boleh kita usahakan.

Oleh itu jadikan membaca sebagai salah satu kerja anda. Dengan membaca anda akan berusaha secara sistematik dan kepercayaan karut akan terpinggir jauh dari diri anda.

Membaca itu antara kerja penting usahawan

Tahukan anda bahawa Warent Buffet, antara orang paling kaya di dunia menghabiskan 80% daripada masa kerjanya untuk membaca ?

Tahukah anda Bill Gates juga merupakan seorang yang banyak membaca. Begitu juga ramai lagi para usahawan lain terutamanya di barat yang menjadikan membaca sebagai sebahagian daripada kerja mereka.

Tahukah anda purata seorang CEO syarikat Fortune 500 yang paling teruk, membaca sejumlah 5 naskah buku sebulan ?

Seorang pemuda yang mahu mencari jawapan apa yang orang berjaya lakukan secara rutin yang meletakkan mereka sebagai orang yang berjaya mendapati bahawa semua usahawan hebat di barat menjadikan aktiviti membaca sebagai salah satu daripada kerja penting mereka.

Dan percaya atau tidak, pemuda itu akhirnya menjadi seorang jutawan juga hasil daripada usahanya mengikuti jejak langkah orang-orang yang berjaya itu.

Usahawan yang berjaya kuat membaca bukan untuk lulus peperiksaan, mereka bukannya mengejar sekeping kertas kelulusan.

Sebaliknya mereka berusaha untuk memandaikan diri sendiri supaya setiap hari yang berlalu membuatkan mereka lebih banyak ilmu dan menjadi lebih baik.

Semua maklumat dan pengetahuan itu digunakan dalam setiap keputusan mereka dalam menghadapi segala cabaran perniagaan.

Maka tidak hairanlah mereka sentiasa berkembang maju menjadi lebih baik.

Bagaimana dengan anda ?

Apa berlaku jika anda membaca sejam sehari

Antara perkara penting yang anda perlu lakukan untuk menguasai apa saja bidang yang anda ceburi adalah dengan memastikan anda bangun dua jam lebih awal sebelum memulakan hari anda.

Satu jam pertama itu perlu digunakan untuk membaca bahan-bahan ilmiah samada motivasi, pengurusan atau ilmu berkaitan dengan bidang kerjaya anda.

Mari buat andaian bahawa anda membaca buku pengurusan perniagaan setiap hari selama satu jam.

Dalam temph seminggu, anda boleh habiskan sebuah buku dengan jumlah masa tersebut.

Itu bermakna anda boleh habiskan sebanyak 52 buah buku dalam tempoh satu tahun. Dalam tempoh 10 tahun anda boleh habskan 520 buah buku !.

Dengan kelebihan itu, anda boleh menjadi pakar dalam bidang yang anda dalami tahap nasional.

Percayalah bahawa dengan kelebihan itu anda jauh meninggalkan majority pensyarah university di negara kita yang mengajar bidang yang sama. Kerana majority daripada mereka juga tidak gemar membaca.

Membaca tafsir Al-Azhar sampai habis

Saya habiskan keseluruhan tafsir Al-Azhar karangan Prof Hamka selama 7 tahun. Saya hanya luangkan masa selama setengah jam sehari untuk membuka dan membaca dari mula tafsiran ayat demi ayat.

Nekad untuk membaca setengah jam sehari tafsir A-Azhar itu merupakan salah satu daripada keputusan paling baik yang pernah saya buat dalam hidup saya.

Sekurang-kurangnya, saya boleh lega mengaku sebagai seorang muslim yang berjaya membaca, memahami dan menghabiskan keseluruhan makna berserta dengan tafsir, sebuah mukjizat yang paling penting pada orang Islam.

Berapa ramai orang Islam yang telah buat begitu ?

Anda bagaimana ?

Anda yang sering kongsikan segala petua itu dan ini, fatwa dari ulama itu dan ini, kata-kata hikmat itu dan ini, solah itu dan ini dan seumpamanya, sudahkah anda berusaha untuk habiskan bacaan tafsir Al-Quran, kitab yang anda julang dan sanggup mati kerananya ?

Dah baca ke ?

Jadikan membaca sebahagian dari kerja anda

Samada anda seorang usahawan, atau makan gaji, marilah jadikan membaca sebagai sebahagian daripada tugasan yang perlu dilakukan setiap hari.

Kita perlu luangkan masa untuk tambah ilmu. Kita perlu luangkan masa untuk memandaikan diri sendiri dan seterusnya menggunakan segala pengetahuan yag dikutip untuk memudahkan kehidupan. Bukan saja kehidupan kita, malah kehidupan orang lain.

Ingat !

Membaca itu adalah sebahagian daripada kerja !

Total
49
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

5 comments

  1. Membaca memang seronok..ape lagi di web online..cumanya kalau buku masih memilih2 lagi membacanya..
    tang suratkhabar..dah kurangkan bacaannya..juga blog2 politik..
    alhamdulillah..
    bab menulis yang masih lagi menjadi kemalasan..
    belum menjadi terapi untuk diri kalau bab penulisan..blog bersarang..
    Sama2 lah kita memberi ingatan untuk meningkatkan lagi bacaan Quran, tafsir dan hadith2..insyaAllah..

  2. Alhamdulillah,
    seronok sebenarnya membaca ini.

    Lagi-lagi membaca bukan sebab exam atau sekeping sijil.

    Bila banyak kita baca,
    minda kita mudah untuk berkembang 🙂

    Nota Telinga :-
    Jangan lupa baca al-quran, walaupun saya ayat untuk sehari tau.
    Adzrif Sidek recently posted…Merdeka Dulu dan SekarangMy Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge