Membeli dengan wang tunai selamatkan anda dari hutang

By | 27/05/2012
Rahsia selamat dengan wang tunai

Orang yang paling bahagia dalam dunia moden sekarang ini adalah mereka yang membeli belah dengan menggunakan wang tunai.

Jika anda mahu pastikan aktiviti kewangan menjadi ringkas. Jika anda mahu mengawal kewangan agar tidak tercicir dari landasannya, anda perlu amalkan tabiat membeli barangan keperluan dengan menggunakan wang tunai sahaja.

Pusat membeli belah dan juga hampir semua pasaraya memang sangat suka dengan sistem kad kredit. Ini kerana sistem kad kredit membuatkan pelanggan membeli belah dengan begitu mudah sekali.

Sebab itu kita lihat semua pasaraya serta pusat membeli belah menyediakan kemudahan sistem pembayaran kad kredit dan juga cheque.

Kajian yang dijalankan terhadap tabiat membeli di kalangan pengguna menunjukkan bahawa pelanggan cenderung untuk berbelanja lebih dua kali ganda apabila mereka tidak perlu mengeluarkan wang tunai bagi membeli sesuatu.

Dengan menggunakan kad kredit, pelanggan biasanya terleka untuk membeli apa sahaja yang dia ingin walaupun kebiasaannya barangan tersebut tak berapa diperlukan sangat.

Pelanggan juga akan terleka untuk terus berbelanja dengan menggunkan kemudahan kad kredit yang tidak memerlukan dirinya mempunyai wang tunai di dalam akaun bank. Lagipun, pengguna kad kredit hanya perlu membuat bayaran yang minima sahaja bila cukup bulan.

Daripada pembacaan, saya mendapat tahu bahawa kebanyakan orang kaya termasuklah tuan punya bank yang mengeluarkan kad kredit itu sendiri, tidak suka menggunakan kad kredit untuk membeli barang keperluan mereka.

Walaupun bank milik mereka sendiri ada ada menawarkan kemudahan kad kredit pada para pengguna, mereka sendiri tidak percaya akan sistem berbelanja tanpa wang itu.

Bayarlah dengan wang tunai

Bermula daripada sekarang, jadikanlah amalan membeli belah di pasaraya atau di gedung beli belah dengan menggunakan wang tunai sahaja.

Seandainya anda pergi ke sana dan tidak membawa wang tunai, ataupun wang tunai tak ada di dalam dompet anda, tak perlulah membeli. Batalkan saja niat tersebut sehinggalah anda terpaksa datang semula bila ada masa nanti, dan ada wang di dalam dompet.

Terlalu banyak kelebihan jika kita membeli dengan menggunakan wang tunai. Antara kelebihan membayar dengan wang tunai adalah:

  • Hanya barang yang berkemampuan sahaja kita akan beli. Seandainya tak ada duit dalam akaun atau dalam simpanan, anda tak dapat meneruskan niat membeli. Ini berbeza jika anda menggunakan kad kredit. Ia mengizinkan anda membeli walaupun tak ada wang dalam akaun bank.
  • Pembelian dengan wang tunai membuatkan anda terpaksa mengira dengan betul antara barang dan jumlah wang di dalam poket anda. Selagi anda mengira begitu, terlajak membeli benda yang tak perlu tak akan terjadi. Jika terlajak beli dan wang tak cukup, anda terpaksa memilih yang lebih penting antara yang terpenting.
  • Membawa wang di dalam poket dengan kadar yang berpatutan biasanya membuatkan diri kita berasa lega. Wang di dalam poket adalah cagaran jika ada berlaku perkara-perkara terkejut di luar jangkaan. Tapi janganlah bawa wang yang besar jumlahnya. Ianya amat merbahaya.
  • Sikap berhati-hati untuk tidak membawa wang tunai yang banyak di dalam dompet juga menjadi satu alat kekangan berbelanja yang baik dan automatik untuk mengajar anda berjimat.
  • Tanpa kad kredit bermakna anda hidup tanpa hutang yang tak patut. Bagi saya hutang kad kredit adalah satu jenis hutang yang buruk dan jelek yang tak sepatutnya terjadi. Tetapi hutang seperti pembelian rumah dan seumpamanya memang tak boleh dielakkan.

Jadi sebagai langkah paling awal untuk anda menguruskan hutang yang membelengu diri, anda perlu pastikan mulai dari saat ini, akan hanya membeli barang keperluan atau membeli belah dengan hanya menggunakan wang tunai sahaja.

Tak ada wang tunai, tak payah beli. Semua kad kredit yang anda sekarang, jika ada simpanlah di dalam satu dompet yang berasingan. Simpan sekadar untuk anda selesaikan hutang yang masih ad sahaja di dalamnya.

Apabila selesai kesemua hutang tersebut, gunting sahaja kad kredit itu dan batalkan penggunaannya dengan segera. Mungkin anda hanya perlu simpan hanya satu kad kredit sahaja untuk tujuan kecemasan atau penggunaan ketika berada di luar negara, itupun jika perlu sahaja.

Anda tidak perlu risau jika selepas ini apabila berjaya mengekang diri sendiri sehingga selesai semua hutang kad kredit. Ini kerana tabiat membeli secara tunai yang telah dilatih akan berterusan dalam diri anda.

Apabila tabiat membeli dengan menggunakan wang tunai bertapak dalam diri, anda akan selamat sejahtera dan hidup akan tersa bahagia.

One thought on “Membeli dengan wang tunai selamatkan anda dari hutang

  1. Pingback: Nak berniaga tapi tak tahu nak niaga apa? Ini ada senarai 100 perniagaan anda boleh fikirkan! – HAFIZUL HAKIM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge