Naik atas selangkah demi selangkahSaya sambung sedikit lagi berkenaan tajuk samada nak besarkan perniagaan secara pantas ataupun nak perniagaan membesar secara perlahan.

Berbalik kepada cerita kawan saya berkerakyatan British semalam, mereka semua kaya adik beradik hasil daripada ketekunan dan didikan ayah mereka yang berhijrah dari Pakistan.

Ayah mereka asalnya daripada keluarga yang susah dan telah berhijrah dari Pakistan menuju ke Afrika Selatan. Oleh kerana di Afrika Selatan juga tidak membuahkan hasil dan ditambah lagi dengan kekacauan politik di sana ketika itu, maka ayah mereka sekali lagi berhijrah pula ke Britain.

Ketika sampai di London mereka semua masih kecil dan untuk menyara kehidupan satu keluarga ayah mereka telah mendapatkan pekerjaan di sebuah kilang. Dia bekerja di kilang tersebut sebagai penjahit pakaian.

Ayah mereka merupakan seorang pekerja yang jujur dan berdisiplin. Dengan hasil gaji yang dia perolehi itu dibelinya makan minum dan disediakan tempat tinggal untuk isteri serta anak-anaknya.

Bukan itu saja, malah ayah mereka sentiasa menyediakan makanan agar lebih, untuk memberi makan pada sesiapa saja yang kelaparan yang ditemuinya terutamanya orang-orang Pakistan atau India yang gelandangan dan menghadapi kesukaran hidup.

Lama kelamaan, rumah mereka menjadi pusat tumpuan orang yang kelaparan dan jumlah gaji yang dia dapat tidak mencukupi untuk semua urusan sebegitu. Begitu juga masa yang ada telah terikat pada majikannya.

Permulaan membina perniagaan secara perlahan

Oleh itu, dia telah memohon pada majikannya untuk membuat bayaran berdasarkan jumlah pakaian yang dijahitnya. Kalau banyak, banyaklah bayarannya dan kalau sedikit maka sedikitlha bayarannya.

Sudah tentu ini lebih menguntungkan majikan kerana majikan tidak perlu mengeluarkan kos jika tidak ada pakaian yang perlu dijahit. Maknanya majikan dapat menukarkan kos tetap menjadi kos berubah yang bergantung pada jualan.

Tidak lama kemudian, majikannya membenarkan pula dia melakukan semua kerja menjahit pakaian dari rumah mereka sendiri. Begitulah setapak demi setapak, ayah mereka mengembangkan usaha menjana pendapatan sehinggalah dia menjadi vendor kepada majikannya dahulu dan bukan lagi sebagai pekerja.

Perniagaan membesar secara perlahan

Sedikit demi sedikit pelanggan ayah kawan saya itu membesar dengan jumlah pengeluar pakaian di UK yang memberikan kerja menjahit pada mereka bertambah.

Semua kerja dibantu oleh keluarga mereka tidak terkecuali, kawan saya beserta abang-abangnya terpaksa bersekolah dan dalam masa yang sama bekerja untuk ayah mereka dari kecil sampai besar.

Mereka dilatih untuk berjimat cermat dan tidak membazir. Aktiviti menyediakan dan memberikan makanan kepada orang orang susah diteruskan seperti biasa.

Walaupun kesibukan, ayah mereka akan berhenti kerja bila tiba waktu makan, begitu juga semua keluarga mereka. Mereka akan makan bersama-sama semua orang miskin, duduk sekali dan makan apa saja makanan yang ada tanpa ada perbezaan.

Begitulah didikan ayah kawan saya itu kepada keluarganya. Kawan saya berkata zaman muda mereka sampai besar penuh dengan usaha gigih tanpa henti. Mereka rasa seperti hamba abdi bekerja tanpa dapat menikmati keselesaan.

Tawaran pinjaman dari bank untuk besarkan perniagaan

Lama kelamaan mereka menjadi vendor yang terkenal. Hampir semua orang berebut untuk berurusan dengan mereka. Segala barang yang dibeli ditunaikan janji waktu pembayaraannya tanpa lewat sedikitpun. Kerja juga tidak pernah dimungkiri dan semua pelanggan mereka berpuas hati.

Namun begitu, ada banyak tawaran yang terpaksa ditolak oleh keluarga mereka kerana keupayaan kerja yang terbatas. Mereka hanya menerima kerja berdasarkan keupayaan mereka sahaja dan menolak dengan baik tambahan kerja walaupun ia menjanjikan tambahan keuntungan.

Jika ditambah keupayaan mereka dengan membeli peralatan dan membina ruang pengeluaran yang lebih besar tentu lebih banyak tawaran dapat diambil. Tetapi untuk membolehkan pembesaran sebegitu berlaku, mereka perlu mendapatkan wang atau modal tambahan.

Banyak bank yang datang bertemu dengan ayah mereka menawarkan tambahan modal berupa pinjaman. Mereka tahu rekod kecemerlangan perniagaan keluarga kawans aya itu dan mahu menumpang keuntungan dengan memberikan pinjaman.

Namun kesemua tawaran tersebut ditolak oleh ayah mereka dengan baik.

Prinsip ayah mereka adalah membesar dengan menggunakan hanya wang hasil dari keuntungan sahaja dan bukannya melalui pinjaman bank. Biarlah perniagaan membesar secara perlahan. Itulah pegangan ayah mereka.

Bila ditanya oleh bank kenapa tak mahu ambil tawaran mereka sedangkan semua usahawan atau peniaga lain berebut untuk berhutang dan membesar jika diberikan peluang, ayah mereka menjawab bahawa dia lebih suka naik tangga satu-persatu dari tergopoh gapah melompat tinggi.

Hasil dari perniagaan membesar secara perlahan

Untuk memendekkan cerita, bila ayah mereka meninggal dunia, jumlah harta kekayaan yang dibahagikan kepada semua 7 orang anak-anaknya membolehkan mereka semua menjadi multimillionaire!

Dan kini anak-anaknya kesemuanya menjadi usahawan dengan perniagaan masing-masing. Ada yang berhijrah ke Maldive dan membuka kilang di sana, ada yang berhijrah ke negara kita Malaysia dan ada yang kekal di London meneruskan perniagaan yang ada.

Antara perniagaan mereka di kota London adalah dalam bidang perhotelan, pengedaran, dan hartanah. Didikan ayah mereka yang membuat anak-anaknya marah kerana bekerja dan tidak enjoy, seperti hamba abdi itu, banyak mendidik mereka dan kini mereka berterima kasih pada ayah mereka.

Itulah contoh bagaimana kalau memang dah rezki kita, tak akan ke mana. Dengan kegigihan dan kesabaran, memilih untuk perniagaan membesar secara perlahan tetap membawa kejayaan yang besar.

Mereka suka berurusan dengan saya pada mulanya adalah kerana bila mendapat tahu bahawa saya adalah taukeh atau tuan punya perniagaan yang saya jalankan. sedangkan saya berjumpa mereka setiap kali hanya dengan membawa kereta Kelisa second hand murah saya.

Itu mengejutkan mereka kerana dah terbiasa berurusan dengan para Datuk atau lain-lain orang hebat yang berkereta besar dan mewah sedangkan ramai yang hidup hanya dengan kad kredit, tapi tak mahu mengalah dan terus berlakon. Ada ramai juga yang hidup dengan hutang dan menambah hutang. Asalkan kelihatan berjaya dan berstatus kaya.

Namun itu semua berlaku secara tidak sengaja kerana memang saya pada waktu itu tidak ada kereta selain dari Kelisa Merah. Saya hanya ada kereta itu sahaja setelah menjual segala apa saja yang saya ada dan mengurangkan segala perbelanjaan ke tahap paling rendah untuk pastikan saya mampu hidup dengan pendapatan yang sedikit…demi untuk menjadi usahawan.

Mungkin cerita mereka juga membuatkan saya terpengaruh untuk kekal sederhana seboleh mungkin dan memegang amalan untuk membesarkan perniagaan secara perlahan. Yang penting segala keperluan dapat dipenuhi di tahap asas.

Begitulah cerita bagaimana usahawan yang bermula dari kosong di London yang memilih untuk perniagaan membesar secara perlahan sebagai pegangan atau falsafah perniagaan mereka. Bagaimana pula dengan anda…? (Imej abstrak merupakan hasil daripada lukisan Yusof Ghani)

Total
1
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

5 comments

  1. ceritanya sangat bagus. telah melaburkan pendapatan buat orang miskin dan gelandangan . Berkat kegigihan dan kesabaran menjadi seorang usahawan.
    Sukses selalu menyertai.

  2. Terima kasih tuan..dapat jgk bace sambungan cerita ni. daripada keseluruhan cerita,
    ada satu sifat yang memang bagus untuk diamalkan.

    Amalan Bersedekah 🙂

  3. Saya rasa antara punca utama kejayaan & kekayaan ayah sahabat tuan tu ialah datangnya dari sifat pemurah yang diamalkan. Beliau sanggup memperuntukan sebahagian daripada hasil pendapatan untuk menyara gelandangan dan orang-orang miskin terutama sekali yang sebangsa dengan beliau. Selain daripada usaha keras, sifat pemurah juga amat penting kerana Allah dah janji akan menggandakan rezki bagi orang-orang yang sedemikian.

    Wallahua’lam.

  4. Lega dah dapat cerita penuh. Tak tidur siang dibuatnya hihi. Bagus prinsip membesarkan perniagaan secara perlahan2 tapi steady. Fikiran pun tak stres kerana perkembangan perniagaan selari dgn waktu yg diambil. Terima kasih tuan Shubhi kerana sudi berkongsi cerita sebenar multimillionaire ni.
    Akmal recently posted…Cegah Sebelum Terlambat!!My Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge