Siapa yang tak mahu satu kehidupan yang baik?

Anda tentu mahu. Saya juga sudah pasti mahukan sebuah kehidupan yang baik. Semua orang yang waras dan ada keupayaan untuk berfikir dengan baik dan bijaksana tentu mahukan kehidupan yang baik.

Kita semua dok kalut buat itu dan ini selama inipun adalah dengan tujuan untuk perolehi sebuah kehidupan yang baik.

Cuma yang membezakan tindakan atau aktiviti antara anda dengan orang lain adalah atas dasar kefahaman tentang apa yang dikatakan sebagai sebuah kehidupan yang baik.

Persoalan menarik yang perlu anda fikirkan sejenak sebelum teruskan pembacaan artikel ini adalah, apa yang anda takrifkan sebagai ‘sebuah kehidupan yang baik?’

Mencari kehidupan yang baik

Semenjak dua menjak ini, saya banyak habiskan buku-buku dan tulisan yang berkisar tentang falsafah. Saya mula korek sejarah perkembangan falsafah yang dilalui oleh manusia atas mukabumi ini.

Semua buku yang mengkaji perjalanan falsafah yang ada dalam simpanan saya adalah dalam Bahasa Inggeris. Semuanya bukan buku akademik, sebaliknya buku penulisan popular untuk orang awam yang tak ada pelajaran tinggi macam saya.

Saya tak tumpukan usaha untuk memahami apa itu falsafah, tapi hanya banyak melihat berbagai falsafah yang diketengahkan oleh pemikir-pemikir yang hebat yang dicatitkan oleh para pengkaji.

Secara umumnya, orang falsafah banyak amalkan aktiviti bertanya dan mencari jawapan.

Kat situlah permulaannya. Dan kalau anda ke belakang lagi, kenapa timbulnya semua pertanyaan tersebut, tanya apa, nak tahu apa… ?

Anda akan dapati semuanya berpunca daripada usaha untuk mencari jawapan kepada maksud sebuah kehidupan yang baik.

Soalan-soalan seperti apa itu kebenaran, apa yang dikatakan baik dan apa yang dikatakan buruk, apa itu kenyataan, adakah apa yang deria kita lihat, rasa, dengar, bau dan lain-lain itu adalah kenyataan atau hanya sekadar ilusi … dan berbagai persoalan lagi. Semuanya ke arah mencari bagaimana nak jalani satu kehidupan yang boleh dikatakan baik.

Dari semua soalan asas yang muncul sejak zaman kuno dahulu, ia berkembang maju dan mula mencetuskan ilmu sains yang kita tahu sekarang. Anda mungkin pandang remeh pada terma seperti kelajuan, pecutan dan sebagainya sekarang.

Tapi anda mungkin tak tahu bahawa kalau para pemikir falsafah kehidupan zaman dahulu tak mula bertanya dan mula mencari jawapan kepada semua kejadian yang mereka lihat berlaku, tak akan ada ilmu sains.

Quran – panduan kehidupan yang baik

Bila terjumpa dengan bermacam-macam cerita dalam usaha mencari jawapan yang amat menarik sebegitu, membuatkan saya mula rasa betapa pentingnya akal untuk digunakan. Betapa pentingnya akal digunakan untuk berfikir.

Cabaran itu banyak anda boleh jumpa dalam Al-Quran. Quran banyak sebut, manusia tidak ramai yang mahu gunakan akal. Tak ramai mahu berfikir.

Kenapa Al-Quran banyak tekankan supaya manusia berfikir? sudah tentu ianya satu urusan penting untuk menjalani sebuah kehidupan yang baik.

Lagipun, bukankah sebagai seorang muslim, anda percaya bahawa Al-Quran tidak syak lagi sebuah rujukan paling utama, paling atas sekali, untuk manusia yang mahukan sebuah kehidupan yang baik?

Tapi ramai daripada kita, yang muslim ni, bukan saja tak mahu gunakan akal untuk berfikir, malah, kitab rujukan yang mereka akui sebagai paling penting dan paling atas sekali itupun tidak cuba di habiskan membacanya dan cuba difahami.

Yang baca artikel ini, cuba tanya samada anda dah habiskan sekurangnya sekali membaca Al-Quran bersama dengan makna dan tafsirannya yang boleh anda faham setakat ini? Apa kata jadikan itu sebagai azam tahun 2018 ini.

Jadi, apa itu kehidupan yang baik?

Tentu anda tanya soalan itu dan mahukan jawapannya sekarang.

Terus terang, saya juga masih berusaha untuk memahaminya. Ternyata baca Al-Quran berserta dengan tafsiran dan huraiannya hanya sekali tidak dapat memberikan anda jawapan yang jelas. Sebab itu ianya perlu diulang baca, direnungkan, difikirkan dan diteliti berkali-kali. Dan itulah yang majoriti besar kita tak buat.

Anda tak akan mampu ulang baca selagi, sekalipun tak dimulakan membacanya sampai habis. Jadi sekali lagi saya sarankan agar berusahalah untuk memulakannya.

Bagi saya, ada satu pendekatan yang lebih mudah untuk menuju kepada sebuah kehidupan yang baik.

Anda yang perlu mencari sebanyak mungkin jalan kehidupan yang tidak baik dan elakkan dari mengikutinya. Makan dadah, curi barang orang, rampas hak orang, tamak haloba, bercakap sombong, tinggi diri, dan lain-lain lagi seumpamanya adalah amat jelas jalan kehidupan yang tidak baik.

Seandainya anda berjaya elakkan sebanyak mungkin semua jalan yang tak baik, yang amat jelas dan terang diterangkan dalam Al-Quran, sudah tentu anda semakin hampir kepada jalan kehidupan yang baik.

Itu asas yang saya rasa paling mudah.

Seperti mana asas untuk memahami macam mana Tuhan, adalah dengan menafikan semua benda lain itu sebagai Tuhan, kecuali Tuhan itu sendiri.

Agak berat rasanya tulisan kali ini.

Tapi tak apalah sekali sekala. Sekadar untuk memecahkan lemah yang selaputi otak kita supaya mula kuat buat kerja.

Total
19
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge