Mengemas, membuang, menyimpan, asas penting untuk maju

By | 27/01/2016

coffee-laptop-1500x1000Dalam artikel ‘Perkara asas paling penting untuk kembangkan perniagaan’ yang saya tulis baru-baru ini, dah dikongsikan tentang perkara paling asas yang semua orang perlu ada kalau nak kembangkan perniagaan.

Bukan saja untuk kembangkan perniagaan, malah untuk yang belum berniaga dan masih makan gaji juga perlu ada asas penting tersebut, jika mahu naik maju ke atas.

Perkara asas penting nombor satu yang saya utarakan itu berkisar tentang personaliti anda. Jangan harap orang lain untuk bantu membina personaliti yang anda mahukan.

Paling penting, jangan biarkan orang lain yang menentukan personaliti dir anda sendiri. Tak ada sesiapa yang layak untuk menentukan kedudukan dan keadaan emosi anda melainkan anda sendiri mengizinkannya. Mesti tegas dalam bab ini !.

Hubungan ‘asas penting’ dan cara berfikir

Segala gerak geri tindakan anda dikawal oleh minda. Bagaimana cara anda berfikir, menentukan macam mana tindakan yang anda ambil dalam segenap segi.

Artikel yang lalu saya sarankan anda memilih aktiviti yang sesuai, jaga kesihatan, dan berfikiran positif serta segera bertindak.

Saya yakin semua orang tahu teori tersebut di atas.

Cakap memang senang, tapi kenapa sukar untuk memilih aktiviti yang sesuai, kenapa sukar untuk disiplinkan diri jaga kesihatan dan kenapa terlalu sukar untuk berfikiran positif dan bertindak ?

Jawapan, kenapa susah nak buat semua perkara tersebut walaupun dah tahu sejak zaman kanak-kanak dulu lagi, ada kaitan dengan cara anda berfikir.

Sukar untuk ubah cara berfikir

Cara berfikir yang ada dalam kepala selama ini salah dan tidak dapat membantu anda untuk buat perubahan tersebut walaupun secara teorinya nampak senang.

Cara berfikir yang salah itu telah sabotaj diri anda sendiri tanpa disedari.

Hakikat itu amat pahit !, takkan lah anda sendiri nak sabotaj kemajuan diri ?

Tapi itulah yang sebenarnya sedang berlaku.

Memang terlalu sukar untuk menukar cara kita berfikir. Malah untuk kenal pasti mana satu cara berfikir yang salah, yang tertanam dalam kepala otak pun adalah sesuatu yang hampir mustahil.

Ini disebabkan cara berfikir adalah sistem minda yang terhasil dari pengalaman yang telah dilalui sejak dilahirkan sampai sekarang. Ia berlaku tanpa disedari macam sebuah aturcara komputer yang telah dikunci rapat dalam minda.

Kunci untuk ubah cara berfikir adalah dengan mengubah aturcara minda tersebut, bagi komputer, adalah mustahil untuk komputer itu lakukannya sendiri. Tapi bagi manusia, kita mampu mengubahnya sendiri.

Itulah yang membezakan diri kita dengan makhluk lain, keupayaan untuk membentuk diri sehingga ke tahap cara berfikir. Kalau tiada usaha untuk ubah cara berfikir dengan segera, kita akan sentiasa berada dalam kerugian.

Ubah cara berfikir dengan tambah pengalaman

Salah satu cara untuk ubah cara berfikir adalah dengan mencuba perkara yang baru. Dengan itu anda dapat perbanyakkan lagi pilihan maklumat yang terpahat dalam minda dan seterusnya dapat kembangkan keupayaan untuk berfikir dan membuat pilihan.

Sebab itu orang yang sentiasa menambah ilmu dan pengalaman dengan mencuba perkara baru, berkawan dengan kenalan baru atau bermusafir ke tempat yang belum pernah dia sampai biasanya lebih mudah untuk berjaya dalam hidup.

Mungkin anda dah buat semua yang tersebut di atas, tapi nampak macam masih tidak ada perubahan yang ketara dari segi kemajuan diri.

Dan anda tertanya-tanya kenapa ?

Sebabnya, macam saya kata tadi, ada kenangan atau memori buruk yang tertanam dalam minda tanpa disedari samada disedari atau tidak.

Itulah kemungkinan puncanya.

Minda secara tak sedar menarik anda dari berkembang, dari membuat perubahan untuk terus maju ke atas.

Masalahnya di sini adalah bagaimana nak buang memori yang tak berguna itu, kosongkannya dari minda dan mula mengisinya dengan cara berfikir yang baru ?

Mengemas, membuang dan menyimpan

Anda mampu mengubah cara berfikir, membuang memori lama dan gantikannya dengan maklumat baru dengan membuat aktiviti mengemas, membuang dan menyimpan.

Aktiviti tersebut bukanlah perkara baru. Ada orang panggil housekeeping, ada orang kata buat 5 S, orang kampung kata menyimpan dan semuanya merujuk pada perkara yang sama.

Berbalik pada cerita komputer atau mesin tadi, semua peralatan tersebut bergerak hanya satu arah. Dari aturcara atau software akan diterjemahkan pada tindakan. Itu kelemahan mesin yang ada sekarang.

Tapi tidak pada manusia.

Anda dan saya bergerak secara dua arah. Dari minda terhasil tindakan, dan dengan memaksa tindakan, anda boleh putar balik semula kepada minda agar berubah.

Bab ini dah diterangkan panjang lebar dalam banyak kitab sufi seperti Ihya’ karangan Imam Ghazali. Contoh mudah adalah untuk buang minda kedekut.

Minda kedekut membuatkan anda tidak derma duit. Tapi dengan paksa diri derma duit, lama-kelamaan, minda kedekut akan berubah jadi pemurah.

Itulah yang saya katakan pergerakan dua hala antara minda kepada amalan, dan dari amalan kepada minda.

Perkara yang sama kita boleh lakukan pada membuang segala memori lama yang menghalang kemajuan diri dengan aktiviti mengemas, membuang dan menyimpan.

Asas penting kedua – Fokus dan terurus

Bab mengemas, membuang dan menyimpan ini sebenarnya merupakan asas penting kedua dalam artikel yang saya sebutkan di awal mula tadi.

Kalau bab pertama yang menjadi asas penting untuk kembangkan perniagaan adalah dengan kembalikan aura hebat anda, maka asas penting kedua pula adalah dengan memastikan anda jelas hala tuju dan punya daya tumpuan yang tinggi.

Cara paling mudah untuk dapatkan minda yang jelas hala tujunya serta tinggi daya tumpuannya adalah dengan melakukan aktiviti mengemas, membuang dan menyimpan.

Berikut saya berikan sedikit petua melaksanakan aktiviti itu:

  1. Pilih tempat yang mudah terlebih dahulu – Jika anda ada pejabat, mulakan pada work station terlebih dahulu. Biasanya work station ada kerusi, meja dan laci atau rak. Kalau kat rumah, anda boleh mulakan pada almari pakaian sebagai contoh.
  2. Keluarkan semua barang atas lantai – Kosongkan lokasi yang nak dikemas dengan meletakkan semua barangan yang ada atas lantai. Ini untuk memudahkan anda membuat pilihan dalam aktiviti seterusnya.
  3. Buat pilihan satu demi satu – Bila semua barang dah ada atas lantai, bermulalah aktiviti yang mencabar minda yang bakal mencetuskan perubahan terhadap cara anda berfikir. Anda perlu tengok dan membelek sat demi satu barang yang ada dan tentukan mana yang perlu dibuang dan mana yang perlu disimpan.
  4. Himpun semua barang yang nak dibuang – Sediakan samada beg atau kotak untuk dihimpunkan semua barangan yang nak dibuang. Mungkin anda tak sanggup buang, dalam kes sebegitu, berikan pada orang sebagai hadiah atau jual.
  5. Tinggalkan hanya yang benar-benar digunakan sahaja – Pastikan anda dapat jadikan tempat yang dikemas itu seminima mungkin. Kurang barang, kawasan lebih lapang. Tak guna simpan barang yang anda tak akan sentuh untuk selama setahun dari sekarang.
  6. Susun berdasarkan kategori – Jangan biar berteraburan lagi segala barang yang ada. Pastikan anda jelas dengan kategori barangan yang ada. Anda tentukan sendiri bentuk kategori tersebut samada berdasarkan kegunaan, saiz, atau seumpamanya.
  7. Jangan berhenti selagi belum habis – Sebab itu saya sarankan piluh kawasan mudah dan kecil terlebih dahulu supaya lebih mudah mengecap kejayaan. Jangan buat sekerat dan berhenti untuk sambung di lain masa. Habiskan sekali gus dan jangan berhenti selagi anda tidak selesai.
  8. Mohon bantun untuk menyimpan dan menyusun – Anda boleh memohon bantuan rakan atau orang lain dalam urusan meyimpan dan menyusun berdasarkan arahan anda.
  9. Jangan mohon bantuan untuk membuang – Pastikan anda tidak menyuruh orang lain membuat keputusan dalam membuat pilihan mana yang nak disimpan dan mana satu yang nak dibuang. Ini menjauhkan matlamat untuk mengubah minda anda agar jelas dengan hala tuju dan fokus.
  10. Mulakan di lokasi lain pula.

Asas penting paling susah

Anda boleh gunakan teknik lain untuk membuat kerja di atas asalkan matlamat tercapai. Tetapi pastikan ada langkah membuang barang yang tidak ada.

Matlamat tak tercapai jika anda mahu mengemas tanpa membuang barang yang tidak perlu. Kuantiti barang tetap sama dan lambat laun kawasan tersebut akan berselerak semula.

Nampak macam senang dalam bab buang barang yang tak perlu. Tapi ianya tidak semudah yang anda sangka. Anda akan hadapi keadaan di mana rasa sukar nak buang sesuatu barang sedangkan ternyata barang tersebut tidak pernah anda gunakan.

Ia jadi begitu sebab ikatan emosi yang ada terhadap barang tersebut dalam minda. Ada cerita disebalik barang tersebut, samada sedih atau gembira. Ada memori disebalik barang.

Kadangkala hanya sebatang pen. Anda rasa amat sukar nak buang, masih nak simpan juga walaupun jelas tak ada gunanya.

Begitulah juga berbagai memori yang tak diperlukan yang ada dalam kepala anda sekarang. Jika anda tak mampu membuang walaupun sebatang pen, bagaimana agaknya anda nak buang memori yang tidak diperlukan dalam minda.

Bagaimana nak buang minda negatif yang anda simpan sejak sekian lama tanpa di sedari ?

Di situlah latihan minda berlaku. Jika anda paksa dan buat keputusan berdasarkan rasional dan bukan emosi, semakin banyak barang yang anda buang, maka semakin banyak anda bantu minda keluarkan segala cara berfikir yang tak perlu.

Tempat yang telah anda kemas, buang, simpan dan susun dengan begitu baik dan lapang memberikan satu lonjakan baru dalam minda bahawa anda sudah bersedia untuk bergerak maju ke hadapan.

Latihan dalam menentukan mana barang yang perlu dan mana yang tidak perlu membuatkan minda anda lebih jelas akan hala tuju dan daya tumpuan anda akan menjadi lebih tajam.

2 thoughts on “Mengemas, membuang, menyimpan, asas penting untuk maju

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge